Sumber Rujukan Globalisasi Anda

BOLEH KE RENJIS AIR RUQYAH KE KERETA?

Renjis air ruqyah ke kereta? Betul ke ada berlaku? Ya! Ada. Tular baru-baru ini video seorang guru pondok yang dikagumi ramai merenjis air ruqyah ke kereta baharu. Melihat di ruangan komen, rata-rata ramai masyarakat yang berdebat berkenaan isu terbabit hinggakan ada yang menyatakan perbuatan itu adalah mensyirikkan Allah sekaligus tidak dibolehkan dalam Islam. Betul ke?

RENJIS AIR RUQYAH KE KERETA
BOLEH KE RENJIS AIR RUQYAH KE KERETA? 4

Bagi menjawab isu renjis air ruqyah ke kereta ini, mari kita melihat penjelasan dari yang alim ulamak iaitu Mufti Wilayah Persekutuan menerusi seperti yang dikongsi di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan,

Perbuatan merenjis atau membilas kenderaan dengan air yang dibaca ruqyah adalah sesuatu yang dibenarkan dan diharuskan dalam syarak. Ia merupakan satu cara yang untuk melakukan ruqyah seperti yang disebutkan oleh para ulama. Selain itu, hujah Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah melakukannya tidak boleh diterima kerana tidak semestinya perkara yang ditinggalkan oleh mereka itu terus menjadi haram. Bahkan, terdapat banyak perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, namun masih dalam hukumnya yang asal iaitu sunat dan harus. Oleh yang demikian, perbuatan tersebut bukanlah satu amalan yang khurafat dan ia tidak bertentangan dengan syariat.”

Isi Kandungan

Huraian penjelasan hukum merenjis air ruqyah ke kereta

Setiap umat Islam dituntut untuk berikhtiar bagi menjadi diri, keluarga dan hartanya daripada sebarang perkara yang tidak diinginkan seperti kecurian, kemalangan dan daripada penyakit seperti penyakit ‘ain dan seumpamanya. Berkaitan penyakit al-‘ain secara khusus, Nabi SAW pernah menyebut bahawa penyakit ‘ain ini merupakan sesuatu yang benar dan apabila seseorang diminta untuk mandi bagi menyembuhkan penyakit itu, maka hendaklah dia mandi. Sabda Baginda SAW:

Maksudnya: Penyakit al-‘Ain itu benar. Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka hendaklah kamu mandi.

Riwayat Muslim (5831)

Sebahagian ulama juga menyebutkan bahawa penyakit ‘ain ini menimpa haiwan dan benda-benda yang tidak bernyawa (al-jamādāt) seperti pokok, batu, kereta dan seumpamanya. Terdapat pelbagai cara untuk melindungi diri daripada penyakit ‘ain ini seperti membaca ruqyah dan doa. Ibn Kathir dalam tafsir menyebut bahawa sebahagian daripada salaf, apabila mereka melihat sesuatu yang menakjubkan mereka, mereka akan menyebut ‘ما شاء لا قوة إلا بالله’.[1] Untuk panduan cara dan doa yang lebih lanjut, rujuk artikel kami Al-Afkar #43: Penyakit ‘Ain Dan Rawatannya.

renjis air ruqyah ke kereta
BOLEH KE RENJIS AIR RUQYAH KE KERETA? 5

Salah satu bentuk ikhtiar

Salah satu bentuk usaha dan ikhtiar juga adalah dengan memandikan atau membilas dengan air berdasarkan sabda Nabi SAW, ‘jika diminta kepada kamu untuk mandi (bagi penyembuhan, maka hendaklah kamu mandi’. Hal ini juga diharuskan dengan cara merenjis-renjis air kepada perkara yang tidak bernyawa seperti rumah dan sebagainya.

Maksudnya: Begitu juga, diharuskan membaca beberapa zikir, wirid dan ta’awwudz pada air kemudian direnjiskan pada rumah yang terdapat jin dan syaitan. Cara ini akan menjauhkan mereka daripada tempat tersebut dengan izin Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Memberi Kesembuhan.(Rujuk Mausu’ah Syar’iyyah fi Ilm al-Ruqa)

Oleh yang demikian, cara membacakan ayat al-Quran, zikir dan ta’awwudz kemudian merenjisnya pada sesuatu tempat atau barang, maka ia dibenarkan oleh syarak dan bukanlah sesuatu yang dilarang atau khurafat. .

Selain itu juga, sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak semestinya perkara itu diharamkan oleh syarak. Terdapat banyak perkara yang harus dilakukan sekalipun Nabi SAW dan para sahabat tidak melakukannya. Perbahasan ini disebutkan sebagai al-tark iaitu sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sama ada dengan tujuan tertentu atau tanpa tujuan. Sesetengah golongan sengaja menimbulkan kekeliruan dengan menjadikannya sebagai hujah bahawa jika sesuatu itu baik sudah tentu Nabi SAW dan para sahabat terlebih dahulu akan melakukannya (لو كان خيرًا لسبقونا إليه), sedangkan perkara itu tidak benar. Berkaitan hal ini, Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan dalam kitabnya Husn al-Tafahhum wa al-Dark li Mas’alat al-Tark bahawa:

Terdapat banyak perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan perkara itu tidak menjadi haram atas pelbagai sebab. Hal ini contohnya Nabi SAW pernah meninggal perbuatan memakan haiwan dhab walaupun dipelawa oleh para Sahabat kerana ia bukan adat Baginda SAW. Walau bagaimanapun, Baginda SAW tidak mengharamkan para sahabat daripada memakannya. Justeru itu, tidak semestinya sesuatu yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW merupakan satu perkara yang haram. Ini tidak boleh dijadikan hujah untuk mengharamkan sesuatu perbuatan yang tiada dalil daripada syarak yang menunjukkan kepada pengharaman tersebut.

renjis air ruqyah ke kereta
BOLEH KE RENJIS AIR RUQYAH KE KERETA? 6

Penutup

Kesimpulannya, perbuatan membilas atau renjis air ruqyah ke kereta atau kenderaan yang dibacakan dengan zikir dan doa ruqyah bukanlah suatu perkara yang khurafat. Bahkan ia adalah salah satu cara yang dibenarkan oleh syarak kerana tiada dalil yang melarangnya. Oleh yang demikian, tindakan tersebut harus untuk dilakukan dengan tujuan menjaga sesuatu barang atau kenderaan daripada penyakit al-‘ain dan musibah seumpamanya.

Jadi bagi masyarakat yang tidak arif berkenaan isu agama tidak kira isu renjis air ruqyah ke kereta ini atau isu lain, diharap dapat bersabar dari melontarkan kata-kata nista kerana kita bertanggungjawab sepenuhnya dengan komen atau kata-kata kita. Risau nanti akan dipersoalkan di akhirat kelak. Apa apa pun, jangan lupa baca doa sebelum naik kenderaan na!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More