10 Tips Mudah Latih Anak Berpuasa
Latih Anak Berpuasa bukan satu perkara mudah. Teringat waktu mula-mula kita hendak mula belajar berpuasa waktu kecil dulu. Waktu itu kita masih lagi belum faham tujuan utama umat Islam berpuasa. Kesukaran ibubapa kita dulu untuk Latih Anak Berpuasa semasa kita kecil mula tergambar saat kita sudah dewasa.
Awal berpuasa sememangnya bersemangat, masuk waktu tengahari, bermacam-macam alasan yang diberikan untuk berbuka awal.
Selalunya apabila dijanjikan ganjaran, baru bersemangat untuk berpuasa penuh. Itupun apabila puas dipujuk ibu bapa.
Kini setelah dewasa, ia menjadi giliran kita untuk mengambil tanggungjawab tersebut mengajar anak-anak kita pula untuk berpuasa.
Walaupun, hukum berpuasa bagi kanak-kanak adalah tidak wajib selagi mereka belum baligh. Namun, tidak salah usaha melatih berpuasa ini dimulakan awal tetapi ia bergantung dengan kemampuan dan kesediaan mereka. Tidak perlu terlalu memaksa.
Melatih anak untuk berpuasa pada zaman kini memerlukan kreativiti dan menggunakan kaedah-kaedah menarik bagi menarik minat anak-anak untuk berpuasa.
Dengan sedikit usaha, semangat, sokongan dan kesabaran. Insyaallah anda boleh berjaya!
Isi Kandungan
10 Tip Latih Anak Berpuasa Yang Patut Kita Cuba
Berikut adalah 10 tips yang boleh membantu kita untuk melatih anak-anak belajar berpuasa yang boleh cuba dipraktikkan :-
1 – Terangkan dengan Bahasa yang Mudah Difahami
Ibu bapa boleh menerangkan mengapa perlu berpuasa dan hikmahnya dengan bahasa mudah, ringkas dan menarik supaya lebih mudah difahami.
2 – Mula Secara Berperingkat
Awal berpuasa tidak perlu untuk berpuasa penuh, cukuplah hingga kemampuan anak-anak atau boleh tetapkan masa supaya anak anda tidak terlalu stress berpuasa sehingga tidak mahu meneruskan pada hari berikutnya.
3 – Beri Pujian
Berilah pujian di atas kejayaan dan usaha gigih mereka untuk belajar berpuasa walaupun separuh hari. Semestinya mereka berasa semakin bersemangat untuk terus berpuasa.
4 – Sediakan Makanan Kegemaran
Ketika bersahur atau berbuka, cuba hidangkan makanan kegemaran mereka. Supaya ia dapat menarik minat mereka untuk terus berpuasa.
Ibu boleh lebih kreatif menyediakan hidangan kegemaran anak-anak.
5 – Sediakan Makanan Berkhasiat
Berikan makanan tinggi karbohidrat, tinggi serat dan protein kepada anak anda supaya mereka dapat bertahan lebih lama ketika berpuasa.
Kurangkan makanan bergaram dan minuman manis kerana ia boleh menyebabkan anak anda mudah dehidrasi.
Sayur dan buah-buahan juga perlu bagi memenuhi keperluan vitamin dan zat mineral yang sangat penting untuk anak-anak.
6 – Pilih Permainan Yang Santai
Galakkan anak-anak bermain permainan indoor yang menggunakan tenaga yang minima. Bagi mengelakkan mereka tidak cepat letih dan penat.
7 – Kurangkan Penampakan Makanan Di Siang Hari
Kurangkan menonton iklan-iklan makanan yang boleh menggugat misi berpuasa mereka.
Simpan stok makanan kudapan mereka seperti biskut, snek dan sebagainya di tempat yang tidak boleh dilihat oleh mereka.
8 – Minum Air Kosong Secukupnya
Di antara waktu berbuka sehingga waktu sahur, galakkan anak-anak untuk minum air kosong secukupnya bagi mengelakkan mereka dehidrasi sepanjang berpuasa.
9 – Tidur Awal
Pastikan anak anda tidur awal agar mereka mudah untuk bangun bersahur dan lebih bertenaga berpuasa nanti.
10 – Kepimpinan Melalui Tauladan
Tunjukkan kepada anak anda tentang seronoknya berpuasa dan melakukan pelbagai ibadah berpuasa, solat dan membaca Al-Quran bersama-sama di dalam bulan puasa.
Secara tidak langsung ia dapat mencerminkan contoh yang baik untuk anak anda.
Anak-anak adalah tanggungjawab kita semua. Kita seharusnya menjadi ibubapa yang berilmu yang dapat menzahirkan ilmu yang baik kepada mereka.
Apa Tips Anda Untuk Latih Anak Berpuasa
Diharapkan tips-tips ini dapat memberi sedikit idea dan panduan kepada ibu bapa untuk proses pengajaran dan pembelajaran kepada anak-anak tentang ibadah puasa. Gunakan lah peluang berpuasa di dalam tempoh PKP ini sepenuhnya. Semoga niat kita untuk membentuk generasi akan datang ini untuk lebih celik agama dipermudahkanNya.
Jika anda sebagai ibubapa mempunyai tips dan teknik tersendiri untuk melatih anak berpuasa, jangan segan untuk kongsikan dengan kami.