Puasa Pesakit Diabetes: 8 Panduan Penting Dari KKM
Puasa pesakit diabetes bermaksud puasa bagi pesakit kencing manis. Menjadi persoalan adakah orang menghidap kencing manis ini boleh berpuasa atau pun tidak? Jawapannya adalah boleh. Tapi HARUS merujuk kepada doktor atau pegawai perubatan terlebih dahulu. Jika doktor benarkan, baru puasa ya.
Ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah merupakan satu kewajipan kepada semua umat Islam yang cukup umur serta berkemampuan. Berpuasa adalah selamat bagi pesakit diabetes dengan paras glukosa darah yang terkawal. Dapatkan nasihat doktor atau Pegawai Dietetik sebelum berpuasa.
Isi Kandungan
Golongan yang tidak digalakkan puasa
Pesakit diabetes perlu mengetahui status kesihatan mereka sebelum berpuasa. Berikut adalah golongan pesakit yang tidak digalakkan berpuasa:
a) Pesakit diabetes jenis 1
b) Mengalami hipoglisemia serius dalam masa 3 bulan terakhir atau selalu mengalami hipoglisemia
c) Pesakit yang mengalami diabetik ketoasidosis dalam 3 bulan terakhir
d) Pesakit yang hamil dan memerlukan suntikan insulin
e) Pesakit yang tidak tahu mengenali tanda-tanda hipoglisemia
f) Pesakit yang mengalami komplikasi diabetes yang serius
g) Pesakit dengan paras gula darah tidak terkawal
h) Pesakit diabetes yang menjalani dialisis
i) Pesakit yang tua dan tinggal bersendirian
Bila perlu berbuka puasa pesakit diabetes?
Pesakit perlu berbuka puasa serta-merta apabila mengalami keadaan-keadaan seperti berikut:
a) Paras gula dalam darah 0.9 mmol/L pada bila-bila masa sewaktu berpuasa
b) Paras gula dalam darah 0.9 mmol/L selepas beberapa jam mula berpuasa
c) Paras gula dalam darah >16.7mmol/L
d) Mengalami gejala-gejala hipoglisemia (pesakit tanpa bacaan paras gula)
e) Mengalami gejala dehidrasi yang teruk seperti pengsan atau keliru.
f) Sakit (demam, jangkitan kuman, dan sebagainya)
Risiko puasa pesakit diabetes
Menurut laman rasmi Majlis Kesihatan Negara (MKN) berikut adalah risiko orang puasa pesakit diabetes iaitu mengalami Hipoglisemia atau gula rendah dalam darah.
Tanda-tanda Hipoglisemia (paras gula RENDAH dalam darah)
Hipoglisemia adalah keadaan paras gula dalam darah yang terlalu rendah. Pesakit yang mengambil ubat-ubatan dalam rawatan diabetes atau suntikan insulin berisiko untuk mengalami kejadian ini. Antara gejala-gejala hipoglisemia adalah seperti rasa gelisah dan tidak tentu arah, lemah, lapar, berpeluh, pucat, berdebar-debar, menggeletar, pening, dan dalam keadaan serius, koma (tidak sedarkan diri) boleh berlaku.
Antara sebab-sebab hipoglisemia berlaku adalah pesakit makan terlalu sedikit, tidak ambil sumber karbohidrat yang mencukupi atau tidak makan selepas suntikan insulin, dos insulin atau ubat diabetes berlebihan dan aktiviti fizikal yang tidak dirancang.
Tanda-tanda Hiperglisemia (paras gula TINGGI dalam darah)
Hiperglisemia adalah keadaan paras gula yang tinggi dalam darah. Pesakit yang mengalami hiperglisemia boleh mengalami gejala-gejala seperti kerap kencing, sangat dahaga, loya, penglihatan kabur, letih dan mengantuk. Hiperglisemia boleh disebabkan oleh pesakit tidak menyuntik insulin atau dos ubat dalam rawatan diabetes tidak mencukupi, makan berlebihan, jatuh sakit atau mengalami tekanan.
Tanda Dehidrasi (kekurangan air). Pesakit diabetes juga berpotensi untuk mengalami keadaan dehidrasi semasa berpuasa. Antara gejala-gejala dehidrasi adalah rasa terlalu dahaga, kulit dan lidah menjadi kering, fikiran terganggu dan rasa hendak pitam apabila bangun.
8 panduan puasa penyakit diabetes dari KKM
Seperti sedia maklum, pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu, namun di sini kami kongsikan juga panduan puasa pesakit diabetes seperti yang dikongsi KKM:
- Bersahur adalah satu keperluan. Pastikan bersahur di hujung waktu menghampiri imsak.
- Pastikan pengambilan makanan seimbang yang merangkumi semua kumpulan makanan pada waktu sahur dan berbuka. Ambil makanan mengikut saiz hidangan yang disarankan dengan jumlah karbohidrat yang betul. Dapatkan nasihat pegawai Dietetik untuk saranan saiz hidangan dan jumlah karbohidrat yang sesuai.
- Elakkan pengambilan makanan tinggi gula semasa berbuka puasa.
- Ambil snek yang sihat waktu minum malam (selepas tarawih).
- Pengambilan cecair perlu mencukupi. Pastikan pengambilan 8 gelas air kosong sehari.
- Hadkan pengambilan makanan tinggi kolesterol atau lemak semasa berbuka puasa atau sahur.
- Hadkan pengambilan makanan tinggi garam untuk mengurangkan risiko dehidrasi.
- Amalkan mengambil ubat atau insulin yang disesuaikan mengikut waktu makan semasa berpuasa mengikut arahan doktor.
Penutup
Justeru, bagi yang sedang menghidap penyakit diabetes, seeloknya dapatkan nasihat dan pemerhatian dari doktor sebelum membuat keputusan untuk puasa atau pun tidak. Berkenaan hukum puasa pesakit diabetes boleh suntik insulin ataupun tidak, boleh baca di SINI.