Pemberian Tol Percuma Deepavali Pada 29 & 30 Oktober 2024
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai tol percuma deepavali yang telah diumumkan untuk makluman semua rakyat Malaysia di luar sana.
Isi Kandungan
Pengumuman Tol Percuma Deepavali 2024
Kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya selama dua (2) hari bermula hari ini sempena Deepavali 2024.
Menteri Kementerian Kerja Raya (KKR), Dato Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tol percuma Deepavali bermula pada jam 12.01 tengah malam 29 Oktober dan berakhir pada jam 11.59 malam, 30 Oktober (Rabu).
Pengecualian tol hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu
- Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS); dan
- Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor.
Kenyataan mengenai tol percuma Deepavali ini telah rasmi dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia pada Isnin, 28 Oktober.
Alexander berkata, kos pemberian tol percuma Deepavali ini dianggarkan berjumlah RM38 juta akan ditanggung oleh Kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terbabit.
Pemberian tol percuma Deepavali ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan Malaysia MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat, di samping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Panduan Penggunaan Lebuh Raya Sepanjang Perayaan Deepavali 2024
Semua pengguna lebuh raya diingatkan supaya mengikut panduan penggunaan seperti berikut:
- Mengikut jadual waktu perjalanan atau Travel Time Advisory (TTA) oleh syarikat konsesi lebuh raya.
- Memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik.
- Memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi.
- Memastikan baki smart-tag mencukupi.
- Menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengenai keadaan lebuh raya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan.
- Menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan semasa di lebuh raya.
- Menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi LLM iaitu di Facebook LLM atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.
Sehubungan itu, diharapkan semua pengguna lebuhraya dapat memanfaatkan peluang itu sebaiknya dan merancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik berdasarkan panduan yang telah disediakan.
“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon pengguna jalan raya memandu dengan berhemah dan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan. Berehatlah jika keletihan dan mengantuk. Bersama-samalah kita semua bekerjasama dalam menjadikan lebuh raya kita selamat, bersih dan selesa serta mengurangkan statistik kemalangan jalan raya Malaysia.”
Dato Seri Alexander Nanta Linggi
Peningkatan Jumlah Kenderaan Di Lebuh Raya Sepanjang Perayaan Deepavali 2024
Sementara itu, Ketua Pengarah LLM, Datuk Sazali Harun, memaklumkan pihaknya menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya utama menuju ke Pantai Timur, Utara dan Selatan.
Katanya, sebanyak 2.62 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya utama pada hari puncak sempena Deepavali.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2.13 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS.
Manakala, masing-masing 198,000 dan 78,220 kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya KL–Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, diikuti Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (59,220) serta Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 153,700.
Bagi mendepani peningkatan trafik, Sazali berkata, semua syarikat konsesi lebuh raya diarahkan untuk melakukan persediaan rapi supaya perjalanan pengguna lebuh raya selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan.