Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Selawat Tafrijiyyah: Amalan Harian Terbaik Untuk Murah Rezeki

Berikut dikongsikan mengenai selawat tafrijiyyah yang banyak kelebihan dan faedahnya untuk diamalkan dalam kehidupan harian oleh setiap umat Islam.

Isi Kandungan

Apa Itu Selawat Tafrijiyyah?

Perkataan “Selawat” itu merupakan sebuah perkataan yang dibentuk dari perkataan “Solat” yang membawa maksud doa atau pujian.

Selawat ini telah ditakrifkan sebagai “doa kesejahteraan ke atas Nabi” oleh Kamus Dewan Edisi Keempat.

Selawat Tafrijiyyah juga dikenali sebagai Selawat Kamilah dan juga Selawat Nariyah. Selawat Tafrijiyyah juga dipanggil dengan nama Selawat At-Tafrijiyah Al-Qurthubiyyah. Ini kerana ia dinisbahkan kepada Imam Al-Qurtubi.

Selawat ini merupakan satu selawat yang disusun oleh para ulama yang bersumber dari ijtihad atau ilham ruhi dari Allah SWT.

Selawat ini juga merupakan antara yang paling terkenal diamalkan oleh sebahagian para ulama.

Selawat ini disarankan untuk diamalkan bagi mereka yang ingin menghilangkan kesempitan hidup.

Ibadah selawat ini sangatlah digalakkan dan dituntut untuk dilakukan oleh setiap umat Islam kerana melalui ibadah ini, kita telah mendoakan kesejahteraan ke atas junjungan besar Rasulullah SAW dan dalam masa yang sama kita turut memperoleh pahala ibadah dan kebaikan lain daripadanya.

Selawat Tafrijiyyah: Amalan Harian Terbaik Untuk Murah Rezeki 1

Bagaimanakah Bacaan Selawat Tafrijiyyah?

Berikut adalah lafaz bacaan Selawat Tafrijiyyah:

 اَللهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامَّاعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ وَحُسْنُ الْخَوَاتِمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِى كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

“Allahumma solli solatan kamilatan. Wasalim sallaman taammaa. A’laa saidina muhammadinil lazi. Tanhallubihil u’kadu. Watanfariju bihil kurobu. Watukdho bihil hawa iju. Watunaalu bihirro gha’ ib-u. Wahusnu khawaa timi. Wayustasqhol ghomaamu. Biwajhihil karim. Wa ala alihi wasah bihi. Fi kulli lamhatim wanafasim. Bi’ adadi kulli mak’lu mim lakh”

Maksudnya: Ya Allah limpahkanlah selawat (rahmat) yang sempurna dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, yang menjadi sebab terungkai segala kebuntuan dan terbuka segala kesusahan serta ditunaikan segala hajat dan dipenuhi segala keperluan serta dikurniakan husnul khatimah dan dikurniakan limpahan rahmat dengan keberkatan sosok tubuh (kemuliaan) Baginda SAW dan seluruh ahli keluarga Baginda dan sahabatnya dalam setiap kerdipan mata dan nafas setiap makhluk Engkau miliki.

Kelebihan & Manfaat Selawat Tafrijiyyah

Antara kelebihan atau kebaikan kepada sesiapa yang mengamalkan selawat ini adalah:

  1. Allah akan melenyapkan kesulitan, kesusahan, kesedihan, serta bahaya yang menimpa dirinya.
  2. Dipermudahkan oleh Allah SWT segala urusannya dalam penghidupan.
  3. Diberi ketinggian darjatnya dan dipancarkan nur (cahaya) dalam hatinya.
  4. Suaranya didengari manakala idea dan pendapatnya diterima pakai oleh ramai orang.
  5. Dilindungi Allah SWT dari segala bencana dan mara bahaya.
  6. Disukai, disenangi dan dicintai oleh semua orang.
  7. Allah SWT memakbulkan apa yang dihajatinya.
  8. Dimurahkan rezeki, dijauhkan daripada kelaparan dan kemiskinan.

Bagi selawat Tafrijiyyah ini, kebaikan yang diterima jika kita mengamalkannya juga adalah melimpah ruah. Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk kita amalkannya pada setiap hari!

Sebagai seorang muslim, kita sedia maklum bahawa Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW adalah salah satu zikir yang menjadi amalan dalam kehidupan kita. Bahkan, Allah SWT memerintahkan di dalam Al-Quran,

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

Surah Al-Ahzab, Ayat 56

Secara umumnya, ayat di atas menjelaskan kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Umat Islam amat digalakkan untuk mengutamakan selawat dan zikir yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW seperti selawat Ibrahimiyah kerana itu adalah sebaik-baik amalan.

Semoga Allah SWT menerima amalan kita dan menempatkan kita bersama dengan Nabi Muhammad SAW di syurga kelak. 

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan seterusnya dijadikan panduan untuk anda meningkatkan amal ibadah pada setiap hari! Selamat beramal!

Artikel Berkaitan: Amalan Selawat Jibril Boleh Buka Pintu Rezeki, Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More