Panduan Solat Tarawih Berjemaah & Sendirian (JAKIM)
Berikut dikongsikan panduan mengerjakan solat tarawih untuk rujukan utama umat Islam di luar sana.
Isi Kandungan
Solat Tarawih Pada Bulan Ramadan
Setiap tahun, seluruh umat Islam akan berpuasa pada bulan Ramadan dan selama itulah juga kita dapati di mana-mana sahaja dalam kelompok masyarakat Islam di Malaysia akan memeriahkan malam-malam pada bulan yang mulia ini dengan ibadat solat sunat Tarawih, sunat Witir, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan.
Kelebihan Solat Tarawih
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis riwayat Muslim)
Hukum Solat Tarawih
Hukumnya adalah sunat muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan, sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
Sunat dikerjakan di masjid, surau dan lain-lain tempat solat orang-orang Islam.
Waktu Solat Tarawih
Waktu untuk melakukan solat sunat tarawih adalah selepas menunaikan solat fardu Isyak dan sunat ba’diah dua rakaat (selepas Isyak).
Rakaat Solat Tarawih
Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat sunat tarawih sebanyak dua puluh (20) rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan (8) rakaat sahaja.
Pada zaman Rasulullah SAW, solat tarawih dikerjakan sebanyak lapan (8) rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Walau bagaimanapun, terdapat juga hadis yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah mengerjakan sebanyak dua puluh (20) rakaat.
Pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab RA, beliau melaksanakannya sebanyak dua puluh (20) rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orang-orang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan solat sebanyak itu.
Solat sunat tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
Rukun Solat Tarawih
Rukun solat sunat tarawih adalah sama dengan rukun solat-solat yang lain.
Lafaz Niat Solat Sunat Tarawih
اُصَلِّى سُنَّةَ التَّرَاوِيْحِ رَكْعَتَيْنِ إِمَامًا ِللهِ تَعَالَى
“Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat *(sebagai imam / makmum) kerana Allah Taala.”
Tatacara Solat Sunat Tarawih
Berikut adalah cara solat sunat tarawih yang boleh dilakukan sama ada secara bersendirian atau berjemaah.
- Lafaz niat solat sunat tarawih.
- Menyempurnakan rukun solat yang lain. Selepas lafaz niat dan takbiratul ihram, kita perlu membaca Al-Fatihah, surah pilihan, rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud, dan kemudian meneruskan rakaat kedua sehinggalah bacaan tahiyat akhir dan diakhiri dengan salam.
- Jumlah rakaat boleh dilakukan sama ada 8 rakaat (4 salam) atau 20 rakaat (10 salam).
- Melakukan solat sunat witir.
Selepas membaca surah Al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat solat sunat tarawih, dibacakan pula surah-surah yang tertentu seperti berikut.
Dari Malam 1 Hingga 15 Ramadan | Dari Malam 16 Hingga Akhir Ramadan |
---|---|
Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca satu surah yang bermula dari surah Al-Takathur hingga surah Al-Masad. Susunan surah-surah adalah seperti berikut: 1. Surah Al-Takathur 2. Surah Al-Asr 3. Surah Al-Humazah 4. Surah Al-Fil 5. Surah Quraisy 6. Surah Al-Ma’un 7. Surah Al-Kautsar 8. Surah Al-Kafi run 9. Surah An-Nasr 10. Surah Al-Masad | Pada tiap-tiap rakaat yang pertama dibaca surah Al-Qadr. |
Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca surah Al-Ikhlas | Pada tiap-tiap rakaat yang kedua dibaca satu surah seperti yang dibaca pada rakaat yang pertama bagi malam-malam 1 hingga 15 Ramadan iaitu bermula dari surah Al-Takathur hingga kepada surah Al-Masad. |
Berikut pula adalah bacaan-bacaan sebelum memulakan solat sunat tarawih.
Tatacara Solat Sunat Witir
Setelah selesai mengerjakan solat sunat tarawih sebanyak lapan (8) atau dua puluh (20) rakaat, diikuti pula dengan solat sunat witir sebanyak tiga (3) atau satu (1) rakaat.
Solat sunat witir ditunaikan sepertimana solat sunat yang lain, namun dengan bilangan rakaat yang ganjil.
Lafaz Niat Solat Sunat Witir
Menurut kebiasaan umum orang-orang Islam di Malaysia menunaikan solat sunat witir selepas solat sunat tarawih adalah sebanyak tiga (3) rakaat.
Dilakukan 3 rakaat dengan dua salam (iaitu 2 rakaat + 1 rakaat) dan lafaz niatnya adalah seperti berikut:
Sahaja aku solat sunat Witir 1 rakaat / 2 rakaat (makmum / mengikut imam) kerana Allah Taala.
Solat seperti biasa dan diakhiri dengan salam.
Bacaan surah selepas Al-Fatihah adalah bebas namun afdalnya boleh dibaca surah-surah berikut:
- Rakaat Pertama – surah Al-A’la.
- Rakaat Kedua – surah Al-Kafirunn.
- Rakaat Ketiga – surah Al-Ikhlas, Al-Falaq, dan An-Nas.
Mulai malam ke-16 Ramadan, kita disunatkan untuk membaca qunut. Lafaz qunut samalah seperti qunut dalam solat Subuh. Jika tidak membaca qunut disunatkan sujud sahwi.
Sumber: Panduan Solat Sunat Tarawih (JAKIM)
Semoga perkongsian ini bermanfaat! Selamat berpuasa untuk semua umat Islam diseluruh dunia!