5 Sebab Anda Tidak Boleh Beri Bayi Minum Air Masak
Isi Kandungan
ADAKAH MEMBAHAYAKAN BAYI MINUM AIR MASAK?
Air masak tidak diragui lagi sememangnya bagus untuk kesihatan kita semua tetapi bukan untuk bayi.
Bayi yang berumur bawah 6 bulan disarankan menyusu secara eksklusif bagi 6 bulan pertama dan lebih bagus lagi bayi menyusu dengan susu ibu. Penyusuan secara eksklusif bermaksud hanya minum susu semata-mata, tanpa diberi makanan atau minuman tambahan, termasuklah air masak.
Sesetengah doktor berpendapat, bayi yang diberi susu formula boleh diberikan sedikit air masak kerana dengan memberinya minum dengan banyak dapat mendedahkan bayi kepada risiko bahaya!
5 SEBAB ANDA TIDAK BOLEH BERI BAYI MINUM AIR MASAK
1. Risiko Cirit -Birit
Dikhuatiri sumber air tersebut daripada sumber yang tidak bersih.
Kadangkala, pencemaran yang terdapat di dalamnya dapat bertahan dalam badan orang dewasa, tetapi amat merbahaya dan berisiko buat bayi, terutamanya pada bayi yang baru lahir.
2. Bayi Kurang Menyusu
Ini boleh menjejaskan selera bayi untuk menyusu akibat perut yang sudah dipenuhi oleh air masak dan menyebabkan bayi kerap tidur, lalu terlepas waktu penyusuan.
Hal ini menjadi punca bayi kekurangan zat akibat kurang menyusu. Tumbesaran bayi boleh terjejas sehingga terjadinya kurang berat badan, malnutrisi, atau bantut.
3. Susu Ibu Terjejas
Penghasilan susu badan adalah bergantung kepada permintaan bayi (supply on demand)
Apabila bayi minum air masak dan kurang menyusu, penghasilan susu ibu juga akan turut terjejas. Jika keadaan ini berlarutan, susu ibu akan berkurangan atau terus tiada dan akhirnya bayi terpaksa bertukar kepada susu formula.
4. Susu Ibu Mengandungi Kandungan 80% Air
Susu ibu mengandungi kuantiti air yang diperlukan oleh bayi. Jika bayi menangis kerana dahaga, hanya berikan sahaja susu badan sehingga bayi puas. Itu sudah mencukupi.
Bagi bayi yang meminum susu formula pula, anda boleh memberi sedikit air kosong (sekadar perlu) kepada bayi kerana bayi yang meminum susu formula lebih mudah terhidrat.
Selain itu, anda perlu memastikan bancuhan susu tepung dan air masak anda adalah mengikut sukatan yang sebenar.
5. Bahaya ‘Oral Water Intoxication’
Terdapat kajian yang mengesahkan bayi yang minum air masak lebih terdedah kepada keadaan yang disebut ‘oral water intoxicaton’.
Secara ringkasnya, ia adalah satu penyakit di mana badan mengalami kekurangan garam disebabkan bayi minum terlalu banyak air masak. Kehadiran terlalu banyak air akan mencairkan darah dan dalam masa yang sama juga akan mengurangkan paras garam ke paras yang kritikal.
Dalam kes-kes teruk, bayi boleh mengalami sawan, koma, kecederaan otak dan jika tidak dikesan awal ia boleh menyebabkan kematian.
SARANAN AIR MASAK DIBERI SELEPAS 6 BULAN, TETAPI DALAM JUMLAH TERKAWAL
Adalah di ingatkan pemberian air masak kepada anak kecil, terutamanya bayi berumur bawah 6 bulan adalah tidak perlu sama sekali.
Walaubagaimanapun, tidak salah jika bayi lebih daripada 6 bulan boleh diberikan sedikit air kosong dalam sudu ataupun cawan kecil, sekadar beberapa teguk selepas makan.
Bayi juga boleh diberikan sedikit air untuk membersihkan kesan susu di lidah bayi tersebut.
Jika mereka sembelit, dapatkanlah nasihat doktor sebelum memberi bayi minum air kosong untuk melegakannya.