Konsep Muamalat, Hukum & Kepentingan Mengikut Syariat Islam
Berikut dikongsikan mengenai konsep asas muamalat dalam Islam untuk pengetahuan anda semua di luar sana.
Isi Kandungan
Konsep Muamalat
Muamalat ialah aktiviti yang melibatkan perhubungan manusia dengan manusia.
Muamalat juga merupakan tatacara atau peraturan dalam perhubungan manusia sesama manusia untuk memenuhi keperluan masing-masing yang berlandaskan syariah Allah SWT yang melibatkan ekonomi dan sosial Islam.
Muamalat kini lebih popular digunakan untuk aktiviti dalam sistem kewangan dan ekonomi Islam.
Contohnya adalah jual beli, hutang, pinjam meminjam, pajak gadai, jaminan dan sebagainya.
Perkataan “muamalat’’ merujuk kepada urusan kehidupan manusia yang berkaitan dengan kegiatan harian dalam semua bidang meliputi akad, iltizam dan tasarruf yang membawa kesan pertukaran hak milik barangan atau wang untuk mendapat manfaat secara bersama berdasarkan kerelaan dan kepuasan.
Islam memberi kelonggaran kepada manusia bagi menggunakan akal fikiran yang diberikan oleh Allah SWT bagi mencari cara-cara yang sesuai dengan kehendak manusia dan kemampuannya untuk mencapai kehidupan yang baik dan selesa selaras dengan prinsip Syarak.
Prinsip Syarak
Setiap aktiviti muamalat yang dilakukan oleh setiap muslim perlulah mengikut prinsip-prinsip utama muamalat Islam kerana ia merupakan asas etika dalam perbuatan manusia.
Prinsip tersebut menjamin agar setiap tindakan yang dilakukan sentiasa tepat dengan kehendak Islam dan sesuai dengan keinginan manusia yang sentiasa inginkan kebaikan dan keselesaan dalam kehidupan.
Antara prinsip-prinsip dalam muamalat ialah
- prinsip kebenaran,
- prinsip amanah,
- prinsip keikhlasan,
- prinsip keadilan,
- prinsip persaudaraan, dan
- prinsip pengetahuan.
Peranan & Matlamat
Pelaksanaan sistem muamalat adalah untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.
Muamalat yang dijalankan berlandaskan syariat Islam akan melahirkan masyarakat yang aman dan jauh daripada sebarang penipuan, pemerasan, penindasan, ketidakadilan, memonopoli harta dan sebagainya.
Selain itu, ianya juga dapat memastikan semua kegiatan ekonomi yang dijalankan bebas daripada sebarang perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT seterusnya membolehkan manusia menikmati kurniaan Allah SWT dengan cara yang betul dan diredhai-Nya.
Hukum Muamalat
Hukumnya adalah HARUS, dan dalam keadaan tertentu ia adalah satu keperluan.
Jika ia adalah tidak berlandaskan dengan syariat Islam, maka hukumnya adalah HARAM.
HARAM jika urusan yang terjadi itu hanya memenuhi kepentingan bagi satu pihak atau pihak-pihak tertentu sahaja. Contohnya adalah riba, sorok barang, mengurangkan timbangan dan sebagainya.
Untuk melahirkan usahawan yang berjaya dan mampu berdaya saing, etika yang betul dan mengikuti ajaran Islam harus diamalkan.
Kepentingan Bermuamalat & Kesan Negatif Jika Meninggalkannya
Berikut adalah antara kepentingan dan manfaat yang kita akan dapat jika bermuamalat di antara satu sama lain, iaitu:
- Melahirkan masyarakat Islam yang adil dan amanah.
- Melahirkan masyarakat yang sejahtera.
- Melahirkan masyarakat yang bersungguh-sungguh.
- Melahirkan masyarakat Islam yang saling bekerjasama untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
- Harta benda kurniaan Allah SWT tidak dimiliki oleh satu golongan tertentu sahaja.
- Lahir masyarakat yang berdaya saing dan mengamalkan budaya kerja yang positif.
Berikut pula adalah kesan negatif jika kita tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian, iaitu:
- Berlaku pergaduhan dalam masyarakat.
- Masyarakat tidak dapat hidup dengan aman.
- Melahirkan anggota masyarakat yang mementingkan diri sendiri.
- Melahirkan manusia yang bersifat tamak dan haloba dalam mendapatkan harta.
- Melahirkan masyarakat yang menggunakan kekayaan secara membazir.
- Mendapat rezeki yang haram dan tidak mendapat keredhaan Allah SWT.
Adakah Melaksanakan Sistem Ekonomi Islam Merupakan Suatu Kewajipan Untuk Setiap Umat Islam?
Sistem Ekonomi Islam adalah berteraskan akidah kerana dengan akidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna dan memaksimumkan manfaatnya.
Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan kehendak Allah SWT dan akhirnya akan mendapat keredaan daripada-Nya.
Secara umumnya, ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:
- Semua aktiviti yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan syariat Allah SWT kerana dengan berpandukan kepada-Nya kita akan memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi. Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu aktiviti.
- Mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini sangat penting kerana setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama. Sama ada kaya atau miskin, setiap daripada manusia itu mempunyai haknya yang tersendiri. Konsep keadilan ini boleh diterjemahkan melalui aktiviti zakat dimana mereka yang berharta menzakatkan hartanya atau menginfakkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
- Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam. Nilai ini mesti bergerak seiring dengan semua aktiviti agar ia akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan syariah Islam.
Justeru, adalah menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam untuk memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam kerana ia bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan atau meningkatkan taraf hidup umat Islam, malah yang lebih penting, ia adalah sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam itu sendiri.
Kata Ibn ‘Umar rh Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan doa berikut setiap pagi dan petang. Ayuh, kita sama-sama amalkan dalam kehidupan kita!
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan seterusnya dijadikan panduan untuk kita semua dalam meningkatkan amal ibadah dan menjadi hamba yang sentiasa bersyukur pada setiap hari!