Virus Influenza Menyerang? 5 Langkah Pencegahan Penyakit ini
Sejak akhir- akhir ini semakin ramai rakyat di negara ini terkena virus Influenza atau lebih dikenali sebagai flu. Wabak virus ini semakin berleluasa dan meningkat. Akan tetapi, jangkitan kes influenza di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal dan semua fasiliti kesihatan sedia ada mampu menampung pesakit sekiranya ada berlaku peningkatan dalam masa terdekat.
Isi Kandungan
Apa itu Influenza?
Influenza, atau dikenali sebagai selsema (flu), merupakan sejenis penyakit berjangkit burung dan mamalia yang disebabkan oleh virus RNA dari famili Orthomyxoviridae (virus influenza). Pada manusia, antara gejala umum termasuklah demam, sakit tekak, sakit otot, sakit kepala teruk, hidung berhingus serta tersumbat, batuk, kelesuan, dan rasa tidak sedap badan.
Dalam kes yang lebih teruk, virus ini boleh menyebabkan pneumonia, serta juga menyebabkan maut terutamanya terhadap kanak-kanak dan orang tua. Walaupun kadang-kadang ia dikelirukan dengan selsema biasa, ianya adalah lebih teruk dan disebabkan oleh virus yang berbeza. Influenza berlaku di seluruh dunia terutamanya di kawasan beriklim sederhana. Penyakit ini adalah penyakit bermusim yang berlaku pada musim sejuk iaitu pada November hingga Mac di Hemisfera Utara dan dari April hingga September di Hemisfera Selatan. Adapun begitu, di kawasan Tropika, virus ini boleh berlaku pada bila-bila masa.
4 Jenis Utama Influenza
Virus influenza terbahagi kepada 4 jenis utama iaitu:
- Influenza A
Jenis A adalah virus paling berbahaya kerana ia merupakan satu-satunya jenis yang mampu membawa wabak kepada negara yang berbeza (pandemik). Jenis A boleh berjangkit kepada manusia dan juga haiwan termasuk:
- burung liar
- ayam ternakan
- babi
- kuda
- anjing
- kelawar
Virus jenis A diklasifikasikan kepada pelbagai subjenis berdasarkan dua protein yang dijumpai atas permukaan virus, dikenali sebagai hemagglutinin (HA) dan neuraminidase (NA). Setakat ini, terdapat 18 subjenis HA dan 11 subjenis NA. Contoh subjenis yang kerap tersebar antara manusia ialah H1N1 dan H3N2 (juga didapati dalam kalangan anjing). Selsema burung (Avian Influenza) dan selsema babi (swine flu) terkandung dalam kumpulan penyakit yang dijangkit oleh virus A, merebak dari haiwan kepada manusia.
- Influenza B
Virus jenis B hanya berjangkit kepada manusia sahaja, dan tidak mengakibatkan pandemik. Walaupun jangkitan jenis B tidak seteruk jenis A, ia masih boleh membawa gejala yang serius. Kedua-dua A dan B merupakan punca biasa wabak yang menular di sesuatu kawasan tertentu (epidemik) dan juga selsema bermusim.
- Influenza C
Jenis C adalah jenis virus yang paling ringan. Jangkitan ini jarang dapat dikesan kerana kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom. Akan tetapi ianya tidak mengakibatkan epidemik mahupun pandemik.
- Influenza D
Jenis virus ini masih dalam proses penyelidikan dan setakat ini, ia hanya berjangkit kepada haiwan terutamanya lembu, babi serta biri-biri.
Siapakah yang berisiko tinggi mendapat penyakit berjangkit ini?
- Kanak- kanak berumur kurang dari 5 tahun
- Wanita hamil
- Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas
- Individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma, dan lain – lain)
- Individu obes
- Individu yang mempunyai daya ketahanan badan yang rendah ( seperti pesakit kanser, penghidap HIV, pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi dan lain – lain)
Covid-19 vs Flu
Orang ramai sering keliru adakah mereka yang mempunyai gejala-gejala yang disebutkan di atas ini samada dijangkiti Covid- 19 ataupun Influenza kerana kedua penyakit berjangkit ini hampir sama tetapi terdapat juga beberapa perbezaannya. Jadi, mari kita lihat apakah persamaan dan perbezaan kedua- dua penyakit ini.
Persamaan | Perbezaan |
> Sejenis penyakit pernafasan yang boleh berjangkit > Berjangkit melalui semburan titisan apabila anda bersin, batuk, atau bercakap. > Kedua- duanya boleh membawa maut. > Gejala yang agak sama termasuk demam, batuk, sakit tekak, hidung berair, dan kelesuan. | Berbanding dengan influenza, Covid – 19 : > Lebih mudah merebak > Boleh mengakibatkan komplikasi yang lebih serius. Mengambil masa yang lama untuk menunjukkan gejala. > Menyebabkan hilang deria rasa dan bau. |
Tips mencegah Influenza?
Jangkitan ini boleh dicegah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan. Bagi individu yang berumur 6 bulan ke atas layak untuk mendapatkan vaksinasi ini. Selain daripada mendapatkan vaksin influenza, lain – lain pencegahan yang boleh diamalkan adalah seperti berikut :
- Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.
- Amalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin, sama ada dengan menggunakan tisu atau pelitup muka.
- Buang tisu pelitup muka ke dalam tong sampah bertutup sejurus selepas ia digunakan.
- Jarakkan diri anda darpada individu yang bergejala sekurang – kurangnya dalam jarak 1 meter.
- Rehat di rumah dan elakkan mengunjungi di tempat tumpuan ramai jika bergejala. Sekiranya perlu ke tempat awam, jangan lupa untuk gunakan pelitup muka.