Jangan Rasa Bersalah Minta Suami Buat Kerja Rumah
Suami Buat Kerja Rumah? Apakah salah jika isteri minta bantuan suami sendiri? Mengemudi rumah tangga sememangnya memerlukan kerjasama daripada suami juga isteri. Ini termasuk hal dalam menguruskan rumah mahupun anak. Tapi malangnya, ada segelintir suami menganggap urusan rumah tangga harus sepenuhnya diberi kepada isteri. Manakala suami hanya bertugas mencari nafkah.
Mungkin disebabkan keegoan lelaki atau rasa bersalah untuk meminta suami membuat itu ini, si isteri tetap setia melakukan segala kerja rumah hingga mengorbankan segala masa dan tenaganya. Sesekali bila disuruh dikatanya pula kita ni membebel. Inilah dilema yang selalu dirasai oleh kebanyakan wanita bergelar isteri.
Isi Kandungan
SEBAB JANGAN RASA BERSALAH MINTA SUAMI BUAT KERJA RUMAH
Sebenarnya, anda tak perlu rasa bersalah untuk membahagikan tugas dan meminta tolong daripada suami untuk melakukan kerja rumah.
1. BEBAN KERJA RUMAH TAK PERNAH HABIS
Realiti pertama yang perlu dihadam oleh suami adalah betapa banyaknya kerja rumah dan ia takkan pernah habis. Tak ada istilah ‘cuti’ untuk isteri, lebih-lebih lagi yang dah bergelar ibu. Malah, kalau anda perasan, kebanyakan kerja rumah ini seakan-akan ‘invisible’ – contohnya mengemas, memasak, mencuci, dan menghantar anak ke sekolah. Kalau kita buat orang tak nampak, tapi kalau kita tak buat, barulah semua orang dalam rumah akan rasa perbezaannya.
2. SUAMI BELAJAR LEBIH MEMAHAMI
Apabila suami belajar menguruskan anak dan kerja rumah, sedikit sebanyak mereka dapat lebih memahami kesusahan serta kepayahan isteri. Jika tidak, mungkin ada yang masih berfikiran kolot dan beranggapan bahawa isterilah yang sepatutnya menyiapkan semua kerja rumah. Lebih menyedihkan, isteri yang menjadi surirumah langsung tak dihargai dan diperli asyik ‘goyang kaki’ semata-mata kerana mengharapkan nafkah dari suami.
3. MENGUKUHKAN RUMAH TANGGA
Dalam hasil penyelidikan baru-baru ini, kajian mendapati bahawa penglibatan suami terhadap kerja rumah dan penjagaan anak-anak mampu mengukuhkan rumah tangga. Ia juga terbukti membantu mengurangkan kes penceraian selain menjadi tunggak kepada kestabilan emosi kedua-dua pasangan.
4. SUAMI ADALAH CONTOH KEPADA ANAK-ANAK
Seorang ketua keluarga yang baik tentu sekali tidak akan mengambil kesempatan terhadap ahli atau anak-anak buahnya. Mereka amanah dalam memegang tanggungjawab terpenting dalam rumah tangga. Mereka memastikan kesemua ahlinya berasa gembira, selamat, dan terjamin. Mereka bijak mendelegasikan tugas, menyumbang, dan tidak sekadar mengarah, Tapi kalau hal menguruskan diri sendiri pun asyik harapkan isteri, bagaimana anak mahu mencontohi kepimpinan mereka?
5. ANAK-ANAK RINGAN TULANG
Jangan ingat anak-anak tak faham apa-apa walaupun mereka masih kecil. Percayalah, mereka lebih mudah mengikut apa yang kita buat berbanding apa yang kita bebelkan setiap hari. Dengan melihat kerjasama antara ibu dan ayah mereka, pastinya anak-anak akan membesar dengan sifat toleransi, berdikari, dan empati yang tinggi.
Tak dinafikan ramai juga suami yang sangat rajin dan sangat menyantuni isteri. Beruntunglah anda. Ada juga suami yang mahu menolong tetapi tak tahu nak mulakan dari mana. Bantulah mereka. Fahamkan mereka. Berbincanglah elok-elok. Bila suami dah tolong, sebaiknya hargailah usaha mereka. Walaupun awal-awal tak perfect mana, itulah juga bukti kecintaan mereka kepada anda!