Surat MITI Sejak 1 Jun Masih Terpakai Sehingga 28 Jun 2021
KUALA LUMPUR – Surat kelulusan yang diperoleh syarikat melalui Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lepas tetap sah sepanjang tempoh lanjutan PKP 3.0.
Surat kelulusan CIMS ini boleh dipakai dari 15 hingga 28 Jun 2021, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pengumuman itu dibuat selepas fasa PKP 3.0 sekarang ini disambung untuk dua minggu lagi.
Ia pada mulanya dijadualkan berakhir 14 Jun tetapi dilanjutkan sehingga 28 Jun.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya, polis akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan oleh 12 Kementerian dan Agensi yang dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kementerian dan Agensi yang mengeluarkan surat atau permit pergerakan adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Pengangkutan; Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM);
Baca Juga: Surat Permohonan MITI PKP (1-14 Jun 2021)
“Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Bank Negara Malaysia (BNM); Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan PDR,” katanya pada sidang media Rangkuman Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Pada masa sama, Hamzah mengingatkan orang ramai untuk tidak memalsukan atau memberikan maklumat palsu ketika membuat permohonan surat atau permit pergerakan daripada pihak berkuasa.
Kementerian itu, melalui agensi penguatkuasaannya akan terus memantapkan pemantauan terhadap SOP sepanjang lanjutan sekatan pergerakan penuh dijadualkan hingga 28 Jun ini.
*Sumber: Bernama / Berita Harian