Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Doa Kepada Ibu Bapa

Doa Kepada Ibu Bapa

Doa Kepada Ibu Bapa adalah doa khas untuk ibu bapa kita, yang banyak berkorban untuk kita, membesarkan kita dari kecil.

 

 

Isi Kandungan

Doa Kepada Ibu Bapa

 

Kita perlu memberikan sepenuh kasih sayang kepada ibu bapa kita, kerana mereka adalah pemegang tali penghubung nyawa ketika kita meningkat dewasa. Kedudukan ibu bapa dalam Islam sangat tinggi. Allah swt memerintahkan anak-anak untuk mentaati ibu bapa selagi mana ia tidak bertentangan dengan syara’. Malah, dosa menderhaka kepada ibu bapa dikategorikan sebagai dosa-dosa besar. Malah, keredhaan Allah swt juga terletak pada keredhaan ibu bapa. Disini disediakan Doa Kepada Ibu Bapa yang khusus terdapat dalam Al-Quran yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian.

 

Doa Ibu Bapa – 1

 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدِيْنَا وَارْحَمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا

Maksudnya:

Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa ke Dua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi aku sejak kecil.

 

Doa Ibu Bapa – 2

 

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya:

Tuhan kami, berilah ampun aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim, Ayat 41)

 

Doa Ibu Bapa – 3

 

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا

Maksudnya:

Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku, orang yang masuk ke rumahku dengan beriman dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan. Dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kebinasaan.” (Surah Nuh, Ayat 28)

 

Doa Ibu Bapa – 4

 

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya:

…Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” (Surah an-Naml, Ayat 19)”

 

DOA KEBAHAGIAN IBU BAPA

Doa Kepada Ibu Bapa
Photo by Noelle Otto from Pexels

Ibu mengandungkan kita selama 9 bulan dengan penuh susah payah. Ditambah pula kesakitan sewaktu melahirkan kita. Setelah bertarung nyawa melahirkan kita ke dunia, ibu tetap berusaha menyusukan dan menjaga kita supaya menjadi anak yang soleh solehah.

Bapa pula tanpa kenal erti lelah, membanting tulang mencari nafkah untuk membesarkan kita. Memberi kita keselesaan, memberi pendidikan yang baik, memberi makan dan minum yang halal lagi baik agar kita membesar menjadi anak yang berguna.

Firman Allah swt ,

“Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu dan bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya juga dengan susah payah. Kemudian, ibu menyusuinya hingga dia berusia 30 bulan…” (Surah al-Ahqaf, Ayat 15).

Ibu dan ayah adalah satu anugerah Allah swt paling bermakna. Tanpa mereka berdua, tak mungkinlah kita dapat melihat keindahan dunia. Selagi mereka masih bernyawa, hargailah mereka seadanya. Bahagiakanlah mereka selagi ada daya. Doa ibu bapa buat anak-anak tiada hijab. Jadi, pintalah mereka mendoakan kesejahteraan kita sebagai seorang anak. Bagaimanapun, doa seorang anak buat ibu bapa juga amatlah mustajab.

 

 

ADAB BERDOA

 

Allah telah berjanji untuk memakbulkan doa hambaNya yang berdoa. Seperti firman Allah di dalam Al-Quran:

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”Al Baqarah: 186

Terdapat beberapa adab serta peraturan yang sunnah untuk dilakukan apabila kita berdoa, demi mendapat kelebihan dan barakah daripada Allah SWT, serta dimakbulkan doa seperti contoh doa diilhamkan kecerdasan di atas. Berikut disertakan beberapa panduan mengikut Al-Quran dan sunnah:

  1. Sebaik-baiknya berwudhu’ Sebelum Berdoa
  2. Merapatkan kedua-dua belah tapak tangan dan mengangkatnya ke paras dada.
  3. Betulkan kedudukan dalam keadaan sopan seperti duduk iftirasy dan duduk tahiyat akhir. Jika berdiri tegakkan badan betul-betul dan jangan menyandar / bersandar.
  4. Mengarahkan badan menghadap kearah qiblat.
  5. Sabda Rasul s.a.w.: Tiap tiap doa akan terhalang sehingga dia bersalawat kepada Nabi s.a.w. (Hadis Hasan) Doa hendaklah dimulakan dan diakhirkan dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
  6. Berdoalah dengan penuh keyakinan dan bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan.
  7. Perbanyakkan memuji kebesaran allah dan menyebut nama-nama allah yang lain yang bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu.
  8. Berdoalah dengan suara yang lembut
  9. Mengulangi setiap pemohonan sebanyak tiga kali
  10. Berdoa Sambil Menangis
  11. Berdoa Pada Beberapa Waktu dan Keadaan yang Mustajab
  12. Tidak tergesa-gesa dan tidak bosan untuk terus berdoa.
  13. Tidak berdoa untuk suatu dosa atau untuk memutus silaturahim.
  14. Berdoa dengan doa yang ma’tsur dan jawami’ al-du’a’ (doa-doa yang singkat dan padat namun menghimpun segenap kebaikan).
  15. Mendoakan diri sendiri sebelum mendoakan orang lain.

 

Berdoa itu adalah ibadah, maka hendaklah seseorang Muslim itu memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa, supaya doa itu dimakbulkan. Sesiapa yang memenuhinya, maka dia akan mendapat segala yang diminta. Namun bagi sesiapa yang mengabaikannya, dialah orang yang melampaui batas dalam berdoa sehingga tidak ditunaikan doanya.

 

 

Penutup

 

Akhir kata, diharap perkongsian kami tentang Doa Kepada Ibu Bapa ini dapat memberi panduan buat semua, dalam mendoakan kedua ibu bapa kita semua. Semoga doa kepada ibu bapa ini memberi manfaat buat semua, dan dapat diamalkan dalam kehidupan harian. Moga semua pembaca dan pengikut Tcer.my dan ibu bapa anda dalam lindungan dan rahmat Allah sentiasa.

Untuk lebih informasi terkini, sila klik pautan berikut: t.me/tcerdotmy

 

 

Artikel berkaitan:

Doa Diilhamkan Kecerdasan

Doa Elok Kesudahan Urusan

Doa Untuk Mereka Yang Diuji Dengan Kecelaruan Mood (Depression, Anxiety, Bipolar)

 

 

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More