Kelulusan automatik moratorium bagi peminjam terkesan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memberi jaminan kelulusan diberikan secara automatik bagi moratorium kepada peminjam yang layak yang mana terkesan oleh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menjelaskan peminjam yang terkesan boleh memilih pakej bantuan sama ada;
- Moratorium selama tiga bulan atau
- Pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan
Peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing.
Beliau berkata, peminjam yang layak ialah;
- Mereka yang kehilangan pekerjaan sama ada daripada kumpulan B40, M40 dan T20,
- Penerima Bantuan Sara Hidup/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR),
- Perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor yang tidak dibenarkan beroperasi berikutan sekatan pergerakan penuh.
- Peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan
Katanya, peminjam M40 dan T20 yang berdepan pengurangan pendapatan juga boleh memohon untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman mereka sejajar dengan pengurangan pendapatan mereka.
“Peminjam yang terkesan boleh menghubungi bank mereka untuk memilih apa yang mereka mahukan dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
“Saya ingin menekankan bahawa bantuan bukan saja dalam bentuk moratorium saja, institusi perbankan juga telah menyediakan pakej khusus untuk peminjam yang terjejas. Institusi perbankan komited untuk memproses pakej ini dengan cara mudah dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengulas lanjut mengenai pemberian moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman hari ini.
Dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai RM40 bilion, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan.
Inisiatif itu akan dilaksanakan segera pada Jun 2021 dan dijangka memanfaatkan lebih lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.
Tengku Zafrul menjelaskan, pengumuman moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam terkesan itu adalah hasil perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank.
Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan moratorium yang boleh disediakan oleh bank atau bagaimana ia dilaksanakan.
Sumber Berita Harian
Artikel lain: PEMERKASA Plus Bantuan Sehingga RM1500