Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Rentas Negeri Tidak Dibenarkan Untuk Aidilfitri

KKM cadang rentas negeri sambut Aidilfitri ditangguh

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan kemungkinan besar akan memohon penangguhan cadangan bagi tujuan merentas negeri untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika memberi bayangan itu malah tidak menolak kebarangkalian tiada ‘balik kampung’ pada musim perayaan kali ini seperti situasi tahun lalu.

“Memandangkan kes makin meningkat, kita cadang rentas negeri ditangguh terlebih dahulu dalam masa terdekat sebab bimbang banyak varian baharu muncul dalam komuniti,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response To Covid-19 Pandemic: Perspective From The Field’ di pejabatnya hari ini.

Bagaimanapun ujar beliau, segala-galanya bergantung kepada suasana semasa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan Pemulihan berakhir pada 28 April depan.

Sebelum itu, Adham pernah memberi bayangan kemungkinan umat Islam dapat menyambut Hari Raya Puasa dengan merentas negeri pulang ke kampung jika lengkap dua dos vaksin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, individu yang sudah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga belum dibolehkan pulang meraikan perayaan itu.

“Setakat ini kita masih tunggu data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat mengenai tahap kekebalan penerima vaksin,” katanya.

Justeru ujar beliau, banyak negara turut melarang rakyatnya merentas negeri atau wilayah domestik walaupun bukan pada musim perayaan kerana bimbang berlaku penularan baharu.

 

NEGERI

Menyentuh isu kegagalan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan seluruh negara, Adham berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh bertegas susulan penurunan kuasa kepada semua penguat kuasa gred 19 ke atas untuk bertindak mengkompaun pengunjung di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988.

“Mungkin semalam baru masuk hari kedua umat Islam berpuasa dan ramai teruja ke bazar Ramadan sebab tiada tahun lepas, namun kita tetap nasihat mereka patuh SOP,” tegasnya.

Pengunjung katanya, akan diberikan nasihat dan teguran terlebih dahulu sebelum dikompaun sehingga RM1,500 jika dikesan gagal menjaga jarak fizikal atau tiada memakai pelitup muka.

Namun jelas Adham, penutupan bazar hanya boleh dibuat jika ada kes bergejala dan semua pengunjung yang direkodkan hadir melalui data MySejahtera akan dipanggil untuk saringan.

Setakat ini tegas beliau, belum ada lagi kes berkait rapat dengan kluster bazar Ramadan kerana kelazimannya proses itu mengambil 14 hari untuk pengesanan mereka yang bergejala.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Kod QR Hijau Bagi Rentas Negeri

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More