Murid Tidak Perlu Kejar Deretan A
KECEMERLANGAN akademik selalu menjadi ukuran kejayaan apatah lagi dalam sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, deretan A selalunya menjadi lambang murid itu pandai. Bagaimanapun, setiap murid mempunyai kelebihan dalam bidang masing-masing. Tidak semua murid mampu meraih A untuk setiap subjek tetapi masih mampu berjaya dalam akademik.
Namun itu tidak pula bermakna, mendapat keputusan cemerlang tidak penting namun sebagai ibu bapa, kita perlu menyedari setiap anak mempunyai kelebihan tersendiri.
Murid-murid di sekolah rendah dalam lingkungan usia tujuh hingga 12 tahun sedang berada dalam peringkat pembesaran yang pesat. Jika kita merujuk teori pembangunan psikososial Erikson, kumpulan usia itu adalah fasa berdaya usaha untuk melawan rasa rendah diri.
Dalam kumpulan usia ini, setiap mereka sedang dalam fasa mempelajari kemahiran baharu dan menangani risiko perasaan rendah diri jika gagal atau tidak cekap terhadap sesuatu perkara.
Misalnya murid yang baru memasuki alam persekolahan, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mendapat kedudukan terbaik dalam kelas, selain sering bersaing dengan rakan sebaya dalam aktiviti yang dilakukan.
Namun dalam masa sama, murid ini juga akan berasa rendah diri apabila gagal mencapai apa yang diinginkan. Jika mereka berjaya mencari keseimbangan pada tahap ini, ia akan membuatkan mereka berasa kuat (cekap), sekali gus membangunkan kepercayaan mereka berupaya mengendalikan tugas yang ditetapkan.
Ketika dalam proses ini, ada segelintir kanak-kanak yang akan mempunyai kemahiran dalam pendidikan, sukan, seni lukis atau muzik. Ibu bapa prihatin akan menyedari potensi dan kecenderungan anak mereka dan tidak akan mengukur kecemerlangan anak berdasarkan bilangan A dalam peperiksaan.
Apabila murid diberikan tekanan untuk memperoleh bilangan A yang banyak akan berlaku dua kemungkinan iaitu ilmu yang diperoleh tidak berpanjangan disebabkan sasaran mereka hanyalah untuk mendapat markah tinggi selain berpotensi berhadapan tekanan perasaan.
Dalam hal, konsep kejayaan dalam pendidikan sebenarnya banyak bergantung kepada sistem kepercayaan atau pemikiran ibu bapa.
Tidaklah menjadi kesalahan jika anak gagal memperoleh bilangan A yang banyak atau menduduki tangga teratas kecemerlangan akademik jika sekiranya dia membesar sebagai anak yang sopan, berhemah, berterima kasih dan menghormati sesama manusia.
Malah lebih utama, anak seharusnya dididik bukan menjadi murid paling pandai di sekolah sebaliknya sebagai manusia yang cintakan ilmu, rajin membaca dan penuh rasa ingin tahu.
Semua ini juga definisi kejayaan seperti kata pengarang terkemuka Hamka, kecantikan yang abadi terletak pada keelokan adab dan ketinggian ilmu seseorang.
Isi Kandungan
Berikut adalah panduan mendidik anak dari segi akademik
1. Tidak membanding anak dengan anak orang lain atau adik-beradik
Ibu bapa sering membanding-bandingkan kebolehan ataupun kelemahan anak mereka dengan anak orang lain. Ada juga yang suka membandingkan antara adik-beradik, maka perasaan cemburu dan iri hati akan tertanam dalam diri mereka. Sekiranya perbandingan dibuat dengan orang lain, anak-anak akan mudah berasa rendah diri dan hilang kekuatan bersaing. Maka, contoh kejayaan orang lain hanya sesuai diceritakan sewaktu tiadanya tekanan ataupun desakan emosi dalam diri anak-anak.
2. Tidak merendahkan kebolehan anak-anak
Sebagai manusia biasa, kita sering kali merendahkan kebolehan anak secara tidak langsung dan tanpa sedar. Biasanya, ibu bapa yang resah mengenai masalah anak meluahkan keluhannya kepada orang lain di hadapan anak-anak. Ibu bapa perlu sedar akan perkara ini, iaitu setiap perkataan yang kita diungkap kepada anak-anak adalah doa. Oleh itu, ibu bapa perlu cari kebaikan dalam diri anak-anak walaupun kecil. Di samping itu, sebagai ibu bapa jangan mengharapkan perubahan yang mendadak dalam diri anak kerana mereka masih belajar.
3. Menjadi pendengar yang baik
Ramai ibu bapa yang tidak menganggap aspek ini penting bagi mereka. Menjadi pendengar yang baik bukanlah sukar dipraktikkan, cuma ibu bapa sahaja yang tidak memainkan peranan mereka sebagai pendengar. Apabila anak-anak semakin dewasa, mereka cuba merahsiakan banyak perkara daripada pengetahuan ibu bapa. Antara sebabnya adalah disebabkan sewaktu kecil, luahan dan keluhan hati mereka tidak diberikan perhatian oleh ibu bapa. Hal ini boleh membawa kepada pelbagai akibat pada masa hadapan termasuklah penderaan emosi serta gangguan dalam sesuatu hubungan.
4. Memberi kasih sayang
Anak-anak yang kurang kasih sayang akan menunjukkan dua watak yang berbeza iaitu sikap lain ketika di rumah dan lain di sekolah. Oleh sebab itu, ada kalanya ibu bapa tidak boleh menerima apabila guru-guru mengadu dan beritahu bahawa anaknya bermasalah. Seharusnya, ibu bapa harus memberi perhatian dan kasih sayang yang penuh kepada anak-anak. Perhatian dan kasih sayang daripada ibu dan bapa mampu menjadi tunggak kejayaan kepada seseorang anak-anak.
5. Menjadi contoh kepada anak-anak
Ibu bapa seharusnya menjadi contoh utama kanak-kanak, kerana mereka belajar daripada pemerhatian. Jika mahu anak menjaga masa, kita harus tepati masa. Jika mahu anak pegang pada janji, kita tidak boleh memungkiri janji kita pada mereka. Jika mahu anak solat, kita kena solat depan matanya. Jika mahu anak rajin belajar, kita perlu meningkatkan budaya membaca dan mencari ilmu dalam keluarga. Memberi arahan tanpa menunjuk kepada anak-anak tidak akan membuahkan hasil.
Penulis adalah Ketua Jabatan Psikologi, Universiti UCSI
Sumber Berita Harian
Artikel lain: Pendaftaran Platform Warongku