Daftar dan Tempah Vaksin AstraZeneca Warga Emas
Kepada warga emas yang masih belum menerima vaksin COVID-19, anda kini berpeluang untuk membuat tempahan bagi vaksin AstraZeneca yang akan dibuka tidak lama lagi.
Sebelum ini, tempahan vaksin AstraZeneca telah dibuka kepada orang awam pada 2 Mei 2021 melibatkan 268,000 orang terawal di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Untuk kali ini, tempahan vaksin AstraZeneca hanya ditawarkan kepada warga emas menerusi konsep ‘first-come, first-served” atau siapa cepat dia dapat.
Tempahan vaksin ini boleh dibuat secara atas talian mulai 23 Mei 2021 melalui laman web http://vaksincovid.gov.my.
Isi Kandungan
Vaksin AstraZeneca
Vaksin AstraZeneca adalah vaksin yang selamat untuk warga emas yang dibangunkan melalui kerjasama AstraZeneca dan Universiti Oxford.
Vaksin ini telah diuji dan menunjukkan keberkesanan yang tinggi dalam ujian klinikal di United Kingdom dan Amerika Syarikat bagi mencegah penyakit yang teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.
Vaksin ini juga telah diluluskan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebagai salah satu vaksin yang selamat dan berkesan terhadap jangkitan COVID-19 bagi orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas.
Kesan Sampingan
Kesan sampingan biasa yang mungkin dihadapi oleh mereka yang telah mengambil vaksin AstraZeneca dalam masa 24 hingga 48 jam dalah seperti berikut:
- Sakit atau sengal di tempat suntikan
- Keletihan
- Sakit kepala
- Sakit otot
- Demam
- Rasa seram sejuk
Individu Tidak Sesuai Menerima Vaksin
Terdapat beberapa kategori individu yang tidak sesuai menerima vaksin seperti:
- Individu mempunyai sejarah alahan/alergi yang serius terhadap makanan/ubat/persekitaran sehingga memerlukan rawatan hospital.
- Individu yang mengalami alahan/alergi yang serius selepas menerima dos pertama vaksin.
- Individu yang menjalani transplan/pemindahan organ seperti buah pinggang atau sel stem darah dalam masa 3 bulan sebelum menerima vaksin.
- Individu yang sedang menjalani rawatan kanser seperti radioterapi, kemoterapi, dan imunoterapi.
- Individu yang mengidap penyakit HIV dengan sel darah putih CD4 kurang 200 cells/mL.
- Ibu yang sedang mengandung atau merancang untuk hamil.
- Individu yang sedang demam disebabkan jangkitan virus/bakteria.
- Individu yang menerima rawatan antibodi monoclonal atau plasma darah sebagai rawatan untuk COVID-19 dalam masa 3 bulan sebelum menerima vaksin.
- Individu yang mempunyai sel darah platelet yang rendah iaitu di bawah 50,000 per microlitre.
Syarat Tempahan
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca ini, terdapat beberapa syarat tempahan yang perlu dipenuhi iaitu:
- Warga emas tersebut mestilah berumur 60 tahun ke atas.
- Telah mendaftar untuk vaksinasi bersama dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
- Menetap di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sarawak atau Selangor.
- No kad pengenalan dan alamat di aplikasi MySejahtera adalah betul.
Cara Membuat Pendaftaran & Tempahan
Untuk membuat tempahan vaksin ini, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web http://vaksincovid.gov.my pada 23 Mei 2021.
- Klik pada banner ‘Tempahan AstraZeneca.’
- Isi maklumat yang diperlukan.
- Tentukan tarikh temu janji dan tempat vaksinisasi yang diinginkan.
Pertanyaan & Maklumat Lanjut
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai tempahan vaksin ini, sila hantar emel ke alamat [email protected].
Artikel lain: Vaksin Pfizer-BioNTech Sesuai untuk Ibu Mengandung