136,655 pesara, bekas polis layak terima bantuan ‘one-off’ RM500
Pesara Penerima PJPN Layak Terima Bayaran One-Off
KUALA LUMPUR: Seramai 136,655 orang terdiri daripada pesara, bekas polis dan petugas polis era darurat yang merupakan penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) layak menerima bayaran sekali bayar (one-off) RM500, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.
Pemberian itu sebagai menghargai pengorbanan dan kebaktian golongan berkenaan terhadap negara termasuk ketika era darurat dalam Perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 31 Julai 1960.
“Inilah namanya ‘frontliners’ (petugas barisan hadapan) … jadi disebabkan itu sepatutnya, kita rasa bangga kerana waktu mana sekali pun, asal namanya darurat, petugas barisan hadapan yang sebenar adalah anggota polis itu sendiri.
“Sebelum ini, kita dimaklumkan hanya 40,000 penerima tetapi angkanya dinaikkan sehingga melebihi 100,000 namun hari ini, kita telah dimaklumkan lebih 136,000 yang akan menerima wang RM500 ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penyampaian One-Off RM500 PJPN di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pemberian itu jelas membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat tentang hal ehwal pesara polis, bekas polis serta petugas polis dalam era darurat dengan berusaha mencari ruang dan peluang membantu mereka.
“Pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan kepada 10,000 penerima dengan jumlah peruntukan RM5 juta dan dimasukkan terus ke akaun penerima secara berperingkat sehingga Disember 2022 manakala bagi perwira-perwira yang telah meninggal dunia, bayaran akan disalurkan kepada pasangan atau waris masing-masing,” kata beliau.
Pada Februari, kerajaan mengumumkan bayaran secara “one-off” RM500 yang disalurkan kepada pesara dan bekas polis yang menerima PJPN serta petugas polis yang berkhidmat pada zaman darurat.
Terdahulu pada majlis itu, seramai 79 penerima PJPN yang menetap di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor menerima bayaran berkenaan.
Sumber Sinar Harian
Artikel lain: Permohonan IJM Scholarship 2021