Pendaftaran Vaksin Rendah Berpunca Daripada Sikap Tunggu Dan Lihat
Pendaftaran Vaksin Rendah. Sikap tunggu dan lihat serta tidak maklum mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dikenal pasti antara punca kadar pendaftaran masih rendah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata perkara itu khususnya membabitkan penduduk di kawasan luar bandar yang mungkin tidak mempunyai akses kepada program terbabit.
FAKTOR PENDAFTARAN VAKSIN RENDAH DIAMBIL KIRA
Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK, berkata pihaknya akan mengambil kira semua faktor itu dan memperkasa program komunikasi bagi meningkatkan kadar pendaftaran dari semasa ke semasa.
“Kebanyakannya masih mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mereka mendaftar dan ada (rakyat) di kawasan luar bandar yang tidak tahu langsung mengenai program ini (PICK).
“Mereka mahu lihat dulu, apabila sudah lihat keluarga terdekat dapat (vaksin), mereka lagi yakin dengan vaksin.
“Saya yakin kadar pendaftaran akan meningkat dari semasa ke semasa dengan ia akan menjadi proses jangka sederhana untuk kita lihat (peningkatan kadar) pendaftaran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sumber : BERITA HARIAN