Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Lafaz Niat Puasa 6 Dan Puasa Ganti Di Bulan Syawal

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai lafaz niat puasa 6 dan puasa ganti pada bulan Syawal untuk rujukan utama umat Islam di luar sana.

Isi Kandungan

Bolehkah Niat Puasa 6 Dan Puasa Ganti Secara Serentak?

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah Al-Baqarah: 183)

Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.

Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qadha waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).

Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut:

“(Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqadha Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qadha Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qadha dahulu.”

(Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)

Sumber Rasmi: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

“Puasa 6 Syawal Umpama Berpuasa Setahun”

Lafaz Niat Puasa 6 Dan Puasa Ganti Di Bulan Syawal 1

Lafaz Niat Puasa 6 Dan Puasa Ganti Ramadan

Berikut merupakan lafaz niat puasa 6, lafaz niat puasa ganti dan lafaz niat bagi menggabungkan niat puasa 6 dan puasa ganti.

Lafaz Niat Puasa 6

Lafaz niat puasa 6 di bulan Syawal adalah seperti berikut:

نَوَيتُ صَوْمَ غَدٍ عَن سِنَّةٍ مِنْ شَوَّالٍ سُنَّةً لِلَّهِ تعَالى

Bacaan Rumi : Nawaitu souma ghodin ‘an sittatin min syawwalin sunnatan lillahi taala

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa pada esok hari dari enam hari pada bulan Syawal sunat kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz Niat Puasa Ganti (Qadha Ramadan)

Lafaz niat puasa qadha Ramadan pula adalah seperti berikut:

نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى

Bacaan Rumi : Nawaitu souma ghodin ‘an qadha’i fardi ramadhana lillahi taala

Maksudnya: “Sahaja aku berpuasa pada esok hari mengqadha’ fardhu Ramadan kerana Allah Ta’ala.”

Lafaz Niat Puasa 6 Dan Puasa Ganti

Kemudian, lafaz niat bagi puasa ganti (wajib) dan puasa sunat 6 Syawal yang digabungkan adalah seperti berikut:

“Sahaja aku berniat puasa esok hari qadha fardhu Ramadan bersama puasa sunat enam hari bulan Syawal kerana Allah Ta’ala.”

Hukum Menggabungkan Niat Puasa 6 Dan Puasa Ganti

Saban tahun, persoalan untuk menggabungkan puasa 6 dengan puasa ganti kerap ditanya.

Bagi wanita khususnya, ramai yang inginkan kepastian sama ada ganti puasa boleh disekalikan dengan puasa 6 dibolehkah atau tidak.

Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat puasa 6 di bulan Syawal dan puasa ganti. Antara pandangannya adalah:

  • Harus menggabungkan antara puasa wajib seperti qadha Ramadan, nazar dan kaffarah dengan puasa sunat.
  • Menggabungkan puasa qadha Ramadan dengan puasa 6 Syawal juga diharuskan.
  • Meskipun diharuskan menurut mazhab Syafie tetapi ganjaran atau pahala puasa diperolehi kurang sempurna, ini kerana lebih afdal dilakukan pada hari yang berlainan.
Lafaz Niat Puasa 6 Dan Puasa Ganti Di Bulan Syawal 2
Sumber Rasmi: ustazahasmaharun

Kesimpulan

Mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal.

Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.

Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak.

Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang yang bertaqwa.

Semoga perkongsian isu menggabungkan niat puasa 6 dan puasa ganti diatas bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana.

Selamat berpuasa!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More