Amalan Doa Selepas Wuduk, Membuka 8 Pintu Syurga
Berikut dikongsikan mengenai doa selepas wuduk yang kita perlu amalkan selepas berwuduk untuk memperoleh fadhilat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.
Isi Kandungan
Apa Itu Wuduk?
Wuduk ialah salah satu cara untuk menyucikan diri daripada hadas kecil.
Jika dalam keadaan darurat, wuduk boleh digantikan dengan tayammum (iaitu menggunakan debu yang diyakini kesuciannya).
Pengertian wuduk pada syarak ialah membasuh atau menyapu anggota tertentu yang dimulakan dengan niat.
Firman Allah SWT, yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali …”
(Surah Al-Ma’idah, Ayat 6)
Hukum Wuduk
Hukum berwuduk terbahagi kepada dua (2) keadaan, iaitu:
Hukum | Penerangan |
---|---|
Wajib | Ketika hendak mengerjakan ibadat tertentu yang dimulakan dengan niat. |
Sunat | Ketika hendak mandi wajib, hendak membaca Al-Quran / Hadis, hendak tidur atau ketika sedang marah. |
Syarat Sah Wuduk
Untuk menjadikan wuduk itu sah, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi, antaranya adalah seperti berikut:
- Islam.
- Mumaiyiz iaitu kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.
- Suci daripada haid dan nifas.
- Menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.
- Tidak berubah sifat air wuduk akibat benda asing yang melekat pada anggota wuduk. Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wuduk itu yang mengubah rasa, rupa atau bau air wuduk itu.
- Sekiranya ada benda asing yang melekat pada tubuh, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.
- Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit.
Kesempurnaan Wuduk
Berikut merupakan antara cara-cara untuk mendapatkan wuduk yang lebih sempurna, iaitu:
- Mendahulukan bahagian tubuh pada sebelah kanan.
- Mengulangi membasuh setiap anggota wuduk sebanyak 3 kali.
- Tidak bercakap / berkata-kata.
- Menghadap kiblat.
- Berniat wuduk.
- Membaca basmalah.
- Membasuh telapak tangan hingga ke pergelangan.
- Berkumur.
- Menggosok gigi (bersiwak).
- Membersihkan hidung.
- Membasuh muka.
- Membasuh tangan hingga ke siku.
- Mengusap sebahagian kepala.
- Mengusap kedua telinga luar dan dalam.
- Membasuh kaki hingga ke buku lali.
- Tertib (berurutan).
- Membaca doa selepas wuduk.
- Menunaikan solat sunat wuduk sebanyak 2 raka’at.
Bacaan Doa Selepas Wuduk
Umar bin Al-Khattab R.A meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ قَالَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ فُتِحَتْ لَهُ ثَمَانِيَةُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ يَدْخُلُ مِنْ أَيِّهَا شَاءَ
Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan memperelokkan wuduknya. Kemudian, dia membaca:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنْ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنْ الْمُتَطَهِّرِينَ
Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba-Nya dan pesuruh-Nya. Ya Allah, jadikanlah aku sebahagian daripada orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku sebahagian daripada orang yang bersuci.
Maka akan dibuka untuknya 8 pintu syurga yang dia boleh masuk mana-mana pintu yang dia inginkan.”
Hadis Sahih Riwayat Al-Tirmizi
Fadhilat Mengamalkan Doa Selepas Wuduk
Secara amnya kita tahu bahawa wuduk ialah salah satu langkah wajib atau syarat untuk memastikan solat yang dilakukan oleh umat Islam itu dianggap sah serta memastikan kebersihan anggota badan dan kesucian rohani dan jiwa itu sentiasa terpelihara.
Namun demikian, terdapat fadhilat lain yang juga boleh diperolehi oleh orang yang bersifat ikhlas dan menyempurnakan wuduknya dengan baik sekali.
Sabda Rasullullah SAW:
“Sesiapa yang mengambil wudhuk dengan baik, dosa-dosanya keluar dari badannya sehingga keluar dari bawah jari-jarinya.”
Hadis Riwayat Muslim
Selain itu, selepas berwuduk jika kita mengamalkan membaca doa selepas wuduk, Allah SWT juga menjanjikan fadilat yang kita dapat adalah akan dibukakan 8 pintu syurga dan kita boleh masuk dari mana-mana pintu yang kita suka.
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan seterusnya dijadikan panduan untuk kita semua dalam meningkatkan amal ibadah dan menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan berdoa kepada Allah SWT pada setiap hari!
Selamat beramal! Semoga Allah SWT sentiasa menerima amalan kita. Allahumma Aamiin.
Artikel Berkaitan: Doa Abu Darda Amalan Pelindung Daripada Sebarang Malapetaka, Selawat Tafrijiyyah Amalan Pembuka Pintu Rezeki.