Sumber Rujukan Globalisasi Anda

5 Amalan Terbaik Untuk 10 Malam Terakhir Ramadhan

Amalan Terbaik 10 Malam Terakhir Ramadan Yang Boleh Diamalkan

Nampaknya kita sudah memasuki fasa terakhir Ramadan yang mana pada 10 akhir bulan mulia ini, umat Islam diseru melipatgandakan amalan kepada Allah.

Sesungguhnya, Allah menjanjikan terdapat satu malam yang amat bermakna pada bulan Ramadhan yang mulia iaitu Lailatul Qadar.

Ia adalah malam yang penuh keberkatan seperti firman Allah di dalam Surah Ad-Dukhon ayat yang ke 3 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.”

Itulah malam Lailatul Qadar dan ia pada bulan Ramadan seperti firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat yang ke 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadan merupakan bulan yang didalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan antara yang hak dan yang batil.

Diceritakan didalam tafsir Imam Ibn Khatir dari Mujahid: Pada Bani Israil itu ada seorang lelaki yang mana bangun malam beribadah sehingga terbit matahari, kemudian dia memerangi musuh pada siang hari sehingga ke petang.

Dia melakukan yang demikian itu selama 1,000 bulan kemudian Allah menurunkan ayat yang bermaksud: “Malam kemuliaan (Lailatul Qadar) itu lebih baik dari seribu bulan.

Melakukan ibadah pada malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada apa yang dikerjakan oleh lelaki itu.

Di dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Nasa’I, daripada Abu Hurairoh telah berkata: “Ketika mana telah datang bulan Ramadan, telah bersabda Rasulullah SAW.

“Telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, telah difardukan Allah ke atas kamu untuk berpuasa, dibuka padanya pintu-pintu syurga, dan ditutup padanya pintu-pintu neraka, dirantai padanya syaitan-syaitan, padanya malam Lailatul Qadar sebaik 1,000 bulan, siapa yang terlepas daripada kebaikannya maka ia hilang kelebihan itu,” sabda Baginda.

Isi Kandungan

5 Amalan Terbaik Untuk 10 Malam Terakhir Ramadhan

1. Qiyamul Lail

Qiyamul Lail atau berjaga pada tengah malam untuk bersolat merupakan ibadah yang sangat dituntut pada 10 Ramadan terakhir.

Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang berdiri (untuk mengerjakan solat) pada lailatul qadr kerana keimanan dan hal mengharap pahala, akan diampuni baginya segala dosanya yang telah lalu.” [HR. Al-Bukhari no. 1901].

Antara amalan yang boleh dilakukan adalah dengan menghidupkan malam dengan mengerjakan ibadah solat serta membaca Al-Quran. Membangunkan ahli keluarga seperti mana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah. Sesungguhnya Rasulullah jika masuk pada malam 10 malam terakhir, maka baginda akan menghidupkan malam-malam itu dan membangunkan ahli keluarganya dan akan menjauhi daripada membuat hubungan suami isteri,  qiyamul lail dan beriktikaf di dalam masjid dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah seperti solat, zikir, membaca al-Quran dan sebagainya.

2. Membaca Alquran

Salah satu keutamaan orang yang membaca al-Quran pada bulan Ramadan adalah pahalanya akan dilipatgandakan. Jika 1 huruf dicatatkan 10 kebaikan (rahmat) daripada Allah, maka pada bulan Ramadan, ganjarannya akan dikira sehingga 700 kali ganda.

Ini membuktikan betapa besarnya ganjaran yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada hamba-hamba-Nya pada bulan Ramadan, terutamanya jika ibadah itu dilakukan pada malam Lailatul Qadar.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk membaca terjemahan al-Quran dan tafsirnya, berfikir secara mendalam mengenai maksudnya. Nescaya ia dapat meningkatkan lagi keimanan kita bila kita memahami setiap apa yang tersurat dan tersirat dalam kitab itu itu.

Dari Ibnu Abbas رضي الله عنهما, dia berkata,

كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – أَجْوَدَ النَّاسِ ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ ، وَكَانَ جِبْرِيلُ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – يَلْقَاهُ فِى كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

“Nabi ﷺ adalah orang yang paling gemar memberi (bersedekah, -pent). Semangat beliau dalam memberi lebih membara lagi ketika bulan Ramadan tatkala itu Jibril menemui beliau. Jibril menemui beliau setiap malamnya di bulan Ramadhan. Jibril mengajarkan Al-Quran kala itu. Dan Rasul ﷺ adalah yang paling semangat dalam melakukan kebaikan bagai angin yang bertiup.” [HR. Bukhari, no. 3554 dan Muslim, no. 2307].

3. Sedekah

Bersedekah dengan keikhlasan kepada Allah. Ini kerana jika sedekah yang dilakukan itu bertepatan dengan malam Lailatul Qadar maka amalan sedekah itu juga akan dilipatgandakan lebih baik dari 1,000 bulan.

Umat Islam yang bersedekah pada 10 malam terakhir Ramadan akan mendapatkan pahala yang melimpah serta keutamaan bersedekah itu sendiri.

Ini termasuk menyediakan dan memberikan juadah berbuka puasa kepada ahli keluarga atau sesama orang Islam.

Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang memberi iftor (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang puasa/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang puasa/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” (HR Bukhari dan Muslim).

4. Memperbanyak Doa

Pada 10 malam terakhir, apa kata kita mencuba untuk berdoa dengan lebih panjang dan lebih dihayati makna-maknanya.

Bagi yang sudah biasa dengan surah yang panjang, baca terjemahan dan penjelasan serta hayati makna daripada surah itu.

Salah satu masa terbaik untuk melakukan amalan ini adalah pada bahagian terakhir malam.

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ, sebagaimana hadis dari Aisyah رضي الله عنها,

قُولِى اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

“Berdoalah:

Allahumma innaka ‘fuwwun tuhibbul ‘afwa f’fu’anni”

Ya Allah, Engkau Maha Pemaaf dan Engkau mencintai orang yang meminta maaf, karenanya maafkanlah aku.” [HR. At-Tirmidzi no. 3513 dan Ibnu Majah no. 3850, At Tirmidzi berkata: Hasan shahih].

5. Bertaubat dan Istigfar

Bulan Ramadan adalah bulan terbaik untuk bertaubat dan menghidupkan istighfar. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda: “Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR Muslim)

Baginda merupakan orang yang paling banyak beristighfar dan bertaubat kepada Allah meskipun terpelihara daripada dosa. Apatah lagi kita umatnya yang sering melakukan dosa setiap hari.

Allah Taala berfirman dalan hadis qudsi,

يَاابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَادَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَاكَانَ فِيْكَ وَلاَأُبَالِىْ يَاابْنَ آدَمَ لَؤْ بَلَغَتْ ذُنُوْ بُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِيْ غَفَرْتُ لَكَ وَلاَ أُبَالِيْ يَاابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِيْ بِقُرَابِ اْلأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيْتَنِيْ لاَ تُشْرِكُ بِي شَيْئًا َلأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً

“Wahai bani Adam, sesungguhnya selama engkau masih berdoa dan berharap kepada-Ku maka Aku akan mengampuni semua dosa yang ada padamu dan Aku tidak akan peduli.

Wahai bani Adam, seandainya engkau datang kepada-Ku dengan membawa kesalahan seukuran bumi kemudian engkau datang menjumpai-Ku dalam keadaan tidak berbuat syirik atau menyekutukan-Ku dengan apapun juga maka sungguh Aku akan datang kepadamu dengan membawa ampunan seukuran bumi juga.” [HR. At-Tirmidzi no. 3540, dihasankan al-Albani dalam Shahih at-Targhib, no. 1616].

Artikel berkaitan : Memburu Pahala Ibadah Pada Lailatul Qadr

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More