Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kerajaan Negeri Perak sedia bantu peniaga terjejas bazar Ramadan tutup

Kerajaan negeri Perak bersedia untuk membantu 30 peniaga bazar Ramadan Bazar Nenas Kampung Selabak di Teluk Intan yang terjejas ekoran operasi bazar itu diarah tutup selepas dikesan berlaku penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pihaknya akan melihat jenis bantuan sesuai untuk disalurkan kepada peniaga terlibat.

kerajaan

“Sama ada bazar itu akan dibuka semula atau tidak, saya tiada jaminan kerana kemungkinan akan ditutup sehingga raya.

“Oleh itu, kita akan lihat jenis bantuan yang boleh dihulurkan kepada kesemua peniaga ini sekiranya mereka masih tidak dibenarkan berniaga sehingga akhir Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Khatam Al-Quran Wanita Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Rizduan di sini hari ini.

Menurut beliau, proses sanitasi di bazar berkenaan oleh agensi berkaitan akan dijalankan hari ini.

Katanya, penutupan bazar itu adalah hasil pengesanan ‘contact tracing’ oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

“Arahan tutup ini bukan disebabkan isu penjarakan fizikal atau tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard) tetapi dari segi ‘tracing’ yang menunjukkan ada risiko tinggi untuk bergejala di sana di mana ia bukan berpunca dari tempat itu sebaliknya dibawa pelawat.

“Jadi, kita akur dengan arahan dan tutup bazar tersebut bagi menjalankan proses sanitasi sehingga menerima arahan untuk membuka semula operasi bazar berkenaan,” katanya.

Menurut Nolee Ashilin, pihaknya menyerahkan kepada KKM untuk menentukan keperluan menjalankan ujian calitan Covid-19 kepada peniaga mahupun pelawat bazar tersebut.

Bazar Ramadan Bazar Nenas Kampung Selabak di Teluk Intan termasuk 22 bazar Ramadan di tujuh negeri yang diarah tutup oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bermula hari ini.

Penutupan itu melibatkan empat bazar Ramadan di Johor, Perak (satu), Kedah (tiga), Pahang (dua), Pulau Pinang (lapan), Selangor (dua) dan Kuala Lumpur (dua).

Sumber Kosmo Online

Artikel lain: Kebenaran rentas negeri kekal kepada lima situasi

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More