Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Cuti Mingguan Johor Ditukar Semula Kepada Sabtu & Ahad

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai cuti mingguan Johor yang akan kembali semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 nanti.

Isi Kandungan

Pemakluman Pertukaran Cuti Mingguan Johor Bermula 1 Januari 2025

Cuti hujung minggu atau cuti mingguan di negeri Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Menurut Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baginda sudah menitahkan perkara tersebut kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk dibincangkan.

“Selepas mendapat perkenan dan restu ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.

Saya juga menitahkan agar YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek.

Saya berharap agar semua syarikat swasta, pihak Kerajaan serta pihak yang berkaitan akan memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya.”

– Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail –

Cuti Mingguan Johor Ditukar Semula Kepada Sabtu & Ahad 1
Cuti Mingguan Johor

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai Agama rasmi negeri Johor.

Perubahan itu sebelum ini sebenarnya telah mengembalikan semula cuti hujung minggu asal bagi negeri Johor, iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu yang telah dilaksanakan oleh negeri Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu pada Sabtu dan Ahad bermula pada tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

Majikan Di Negeri Johor Perlu Memberi Masa Yang Mencukupi Kepada Pekerja Untuk Solat Jumaat

Susulan dengan perkara diatas, semua majikan di Johor diminta untuk mematuhi titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar memberi ruang dan masa yang mencukupi kepada pekerja yang beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat apabila penyelarasan semula cuti hujung minggu dilaksanakan bermula 1 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata jika majikan gagal berbuat demikian, tindakan boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

“Seperti yang telah dititah, kami akan adakan sesi libat urus yang lebih mendalam dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pemain industri dan pihak majikan dalam waktu terdekat agar titah ini dapat dilaksana dengan efektif. Semua pekerja Muslim perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam khususnya waktu solat Jumaat. Oleh itu, pihak industri dan majikan yang tidak beri ruang secukupnya, dijangka berdepan tindakan.”

– Lee Ting Han –

Penyelarasan Semula Cuti Mingguan Johor Mendapat Sambutan Baik Oleh Semua Pihak

Lee Ting Han berkata penyelarasan semula cuti mingguan Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025 ini disambut baik bukan sahaja oleh golongan pekerja, ibu dan bapa, tetapi juga sektor swasta dan perbankan di negeri tersebut.

“Pertukaran ini akan meningkatkan produktiviti negeri Johor secara keseluruhan apabila waktu bekerja selari bagi pentadbiran Kerajaan dan sektor ekonomi dan perbankan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selain itu, sektor runcit juga akan terima impak positif apabila ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak pada hari cuti Sabtu dan Ahad.”

– Lee Ting Han –

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata penyelarasan semula cuti hujung minggu / cuti mingguan Johor yang baharu ini akan melibatkan kesemua penduduk Johor terutamanya 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja sektor Kerajaan dan swasta.

Justeru, semua penduduk Johor terutamanya perlu mengambil perhatian mengenai perkara ini supaya semua pihak dapat menerima info terkini ini dengan sebaiknya.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More