Milo dan Al-Ikhsan Sumbang Kepada 15,000 Pelajar
Titipan Khas Milo dan Al-Ikhsan
Seramai 15,000 pelajar menerima kit Titipan Khas Milo dan Al-Ikhsan Sports sempena kembali ke sekolah mulai awal bulan ini, selepas tamat pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat COVID-19.
Pelajar dari 10 sekolah sekitar ibu negara itu menerima kit yang mengandungi buku nota, pembersih tangan, tisu basah, Milo Activ-Go Plus Fibre, Milo UHT dan baucar bernilai RM20 sumbangan Al-Ikhsan Sports.
Pegawai Eksekutif Unit Perniagaan Milo, Nestle (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen, berkata ketabahan yang ditunjukkan pelajar dalam mengharungi keadaan semasa akibat pandemik harus dijadikan tauladan.
Justeru katanya, Milo dengan kerjasama Al-Ikhsan Sports tampil menghulurkan kit sebagai tanda penghargaan serta untuk menceriakan suasana.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu menyuntik semangat pelajar untuk terus berusaha dalam sesi persekolahan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Su Yen berkata, Milo sentiasa membantu pelajar yang memerlukan tenaga terutama dalam menghadapi sesi persekolahan dengn norma baharu.
Katanya, sesi persekolahan secara bersemuka kali ini sudah pasti akan menjadi padat selepas berbulan pelajar menggunakan kaedah PdPR.
“Keadaan semasa ketika ini turut mengubah cara hidup kita tetapi kepentingan menjaga pemakanan dengan baik tidak pernah berubah.
“Justeru kami mengukuhkan peranan untuk berkongsi khasiat kebaikan Milo dengan pelajar supaya mereka lebih bertenaga setiap hari,” katanya.
Kit Titipan Khas Milo dan Al-Ikhsan Sports itu diedarkan ke sekolah menggunakan van Milo ikonik mulai 5 sehingga 12 April lalu, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sekolah yang terpilih menerima kit itu termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zon R1 Wangsa Maju, SMK Taman Seri Rampai dan SMK Bandar Tasik Selatan.
Sumber Berita Harian
Artikel lain: Pendaftaran Platform Warongku Platform Sama-Sama Lokal bantu Ekonomi Tempatan