Tarikh Penting Bulan Zulhijjah 2024M/1445H
Berikut dikongsikan mengenai tarikh-tarikh penting pada bulan Zulhijjah 2024 dan amalan-amalan terbaik yang boleh dilakukan oleh umat Islam sepanjang tarikh penting tersebut.
Isi Kandungan
Bulan Zulhijjah Merupakan Antara Bulan Penting Dalam Kalendar Islam
1 Zulhijjah 1445 Hijrah adalah bersamaan dengan 8 Jun 2024 Masihi.
Bulan Zulhijjah adalah bulan yang sangat penting bagi umat Islam kerana ia adalah bulan terakhir dalam kalendar Takwim Hijrah.
Menurut Panel Pakar Falak (PPF) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, berikut merupakan tarikh-tarikh penting dalam Islam bagi perayaan atau hari kebesaran Islam bagi tahun 2024.
Keistimewaan Bulan Zulhijjah
Antara keistimewaan bulan Zulhijjah adalah berpuasa sunat daripada 1 sehingga 9 Zulhijjah.
Terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah kerana pada hari tersebut merupakan hari Arafah dimana seluruh umat Islam yang menunaikan Haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.
Seterusnya melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha atau pada Hari Tasyrik. Bagi sesiapa yang berkemampuan, hendaklah mereka merebut peluang ini kerana ganjarannya amatlah besar disisi Allah SWT.
Selain itu, sepanjang 10 hari awal Zulhijjah, umat Islam sangat digalakkan untuk mengagungkan kebesaran Allah dengan mengandakan ucapan seperti
- Bertahlil.
- Bertakbir.
- Bertahmid.
Daripada Ibnu Abbas R.A., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”
Hadis Riwayat Al-Bukhari, Hadis Sahih
Tarikh Penting Bulan Zulhijjah 2024M/1445H
Tarikh-tarikh penting bulan Zulhijjah 2024 adalah seperti berikut:
Tarikh Hijrah | Tarikh Masihi | Hari Penting | Jenis Puasa |
---|---|---|---|
1 Zulhijjah 1445H | 8 Jun 2024 (Sabtu) | Awal Zulhijjah | Puasa Sunat Zulhijjah |
2 Zulhijjah 1445H | 9 Jun 2024 (Ahad) | – | Puasa Sunat Zulhijjah |
3 Zulhijjah 1445H | 10 Jun 2024 (Isnin) | – | Puasa Sunat Zulhijjah |
4 Zulhijjah 1445H | 11 Jun 2024 (Selasa) | – | Puasa Sunat Zulhijjah |
5 Zulhijjah 1445H | 12 Jun 2024 (Rabu) | – | Puasa Sunat Zulhijjah |
6 Zulhijjah 1445H | 13 Jun 2024 (Khamis) | – | Puasa Sunat Zulhijjah |
7 Zulhijjah 1445H | 14 Jun 2024 (Jumaat) | – | Puasa Sunat Zulhijjah |
8 Zulhijjah 1445H | 15 Jun 2024 (Sabtu) | Hari Tarwiyah | Puasa Sunat Tarwiyah |
9 Zulhijjah 1445H | 16 Jun 2024 (Ahad) | Hari Arafah | Puasa Sunat Hari Arafah |
10 Zulhijjah 1445H | 17 Jun 2024 (Isnin) | Hari Raya Aidiladha | Haram Puasa |
11 Zulhijjah 1445H | 18 Jun 2024 (Selasa) | Hari Tasyrik | Haram Puasa |
12 Zulhijjah 1445H | 19 Jun 2024 (Rabu) | Hari Tasyrik | Haram Puasa |
13 Zulhijjah 1445H | 20 Jun 2024 (Khamis) | Hari Tasyrik | Haram Puasa |
Amalan Pada Bulan Zulhijjah
Amalan utama pada bulan Zulhijjah adalah memperbanyakkan berpuasa, iaitu sebaik-baiknya berpuasa selama 9 hari berturut-turut daripada 1 Zulhijjah sehingga 9 Zulhijjah.
Niat Puasa Sunat Zulhijjah
Berikut adalah niat puasa sunat bulan Zulhijjah, iaitu:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijjah kerana Allah Ta’ala.”
Tetapi, jika tidak mampu berbuat demikian dan hanya mampu untuk berpuasa 2 hari sahaja boleh melaksanakan puasa sunat Tarwiyah (8 Zulhijjah) dan puasa sunat hari Arafah (9 Zulhijjah).
Niat Puasa Sunat Tarwiyah
Berikut adalah niat puasa sunat Tarwiyah, iaitu:
نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana Allah Ta’ala.”
Niat Puasa Sunat Hari Arafah
Berikut pula adalah niat puasa sunat hari Arafah, iaitu:
نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat hari Arafah kerana Allah Ta’ala.”
Malah, jika tidak mampu juga untuk berpuasa selama 2 hari, pilihlah untuk berpuasa pada hari Arafah kerana keutamaan berpuasa pada hari Arafah dapat menghapuskan dosa 2 tahun iaitu satu tahun yang lalu dan satu tahun yang akan datang.
Selain perbanyakkan berpuasa pada 10 hari awal bulan Zulhijjah, umat Islam juga dianjurkan untuk perbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan perbanyakkan membaca surah Al-Ikhlas.
Semoga perkongsian mengenai hari-hari penting pada bulan Zulhijjah 2024M/1445H ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana.
Selamat memperbanyakkan amalan dan merebutkan peluang pada bulan Zulhijjah 2024M/1445H ini supaya kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.