KPDNHEP pertimbang cadangan awalkan kawalan harga
Cadangan Awalkan Kawalan Harga
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempertimbang cadangan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) lebih awal sempena Aidilfitri kali ini bagi memastikan hak pengguna terjamin. Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata ia berikutan kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian seperti ayam, daging dan sayur-sayuran ketika ini.
“Kita memang melaksanakan harga siling untuk barangan keperluan seperti ayam, daging, telur dan minyak masak pada enam perayaan utama.
“Cuma pada kali ini, ada cadangan supaya ia diawalkan berikutan kenaikan harga beberapa barangan keperluan harian seperti ayam, daging dan sayur-sayuran.
“Justeru, kita akan mengkaji kebaikan dan keburukan jika perkara itu diawalkan. Namun, saya memberi jaminan bahawa tindakan yang diambil akan memberi kesan terbaik kepada pengguna di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan keperluan di Pasar Chabang Tiga, di sini, hari ini.
SHMMP yang dilaksanakan sejak 2000 bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (sebelum ini Akta Kawalan Harga 1946), bertujuan menyekat kenaikan harga barangan keperluan pada musim perayaan. Skim kawalan harga itu dilaksanakan pada Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
Ditanya mengenai kemungkinan wujud pembabitan kartel dalam isu kenaikan harga ayam ketika ini pula, Rosol berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan. Beliau berkata, pihak penjual memaklumkan bahawa mereka mendapat bekalan pada harga tinggi daripada pengusaha ladang atas alasan kos makanan ternakan.
“Peladang memberikan alasan bahawa harga makanan ternakan tinggi tetapi secara logik, tidak mungkin ia naik setiap hari.
“Sehubungan itu, kita akan mendapatkan harga di ladang untuk melihat sama ada betul ia ada kaitan dengan kenaikan harga makanan ternakan, atau mungkin dimanipulasi pihak tertentu demi mendapatkan keuntungan lebih,” katanya.
Sumber Berita Harian
Artikel lain: 9 Cabaran Wanita Sebagai Pemimpin