3 Wanita Maut, 1 Kritikal – Terhidu Gas Beracun Ketika Tidur
3 wanita maut, manakala seorang lagi rakannya masih kritikal akibat terhidu gas karbon monoksida di dalam kereta semasa berhenti berehat di parkir stesen minyak Shell Sama Gagah di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Seberang Jaya, malam tadi.
Dipetik dari laman Harian Metro, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata Nor Adilah Mohd Safwan, 21, meninggal dunia pada jam 4.23 petang ketika dirawat di Hospital Angkatan Tentera Lumut.
Manakala, dua rakannya Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ) awal pagi tadi. Sehingga kini, satu-satunya mangsa yang masih selamat adalah kembar kepada Nor Adilah, yang masih kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Isi Kandungan
Curiga Seorang Bapa
Akibat terlalu curiga mengenai anaknya, bapa kepada salah seorang mangsa dilaporkan keluar mencari anaknya itu yang masih belum tiba di rumah pada jam 11 malam selepas kali terakhir mengirim mesej kepada ibunya jam 9.15 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 pagi Khamis. Beliau berkata, keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu telah pergi ke Pulau Jerejak, sempena cuti umum Hari Malaysia pada Rabu, dan difahamkan semasa mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, mereka mengambil keputusan untuk berhenti rehat sebentar di kawasan parkir berkenaan.
“Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat, namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya, pada Khamis.
Katanya lagi, menurut ibu kepada Ayuni, anaknya sempat menghantar mesej kepada beliau pada pukul 9.15 malam Rabu memaklumkan berada di stesen minyak itu untuk berehat sebentar, namun sehingga pukul 11 malam Ayuni tidak pulang ke rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, menyebabkan dia mulai bimbang.
Ekzos Kereta Bocor
Shafee berkata, seorang juruteknik yang membuat pemeriksaan awal ke atas kereta Honda Odyssey berkenaan mengesyaki kemungkinan ada kebocoran di bahagian ekzos kereta itu kerana semasa pemeriksaan, ekzos berkenaan mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.
Sementara itu, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha yang ditemui di bilik mayat HSJ, Nor Jamilah Ahmad berkata anak saudaranya itu merupakan anak tunggal kepada kakak dan abang iparnya malah beliau sangat rapat dengan arwah yang dipanggil Fariesha itu.
“Mereka sememangnya rakan baik dan baru habis belajar di sebuah kolej swasta di Batu Caves, Selangor dalam bidang kejururawatan, Fariesha baru sahaja bekerja di sebuah klinik swasta dan arwah sangat teruja untuk keluar bersama tiga rakannya itu semalam kerana mahu berjalan-jalan di Pantai Jerejak.
Wanita berusia 30-an itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi ibu Fariesha yang memaklumkan anak saudaranya itu tidak pulang ke rumah di Amanjaya di Sungai Petani selepas lewat malam sebelum dia menghubungi rakan-rakan arwah.
“Kami baru hendak keluar mencari Fariesha sebelum tunangnya menghubungi saya semula memaklumkan mereka semua telah ditemui namun perlu ke hospital, saya memang terkejut dan terus ke HSJ.. sebaik sampai kami dimaklumkan dia telah meninggal, ibu arwah terus rebah kerana sangat terkejut,” katanya.
Menurutnya jenazah anak saudaranya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang selepas solat Asar hari ini.
Kenapa Tidak Boleh Tidur Dalam Kereta
1. Sekiranya terdapat masalah pada ciri mekanikal kereta, kemungkinan berlaku kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kenderaan ketika anda sedang tidur akan meningkatkan risiko mati lemas.
2. Ini kerana, pengumpulan karbon monoksida (CO) yang disebabkan oleh kebocoran daripada ekzos akan menurunkan paras oksigen di dalam kenderaan.
3. Peningkatan tahap karbon monoksida di dalam kereta memberi kesan kepada oksigen dalam darah. Ini mengakibatkan darah membawa lebih banyak karbon monoksida dan boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba (sudden death).
4. Walaupun dengan tingkap dibuka, karbon monoksida tetap boleh terkumpul dan akan menyebabkan penurunan oksigen dalam darah.
5. Kesannya, mangsa akan kehilangan cecair dan air dalam badan selepas satu jangka masa.
6. Jadi kenapa kita boleh bertahan memandu dengan penghawa dingin terpasang? Jawapannya mudah. Kerana kita sedar dengan perubahan suhu dan akan sedar jika terdapat kebocoran. Jika kita mula merasa tidak selesa, kita akan segera bertindak dengan menutup penghawa dingin dan membuka tingkap.