Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Vaksin Percuma | ‘Kita tidak selamat sehinggalah semua orang selamat’

Vaksin percuma untuk semua yang menetap di Malaysia. Malaysia hanya akan selamat daripada pandemik COVID-19 jika penduduk termasuk bukan warganegara yang menetap di negara ini menerima vaksin, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, walaupun rakyat negara ini sudah menerima vaksin kelak, namun ia tidak bermakna mereka selamat kerana Malaysia mempunyai kira-kira tiga juta warga asing yang berkemungkinan menyebabkan virus itu merebak dan menjangkiti penduduk Malaysia.

“Kerana itulah ini (pemberian vaksin percuma kepada bukan warganegara) perlu dilakukan kerana kita tidak selamat sehinggalah semua orang selamat.

“Dalam sains vaksin, jika dapat lebih ramai penerima vaksin, barulah kita selamat dan virus tidak menjangkiti orang lain. Oleh kerana itu, kita sasar 80 peratus penduduk untuk wujudkan imuniti kelompok dan membentuk antibodi yang cukup ramai sehingga virus tidak menjangkiti orang di negara ini.

“Kalau kita (warga tempatan) saja yang terima, kita sendiri tidak selamat kerana mungkin mereka (bukan warganegara) boleh menjangkiti kita atau virus masih boleh merebak dalam kalangan warga asing. Kerana itu pentingnya kita lindungi semua orang. Ini adalah keputusan tepat demi kemanusiaan,” katanya.

Khairy, yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel malam tadi bertajuk ‘Vaksin: Kendurkan Ketegangan dan Kerisauan terhadap COVID-19.’

Isi Kandungan

VAKSIN PERCUMA UNTUK BUKAN WARGANEGARA MALAYSIA

Kerajaan dilaporkan bersetuju Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang akan bermula pada akhir bulan Februari, bakal membabitkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.

Ini akan membabitkan semua golongan bukan warganegara yang menetap di Malaysia, namun keutamaan pemberian vaksin COVID-19 adalah kepada warganegara terlebih dulu, selain maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warga asing akan diumumkan kelak.

Keputusan itu selepas mengambil kira persekitaran selamat serta bebas COVID-19 dalam negara hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk diberikan vaksin percuma dan pemberian vaksin dalam tempoh pandemik seperti mana sekarang adalah langkah berperikemanusiaan.

Khairy, yang ditemubual dalam program itu menerusi Skype, turut menjelaskan pemberian vaksin percuma kepada bukan warganegara adalah pendirian kerajaan yang mengharapkan negara lain akan membuat keputusan timbal balik dan membantu rakyat Malaysia di negara mereka.

Beliau juga memperjelas dakwaan kononnya Malaysia menerima vaksin COVID-19 agak lewat berbanding negara maju lain serta negara jiran.

Menurutnya, ini kerana Malaysia lebih fokus kepada perancangan program imunisasi vaksinasi yang lebih cekap dan berkesan untuk dijalankan sepanjang tahun sebaik saja vaksin diterima akhir bulan ini.

“Kita tidaklah lambat sangat seperti Australia, Korea Selatan dan Jepun yang masih mengkaji (vaksin yang sesuai). Saya suka mempercepatkan proses pembelian dan penghantaran dan selama ini mengikut perjanjian termeterai, kita akan terima pada Februari.

“Indonesia dapat awal iaitu vaksin Sinovac kerana mereka adalah tempat ujian, sudah tentu mereka didahulukan (pengeluar). Singapura membuat pelaburan dengan pengeluar vaksin Pfizer-BioNTech dan kerana itu, mereka mendapat keutamaan.

“Saya rasa Malaysia tidaklah lewat sangat kerana kita tepati perjanjian. Apabila kita menerimanya (vaksin), kita akan dapat membuat program vaksinasi. Tidak guna ada vaksin yang banyak tetapi tidak dapat membuat suntikan berkesan.

“Ada negara yang program imunisasi agak lambat dan kita pula merancang untuk selesaikan semuanya dalam tempoh 12 bulan,” katanya.

Dalam program kira-kira sejam itu, Khairy turut berkongsi rutin harian beliau yang sentiasa berhubung dengan pengeluar vaksin supaya mematuhi jadual seperti dalam kontrak bagi memastikan tiada sekatan dan penghantaran akan sampai tepat pada masanya.

Pada 8 Januari lalu, Khairy mengumumkan vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sekali gus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.

Selain Malaysia, 49 negara turut memberi kelulusan terhadap vaksin itu, malah sudah ada sebahagian daripada negara terbabit mula menggunakannya.

Untuk rekod, vaksin Pfizer juga vaksin COVID-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.

Dalam pada itu, Khairy turut menasihati rakyat agar tidak ragu-ragu dan bimbang mengenai tahap keselamatan vaksin percuma yang dibeli kerana ia disahkan bebas daripada sebarang bahan berkaitan haiwan.

PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN AKAN BERMULA HUJUNG BULAN INI

VAKSIN PERCUMA

Pada 4 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan menyasar sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin yang akan diberikan secara percuma dalam tiga fasa.

Fasa pertama dari Februari hingga April adalah untuk sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu.

Fasa kedua dari April hingga Ogos adalah bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, selain golongan orang kurang upaya (OKU).

Fasa ketiga pula golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini hingga Februari tahun depan.

Sumber – BERITA HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More