Lee Zii Jia Juara All England 2021
Lee Zii Jia Juara All England 2021 dan kini sebaris dengan Lee Chong Wei, Hafiz Hashim, Tan Aik Huang, Eddy Choong dan Wong Peng Soon – perseorangan lelaki Malaysia yang berjaya memenangi gelaran All England.
Zii Jia juga muncul wakil pertama Malaysia yang berjaya memenangi kejohanan berstatus Super 1000.
Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia melakar sejarah apabila muncul juara Seluruh England selepas menewaskan juara bertahan, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9.
Kejayaan itu pasti cukup manis untuk Zii Jia kerana dapat membalas dendam selepas dikecewakan Axelsen pada aksi separuh akhir di pentas sama tahun lalu.
Zii Jia muncul pemain pertama negara memenangi kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi bekas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.
Ia juga adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.
Namun bukan sesuatu yang mudah untuk Zii Jia memenangi aksi final itu terutama di set pertama apabila dia hanya dapat melakar kemenangan selepas beraksi selama 30 minit.
Zii Jia berpeluang untuk menamatkan perlawanan di set kedua apabila pada satu ketika mendahului 19-14 namun Axelsen bangkit meraih kemenangan 21-19.
Set ketiga menyaksikan Axelsen kepenatan dan semakin hilang tumpuan dengan Zii Jia kekal fokus sekali gus melakar kemenangan mutlak.
Dengan kemenangan itu, Zii Jia meraih ganjaran AS$59,500 (RM244,000).
Lee Zii Jia Mara Ke Final Mudah
Terdahulu Lee Zii Jia melakar kemenangan bergaya dengan menewaskan pemain dari Belanda Mark Caljouw.
Zii Jia yang mendapat momentum selepas menewaskan pemain nombor satu dunia Kento Momoto sebelum ini tidak menghadapi masalah untuk ke final.
Sebagai rekod, kali terakhir pemain Malaysia muncul juara Seluruh England adalah menerusi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang menjuarainya pada edisi 2017.
Sumber Harian Metro