Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kod QR Hijau Bagi Rentas Negeri

Cadangan guna ‘kod QR hijau’ benar rentas negeri

Kerajaan boleh menambah baik prosedur operasi standard (SOP) merentas negeri bagi mengawal peningkatan kes positif Covid-19 yang semakin ketara akhir-akhir ini.

Ketua Strategis Unit Pembangunan Teknologi Maklumat Komuniti dan Usahawan, Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris), Mohd. Zaki Isa berkata, graf jangkitan yang sepatutnya di bawah paras 1,000 kini melebihi 2,000 kes sehari disebabkan aktiviti merentas negeri secara haram.

qr

Jelas beliau, untuk itu pihaknya mencadangkan penambahbaikan dalam platform aplikasi MySejahtera yang mampu memudahkan rakyat merentas negeri, mengurangkan kos pasukan keselamatan sekali gus kesesakan di sekatan jalan raya.

Beliau berkata, setiap individu yang ingin merentas negeri dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusan ujian tersebut perlu dipaparkan di dalam aplikasi MySejahtera.

“Sebagai contoh, ‘kod QR hijau’ adalah untuk mereka yang telah mendapat vaksin, lulus ujian saringan dan mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Individu yang diluluskan untuk merentas negeri hanya perlu mengimbas ‘kod QR hijau’ di check point jalan-jalan tertentu di sempadan setiap negeri dan bagi mengekang kegiatan merentas negeri secara haram, hanya jalan-jalan tertentu di sempadan setiap negeri boleh dibuka untuk laluan bagi merentas negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ProWaris sebelum itu mengutarakan cadangan berkenaan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan diterima baik untuk dipertimbangkan.

Mohd. Zaki berkata, pihak berkuasa juga boleh mengenal pasti individu yang merentas negeri secara haram melalui pendaftaran lokasi kod QR di aplikasi MySejahtera.

Katanya, jika terdapat perbezaan lokasi di antara negeri A dan B yang didaftar seseorang individu, maka pihak berkuasa boleh mengesan sama ada individu terbabit sudah atau belum mendapat kebenaran merentas negeri pada tarikh tersebut.

“Dengan adanya kelebihan-kelebihan seperti ini, lebih ramai rakyat akan menggunakan aplikasi MySejahtera sekali gus menjadikan ia lebih berkesan dan diiktiraf. Ini kerana hanya mereka yang berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dibenarkan merentas negeri,” katanya.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Penggunaan Aplikasi Sabah Trace Bagi Negeri Sabah

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More