PROSEDUR NIKAH ONLINE
Pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan mestilah melakukan permohonan dan mendapatkan kebenaran berkahwin melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri masing-masing. Permohonan Kebenaran Berkahwin Online adalah satu inisiatif Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri – negeri bagi tujuan memberikan kemudahan kepada masyarakat umumnya dan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan khususnya memohon kebenaran pernikahan.
Permohonan Kebenaran Berkahwin Online pada masa ini hanya meliputi permohonan yang dibuat di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan namun kemudahan ini akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain di dalam masa yang terdekat.
Disebabkan kekangan pergerakan dalam tempoh PKP, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini melaksanakan Majlis Akad Nikah satu pasangan pengantin secara atas talian (online), yang pertama di Malaysia.
Menurut Berita Al Hijrah, majlis pernikahan secara online melalui sidang video itu membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, disempurnakan dalam sekali lafaz.
Majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada jam 10.10 pagi hari ini, 18 April 2020.
Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi.
Majlis bersejarah yang turut disiarkan menerusi Facebook Live Berita AlHijrah itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang permohonan dan prosedur nikah online ini.
Isi Kandungan
1. KELONGGARAN KEPADA PASANGAN YANG TELAH MEMPEROLEHI KEBENARAN BERKAHWIN : nikah online
Majlis nikah online itu selaras dengan ketetapan terbaru JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi Kebenaran Berkahwin daripada JAWI untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.
2. HENDAKLAH DILAKUKAN DALAM SATU MAJLIS
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menegaskan bahawa para fuqaha’bersepakat mensyaratkan bahawa bagi memastikan sesuatu akadnikah itu sah, ia hendaklah dilakukan dalam satu majlis (ittihadal-majlis) supaya semuanya terlibat secara langsung semasa pelaksanaan ijab dan qabul.
3. SYARAT-SYARAT LAIN
Menurut JAWI, akad nikah menerusi sidang video telah memenuhi syarat Ittihad al-Majlis kerana ia dikelaskan sebagai Ittihad al-Majazi.
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa adalah harus melakukan akad nikah menerusi sidang video dengan syarat- syarat seperti yang berikut:
- Hendaklah majlisini berlangsung ditahap al-yakin bukan al-zhan.
- Tidak ada unsur penipuan (al-gharar) dan keraguan.
- Cukup semua rukun dan syarat-syarat sah nikah menurut hukumsyarak.
- Digalakkan wali sendiri yang mengakad-nikahkan pasangan.
- Terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan kerana berjauhan seperti berada di luar negara dan sukar bagi kedua-dua belah pihak berada dalam satu majlis yang sama disebabkan sakit, banjir dan sebagainya.
- Tertakluk kepada semua peraturan dan undang-undang (seperti Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri) yang sedang berkuatkuasa.
4. CARA PERMOHONAN NIKAH ONLINE
NIKAH ONLINE JUGA TELAH DILAKSANAKAN DI UAE
Antara negara melaksanakan nikah online ekoran penularan wabak COVID-19 adalah Emeriyah Arab Bersatu (UAE).
Menurut Harian Metro, warga UAE dan penduduk di sana boleh memilih tarikh untuk majlis perkahwinan dalam talian yang akan dikendalikan menerusi pautan video bersama jurunikah selepas semua dokumen berkaitan diluluskan.
Menerusi prosedur itu, jurunikah akan mengesahkan identiti pasangan dan saksi sebelum sijil nikah diserahkan kepada mahkamah khas untuk pengesahan. Pasangan pengantin akan menerima pengesahan sijil nikah itu melalui mesej teks.
Sudah mudah bukan? bagi pasangan yang hendak bernikah tetapi tertangguh sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan bolehlah buat cara ini.