Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Hari Guru Malaysia: Lirik Lagu, Ikrar & Tema Hari Guru 2024

Berikut dikongsikan mengenai Hari Guru Malaysia yang disambut pada tarikh 16 Mei setiap tahun.

Isi Kandungan

Sambutan Hari Guru Malaysia

Selamat Hari Guru buat semua pendidik yang banyak berjasa! Panggilan keramat “cikgu” akan sentiasa kekal terpahat di sanubari kami, anak muridmu!

Setiap tahun, sambutan Hari Guru akan diadakan pada tarikh 16 Mei. Bagi tahun 2024, sambutan Hari Guru jatuh pada hari Khamis (esok).

Pada sambutan Hari Guru, pelbagai aktiviti akan diadakan bagi meraikan jasa guru-guru antaranya nyanyian daripada guru-guru, ikrar Hari Guru, persembahan mendeklemasikan sajak, puisi, pantun dan sebagainya.

Pada Hari Guru, lagu “Kami Guru Malaysia” akan dinyanyikan oleh semua guru-guru Malaysia.

Justeru, sempena sambutan Hari Guru yang akan diadakan pada esok hari, kami sediakan lagu dan ikrar Hari Guru untuk anda semua.

Hari Guru Malaysia: Lirik Lagu, Ikrar & Tema Hari Guru 2024 1
Hari Guru Malaysia

Lirik Lagu ‘Kami Guru Malaysia’

Kami Guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

Ikrar Hari Guru

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat dan negara kami
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan Prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Naratif Tema Hari Guru Malaysia Tahun 2024

Seperti yang kita tahu, tema Hari Guru Malaysia 2024 adalah

 “GURU JAUHARI DIGITAL, ASPIRASI NEGARA MADANI”

Hari Guru Malaysia: Lirik Lagu, Ikrar & Tema Hari Guru 2024 2
Hari Guru Malaysia 2024

Konsep “Guru Jauhari Digital”

“Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI” telah diangkat sebagai tema Hari Guru bagi tahun 2024.

Tema ini diangkat bagi menyokong salah satu daripada 7 Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah, untuk memastikan murid dapat menghadapi cabaran dunia digital dengan lebih baik.

Dasar Pendidikan Digital yang telag diluncurkan oleh YB Menteri Pendidikan pada 28 November 2023 meletakkan visi untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing untuk memenuhi keperluan era digital seiring mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintergrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.

Istilah “Guru Jauhari Digital” merujuk kepada kumpulan pendidik yang mempunyai kompetensi digital tinggi dan menjadi pakar rujuk pengintegrasian teknologi pendidikan digital.

Peranan “Guru Jauhari Digital”

Tema ini menekankan peranan guru sebagai agen perubahan yang menitikberatkan aspek manusiawi dalam kalangan generasi muda untuk melahirkan generasi fasih digital yang mempunyai pemikiran kritis, nilai-nilai murni, berupaya untuk beradaptasi serta berdaya saing dengan kemajuan dunia semasa.

Guru Jauhari Digital berperanan sebagai peneraju teknologi digital dalam ekosistem pendidikan serta berupaya memberi bimbingan dan inspirasi kepada murid tentang teknologi, penggunaan peranti digital dan keselamatan siber.

Oleh itu, guru masa kini wajib memiliki kebolehan dan keupayaan dalam menggunakan teknologi digital terkini untuk merealisasikan hasrat negara menghasilkan generasi yang mahir dalam teknologi dan siap untuk menghadapi cabaran masa depan.

KPM menyasarkan lebih ramai Guru Jauhari Digital setiap tahun untuk bertindak sebagai agen perubahan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penggunaan teknologi digital secara beretika dan bertanggungjawab.

Inisiatif KPM Dalam Melahirkan “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI”

KPM sentiasa berusaha untuk memastikan guru dapat meningkatkan kompetensi dalam penggunaan teknologi digital serta memanfaatkannya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran, seterusnya mencapai tahap “Jauhari” dalam pendidikan digital.

Pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan oleh KPM, antaranya adalah:

  1. Pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
  2. Penilaian Celik Digital dan Saringan Tahap Kompetensi Digital.
  3. Pelantar Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) yang menyediakan akses kepada guru untuk mendapatkan bahan latihan, kursus dan sumber-sumber pembelajaran untuk memperkasakan kompetensi digital Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.
  4. Pensijilan Peringkat Antarabangsa melalui kolaboratif dengan syarikat teknologi utama dunia seperti Google, Microsoft dan Apple.
  5. Pasukan Guru Jauhari Digital yang mahir dan berkepakaran dalam pengintegrasian teknologi pendidikan digital untuk memberi khidmat bantu dan bimbingan kepada guru-guru setempat.
  6. Kolaboratif bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui Program #CikguJuaraDigital di bawah inisiatif mydigitalmaker untuk mengenal pasti dan mengiktiraf guru di Malaysia yang cemerlang dalam mentransformasikan pendidikan menggunakan teknologi digital.

Sumber Rasmi: Naratif Tema Hari Guru Tahun 2024

Semoga perkongsian tentang Hari Guru Malaysia 2024 ini sedikit sebanyak dapat membantu anda yang sedang mencarinya untuk menghargai jasa guru-guru di Malaysia.

Selamat Hari Guru Malaysia untuk semua yang bergelar Guru!

Terima Kasih Cikgu!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More