Hukum & Waktu Solat Dhuha yang Patut Kita Fahami
Para pembaca yang dikasihi,
Setiap apa yang kita lakukan sesuatu amalan mahupun perbuatan, padanya terdapat hukum-hukum yang ditetapkan. Di sini terdapat dua pendapat mengenai amalan solat dhuha. Jumhur fuqaha bersepakat bahawa solat dhuha hukumnya adalah sunat. Barangsiapa yang menunaikan solat dhuha maka pahala akan diperoleh dan barangsiapa yang meninggalkannya maka tiada apa-apa kesan ke atas dirinya. Hujah ini dikuatkan lagi dengan hadirnya hadis daripada Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam yang bersabda :
Telah diceritakan kepada kami Muslim bin Ibrahim, dikhabarkan kepada kami Syu’bah, telah diceritakan kepada kami Abbas al-Jurairi (Ibn Farrukh), daripada Abi Usman an-Nuhdi, daripada Abu Hurairah Radiyallahu anhu, telah berkata Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam: Aku telah di wasiatkan oleh Khalili (Nabi Ibrahim) dengan tiga perkara ke atasku jangan ditinggalkan perkara-perkara ini sehinggalah aku meninggal dunia iaitu puasa tiga hari pada setiap bulan (bulan-bulan islam), solat dhuha dan witir sebelum tidur.[6] (HR Bukhari)
Selain itu, terdapat beberapa pandangan lain yang boleh kita bahaskan dalam ini. Antaranya ialah mengikut pada mazhab Syafie dan Maliki, mereka berpendapat bahawa solat dhuha itu hukumnya adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut). Manakala dalam mazhab Hanbali pula berpendapat solat dhuha hukumnya adalah barangsiapa yang melihat ia adalah sesuatu yang tidak dituntut maka seseorang itu tidak perlu menunaikannya. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan perkara sunat tersebut bertukar menjadi suatu kefardhuan ke atas orang muslim.[7] Walaupun di sini terdapat pelbagai pendapat daripada mazhab-mazhab, akan tetapi pokok pangkalnya adalah tetap sama hukumnya iaitu sunat. Oleh yang demikian, jelaslah di sini bahawa solat dhuha itu hukumnya adalah sunat.
Segelintir masyarakat ada yang mengatakan ‘tengok, aku tidak perlu solat dhuha pun tetapi rezeki aku, gaji aku banyak melimpah-ruah sampai tujuh keturunan pun tak luak, bukan macam kau, solat dhuha tapi sama sahaja. Tiada apa perubahan pun malah aku lihat kau sampai meminta-minta lagi dengan aku’. Tuan-tuan dan puan-puan, solat dhuha ini bukanlah semata-mata untuk menginginkan rezeki bertambah, akan tetapi solat dhuha ini sebenarnya adalah untuk mendekatkan lagi diri kita dengan Allah di samping kita bekerja keras untuk kehidupan seharian. Selain itu juga, masih ada sebilangan yang bongkak dengan rezeki yang dimilikinya. Jaga-jaga tuan, harta yang kita miliki itu semuanya datang daripada Allah. Adakalanya perlu dikongsi bersama dengan makhluk yang lain.
WAKTU SOLAT DHUHA
Kini, kita akan mendiskusikan berkenaan dengan waktu solat dhuha. Tuan-tuan dan puan-puan, bilakah sebenarnya waktu yang sesuai untuk menunaikan dhuha? Adakah dilakukan pada waktu syuruk ataupun sebaliknya?. Baiklah, mengikut pada pandangan al-Imam Syafie dalam kitabnya ‘fiqh manhaji’ berpendapat bahawa waktu menunaikannya adalah ketika matahari tegak naik dan yang paling afdhal menunaikannya ialah sewaktu matahari naik tinggi segalah kira-kira dalam (3 meter atau 7 hasta) lebih kurang satu per empat waktu pagi.[8] Contohnya, waktu syuruk berlaku pada pukul 7.20 pagi. Maka waktu dhuhanya adalah lebih kurang 25-30 minit selepas waktu syuruk. Jadinya, waktu dhuha pada hari tersebut adalah lebih kurang pada pukul 8.00 pagi.
Walau bagaimanapun, waktu yang paling afdhal untuk menunaikan solat dhuha ialah kira-kira anggaran matahari naik, tinggi segalah (3 meter atau 7 hasta) lebih kurang pukul 9.15 pagi. Mengikut pendapat dalam kitab ‘syarah muqaddimatul al-hadramiyyah’
yang dikarang oleh al-Imam al-‘Allamah al-Faqih Abdullah bafdhal al-Hadramiy : waktu untuk menunaikan solat dhuha adalah selepas matahari naik dan disunatkan untuk melewatkannya sehingga ke satu per empat waktu sebelum masuknya waktu zohor.[9]
[6] Al-Bukhari. Muhammad Bin Ismail Abu Abdillah al-Bukhari. 256H/870. Al-Jami’ Musnad Sahih al-Mukhtar min umur Rasullullah Sallahu alaihi wassalam min ayyamuh (Sahih al-Bukhari). Dar Tauqun Najah
[7] Husain al-Awaesyah. 2000. Al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Muyassarah fi fiqh kitab wa sunnah. Hlm 167 jilid 2. Amman : Dar Ibn Hazim
[8] Mustafa al-Bugha. Fiqh Manhaji ‘ala mazhab lil imam as-Syafie Rahimahullah Taala. hlm. 219 jilid 1. Damsyik: Dar al-Qalam.
[9] Abdullah Bafdhal al-Hadramiy. Syarah Muqaddimah al-Hadramiyyah. Hlm 317. Jeddah : Dar al-Minhaj.