4 Langkah Menggunakan Alat Pemadam Api Dengan Betul
Kali ini kami akan kongsikan sedikit info tentang alat pemadam api yang perlu diketahui oleh umum dan untuk rujukan kita semua.
Isi Kandungan
Apa Itu Alat Pemadam Api?
Alat Pemadam Api (APA) adalah sejenis alat untuk memadam api secara mekanikal yang mudah alih dan boleh mengawal serta memadamkan kebakaran kecil mengikut kelas api dan kebakaran tertentu.
Pemadam api adalah alat perlindungan kebakaran aktif yang digunakan untuk memadamkan atau mengendalikan kebakaran kecil, yang sering digunakan dalam situasi kecemasan.
Hal ini tidak termasuk untuk digunakan pada api di luar kawalan seperti
- yang akan membahayakan pengguna (iaitu tidak ada jalan keluar, asap, bahaya letupan dan sebagainya); atau
- memerlukan anggota bomba dan penyelamat.
Alat pemadam api adalah sebuah peranti yang
- mudah alih untuk memadamkan kebakaran kecil.
- boleh digunakan untuk memadamkan api (biasanya bekas silinder alat pemadam api diisi dengan karbon dioksida, serbuk kering atau air).
- boleh mengawal dan memadam kebakaran pada peringkat awal.
Jenis Alat Pemadam Api
Setiap kebakaran yang berlaku, ada pemadam api yang telah di khaskan mengikut bahannya. Terdapat 6 jenis alat pemadam api yang perlu kita ambil tahu iaitu
- Pemadam api air (water) – warna pelekat adalah merah
- Pemadam api kabus air (water mist) – warna pelekat adalah merah
- Pemadam api buih (foam) – warna pelekat adalah krim
- Pemadam api serbuk kering (dry powder) – warna pelekat adalah biru
- Pemadam api karbon dioksida (carbon dioxide) – warna pelekat adalah hitam
- Pemadam api kimia basah (wet chemical)
Kelas – Kelas Api
Kelas api mengikut jenis pemadam api adalah seperti ketetapan berikut:
Kelas | Deskripsi | Jenis |
A | Kebakaran melibatkan bahan api mudah terbakar jenis pepejal (kecuali logam) dan mengandungi unsur-unsur karbon seperti kayu, kertas, kain, sampah dan sebagainya. | 1. Air 2. Buih 3. Debu Kering |
B | Kebakaran melibatkan bahan api mudah terbakar jenis cecair seperti petrol, diesel, tar, vernish, cat dan sebagainya. | 1. Buih 2. Debu Kering 3. Karbon Dioksida |
C | Kebakaran melibatkan bahan api mudah terbakar jenis gas atau wap seperti hidrogen, methane, propane, oxy-acetylene, gas LPG dapur dan sebagainya. | 1. Debu Kering 2. Karbon Dioksida |
D | Kebakaran melibatkan bahan api mudah terbakar jenis logam seperti magnesium, aluminium, natrium, kalium dan sebagainya. | 1. Debu Kering |
E | Kebakaran melibatkan barangan atau peralatan elektrik. | 1. Debu Kering 2. Karbon Dioksida |
F | Kebakaran melibatkan bahan masakan seperti minyak masak atau lemak. | 1. Debu Kering 2. Karbon Dioksida |
Cara Guna Alat Pemadam Api
Sebelum menggunakan pemadam api, kita perlu mengetahui dahulu bahagian-bahagian yang terdapat pada alat tersebut. Terdapat 8 bahagian yang kita perlu tahu iaitu
- Pin Keselamatan
- Meter Tekanan
- Hos
- Nozel
- Pemicu
- Ganggang
- Label Dan Informasi
- Tabung
Cara untuk menggunakan pemadam api adalah sangatlah mudah. Anda hanya perlu mengingati cara mengawal api menggunakan kaedah P.A.S.S sahaja.
P.A.S.S adalah
Pull (Tarik) > Aim (Halakan) > Squeeze (Tekan) > Sweep (Layankan)
Menurut Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, berikut adalah langkah-langkah menggunakan pemadam api yang betul, iaitu
- Pertama sekali, tarik pin pemadam api.
- Kemudian, halakan nozel kepada pangkal atau punca api.
- Tekan tuil bagi membolehkan alat pemadam disembur.
- Layankan nozel ke kiri dan ke kanan sehingga api dipadamkan sepenuhnya. Pastikan kedudukan dari pangkal api lebih kurang 2 hingga 3 meter dan tidak melawan arah angin.
Kebaikan Alat Pemadam Api
Antara kebaikan mempunyai alat pemadam api adalah
- Alat ini sangat mudah dikendalikan.
- Boleh mengawal dan memadam kebakaran di peringkat awal dengan berkesan.
- Gasnya bersih tidak membantu kebakaran.
- Gasnya tidak merbahaya kepada kesihatan dan tidak meninggalkan kesan.
- Gasnya tidak mengalirkan lektrik.
- Boleh menembusi di tempat-tempat permukaan yang kecil.
Mencegah adalah lebih baik sebelum berlaku sebarang bencana. Memiliki alat pemadam api di setiap rumah mampu menyelamatkan harta dan nyawa jika sesuatu kebakaran berlaku.
Setiap alat pemadam api boleh dipakai sehingga 10 tahun, jadi memilikinya di setiap rumah adalah sangat penting kerana bukan semua kebakaran boleh dipadam hanya menggunakan air di rumah sahaja.
Simpanlah alat pemadam api di rumah anda!
Semoga perkongsian tentang alat pemadam api di atas bermanfaat untuk anda semua di luar sana terutamanya untuk mereka yang belum mengetahuinya.