Operasi Saman Ekor Bermula Dikuatkuasakan Pada 21 Ogos
Operasi Saman Ekor merupakan satu proses di mana pemilik kenderaan diminta memberikan butiran atau maklumat yang relevan berkenaan kesalahan lalu lintas yang dilakukan.
Memandu dengan berhemah dan mengikuti had kelajuan yang ditetapkan kerana penguatkuasaan Operasi Saman Ekor atau saman tembak laju telah diperketatkan bermula Isnin.
Ini kerana menurut peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz, tindakan mengabaikan saman itu boleh membawa kepada tindakan yang lebih tegas diambil kepada individu terlibat.
Jelasnya, apabila saman itu dihantar ke alamat yang didaftarkan, pemilik kenderaan masih mempunyai hak untuk memberikan penjelasan tentang kesalahan. Ia termasuklah jika kenderaan mereka itu dipandu oleh individu lain atau nombor kenderaan dipalsukan.
Individu atau pemilik kenderaan diharapkan supaya tidak memandang ringan jika menerima saman yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.
Isi Kandungan
Operasi Saman Ekor Bermula Dikuatkuasakan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang melaksanakan operasi saman tembak laju atau Operasi Saman Ekor di seluruh negara, bermula 21 Ogos 2023.
Operasi itu dilaksanakan bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Susulan itu, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan itu di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman dan notis saman K170A yang akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.
8,718 Kenderaan Telah Dikenakan Saman Pada Hari Pertama Operasi Saman Ekor Dilaksanakan
Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, berkata pada hari pertama pelaksanaannya, sebanyak 8,718 kenderaan dikenakan saman K170A iaitu 8,352 kereta, motosikal (44) dan 322 saman kenderaan perdagangan / perkhidmatan.
Beliau berkata, penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.
“Tindakan ini bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dalam negara. Anggota JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju ditetapkan. Saman kompaun bernilai RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu,” katanya kepada Berita Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Nasri berkata, memandu melebihi kelajuan adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini selepas pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mengikut peraturan ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi. Kerjasama orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga pengguna kurang bersetuju dengan tindakan saman ekor tersebut kerana ia akan menyukarkan segelintir pemandu yang sedang mengalami kesulitan terutama melibatkan hal kecemasan.
Tetapi, usaha pihak berkuasa tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kemalangan. Jika berlaku situasi kecemasan, kenderaan yang dipandu dengan kelajuan yang bersesuaian atau mengikut had kelajuan yang ditetapkan mudah dikawal.
Mahu ataupun tidak, ia merupakan salah satu cara bagi melindungi keselamatan diri, penumpang dan pengguna lain.
Sumber: Buletin TV3
Diharapkan dengan perkongsian tentang Operasi Saman Ekor ini dapat memberi iktibar dan menjadikan pengguna kenderaan di luar sana lebih peka dan bijak berkenaan had kelajuan yang sepatutnya ketika memandu di jalan raya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda semua.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di tcerdotmy kerana kami sentiasa menyediakan info-info yang sahih dan tepat untuk anda.