MAIDAM Belum Buat Keputusan Bagi Program Berbuka Puasa di Masjid
MAIDAM Tiada Keputusan Lagi Tentang Berbuka Puasa Di Masjid
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedang mengkaji sebelum memutuskan kebenaran majlis berbuka puasa di masjid dan surau di negeri ini sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Rozi Bidin berkata, kajian secara menyeluruh terutama membabitkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, sedang dilakukan.
Katanya, MAIDAM sedang menunggu garis panduan khusus untuk majlis berbuka puasa di masjid dan surau di negeri ini daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selepas memperoleh garis panduan, kertas cadangan akan dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi mendapatkan perkenan dan sebarang keputusan akan diumumkan untuk dilaksanakan.
“Setakat ini MAIDAM belum membuat keputusan dan sedang menunggu garis panduan khusus untuk majlis berbuka puasa di masjid dan surau di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, M Rozi berkata, walaupun kes penularan pandemik COVID-19 menampakkan semakin berkurangan, tetapi SOP perlu sentiasa dipatuhi.
Sumber Berita Harian
Artikel lain: Pelancaran Biasiswa TATI UC