Kompaun Langgar SOP tular di Media Sosial adalah Palsu
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan kononnya kompaun sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 akan dikenakan kepada individu yang berada di luar rumah melebihi had waktu ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam satu kenyataan, Pasukan Respons Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memaklumkan, dakwaan yang tular mengatakan prosedur operasi standard (SOP) had masa sehingga jam 10 malam akan dikuatkuasakan, adalah palsu.
Sehubungan itu, katanya, KDN menggesa orang ramai berhenti menyebarkan mesej palsu berkenaan bagi mengelak kekeliruan dan kebimbangan masyarakat.
“KDN menafikan kesahihan mesej tular yang mendakwa kompaun sebanyak RM2,000 sehingga RM5,000 akan dikenakan kepada individu yang gagal mematuhi SOP PKP, iaitu berada di luar rumah atau premis melebihi had masa ditetapkan tanpa alasan munasabah, seperti tular di media sosial.
“KDN menegaskan mesej berkenaan adalah palsu dan orang ramai diminta menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih untuk mengelak an kekeliruan serta kebimbangan masyarakat,” kata kenyataan itu, hari ini.
Mesej yang tular sejak Isnin lalu mendakwa SOP had masa akan mula dikuatkuasakan, yang mana individu berada di luar rumah atau premis melebihi jam 10 malam tanpa alasan munasabah, akan dikenakan kompaun mengikut ‘Akta 134’.
Maklumat palsu itu mendakwa nilai kompaun sebanyak RM2,000 hingga RM5,000 akan dikenakan mengikut jenis kesalahan dilakukan.
Pemeriksaan BH mendapati Akta 134 tiada kena-mengena dengan penguatkuasaan berkaitan PKP dan kawalan penularan COVID-19 kerana ia adalah Akta Orang Asli 1954.
Sumber Berita Harian
Artikel lain: Penafian Berita Palsu Tular Di Sosial Media