Hantar 40 Jenazah Tidak Sama Dengan Menghantar 3 Jenazah Anak
Salam Takziah. Walaupun kerjanya menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan, namun tidak akan sama dengan situasinya menghnatra jenazah anak sendiri. Begitulah yang dialami oleh Mohd.Ismail apabila menguruskan Jenazah Anak beliau..
Beliau baru saja kehilangan ketiga-tiga anaknya dalm tragedi lemas ketika mandi di Sungai Terengganu.
Penulis tidak mampu bayangkan situasi beliau dengan ujian yang diterimanya ini. Apapun semoga beliau kuat dan redha dengan ketentuan ini. Mari kita sama-sama baca Al-Fatihah buat ketiga-tiga arwah.
Urus Jenazah Anak
HULU TERENGGANU: “Sejak bekerja membawa kenderaan jenazah, saya sudah menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan. Namun kali ini, saya tidak ada daya untuk berbuat demikian… semangat saya menjadi lemah.”
Perasaan pilu itu diluahkan Mohd Ismail, 64, yang kehilangan tiga anak, iaitu Umar Iskandar, 21; Khairil Firdaus, 17; dan Khalif Naim, 16, dalam tragedi lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Mohd yang bekerja sebagai pemandu kenderaan jenazah dan pengurusan masjid di kampung itu sejak menamatkan perkhidmatan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang, empat tahun lalu, juga tidak dapat menahan sebak tatkala melihat tiga keranda anaknya di ruang tamu rumah.
Jenazah tiga beradik itu selamat tiba di pekarangan kediaman keluarga, kira-kira jam 4 petang tadi.
Namun, katanya, beliau reda dengan pemergian mengejut ketiga-tiga anak dan bersyukur kerana usaha pasukan terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mayat mereka.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan operasi SAR terbabit, selain semua pihak yang sudi memberikan bantuan kewangan dan semangat.
“Saya reda kerana orang kata bahawa mati lemas menjadi syahid dan hadiah untuk mak ayah. Di sebalik yang buruk, ada baiknya,” katanya kepada pemberita di kediaman beliau di Kampung Kuala Telemong, di sini, hari ini.
Berkongsi lanjut, Mohd berkata, tiga beradik itu adalah anak yang baik dan bertanggungjawab, sekali gus menjadi harapan keluarga.
Malah, beliau berkata, mereka sering memberitahu keinginan untuk membantu keluarga pada masa depan, setiap kali mahu pulang ke asrama di institusi pengajian masing-masing.
Katanya, Allahyarham Umar Iskandar yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Malaya (UM), bercita-cita menjadi pakar matematik.
Allahyarham Khalif Naim yang belajar di Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Berang pula mahu menjadi kadi, manakala arwah Khairil Firdaus tidak sempat kongsikan cita-citanya.
“Saya memang nampak kesungguhan mereka belajar. Saya selalu mengingatkan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh kerana kita orang susah,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah akan disembahyangkan di rumah keluarga sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung, Marang, untuk dikebumikan, petang ini.
Ketiga-tiga jenazah akan dikebumikan di dalam satu liang berhampiran pusara ibu mereka.
kredit: Bharian