Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Cara Kira & Bayar Zakat Pendapatan Mengikut Kaedah Yang Betul

Berikut dikongsikan tentang cara untuk mengira dan membayar zakat pendapatan mengikut kaedah yang betul.

Isi Kandungan

Apa Itu Zakat Pendapatan?

Zakat Pendapatan timbul daripada konsep Zakat Al-Mal Al-Mustafad, iaitu yang bermaksud Zakat Harta Perolehan.

Konsep Al-Mal Al-Mustafad bermaksud mewajibkan zakat ke atas mana-mana harta perolehan dari hasil usaha tanpa sebarang proses pertukaran (jual-beli).

Secara ringkasnya, ia diperoleh dengan sebabnya tersendiri seperti gaji, upah, bonus, elaun, hadiah, insentif, pampasan, graduiti dan apa-apa sahaja yang menghasilkan pendapatan.

Sama ada kita bekerja sendiri atau mempunyai majikan, diperolehi ketika waktu bekerja, berhenti atau termasuk pada masa kini ramai yang diberhentikan kerja dan diberikan Skim Pemisahan Sukarela atau Voluntary Separation Scheme (VSS) / Skim Pemisahan Wajib atau Mandatory Separation Scheme (MSS), semua ini adalah perolehan kepada harta yang wajib untuk dizakatkan.

Para fuqaha telah mewajibkan zakat ke atas hasil pendapatan dan gaji.

Ini kerana pendapatan merupakan sebuah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan yang lumayan terutamanya bagi seseorang yang menyandang jawatan-jawatan profesional atau peringkat tinggi dalam sesebuah organisasi.

Seterusnya, ia juga antara aktiviti perekonomian utama pada zaman ini, apatah lagi profesion makan gaji sudah menjadi lumrah dalam kehidupan sekarang.

Oleh itu, ayuh kita semak dan tunaikan zakat agar ia memberi keberkatan bukan sahaja di dunia bahkan keuntungan di akhirat kelak.

Cara Kira & Bayar Zakat Pendapatan Mengikut Kaedah Yang Betul 1

Kewajipan Zakat Pendapatan

Kewajipan zakat pendapatan telah diasaskan oleh beberapa dalil. Di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”

Surah Al-Baqarah, Ayat 267

Dalam sebuah Hadis yang bermaksud, telah diceritakan oleh Said Bin Abi Burdah dari bapanya dari datuknya dari Nabi Muhammad SAW bersabda:

Sedekah ditekankan atas setiap Muslim lalu para Sahabat bertanya: Wahai Nabi Allah SWT, bagaimana dengan orang yang tidak mendapatkan (sesuatu untuk disedekahkan)?

Beliau menjawab: Dia beramal dengan tangannya (kerja), sehingga dia bermanfaat bagi dirinya lalu dia bersedekah.

Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

Al-Athar para Sahabat turut menjadi dalil kewajiban zakat pendapatan. Diriwayatkan daripada Abu Ubayd diterima daripada Hubayrah Ibn Yarim, beliau berkata yang bermaksud:

Abdullah Ibn Masud memberikan kepada kami sebuah bakul yang berisi barang yang bernilai, dan diambil sebahagiannya untuk membayar zakat.

Kewajipan zakat pendapatan dikenakan ke atas mereka yang telah cukup syarat, nisab dan haul.

  • Syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk mengeluarkan zakat iaitu Islam yang bermaksud tidak wajib zakat ke atas orang yang kafir dan sumbernya juga mesti halal.
  • Begitu juga syarat merdeka, seseorang perlu bebas dari sistem perhambaan yang mengekang dari aspek pemilikan harta.
  • Syarat seterusnya adalah ia merupakan milik sempurna individu yang memiliki harta tersebut. Ini bermaksud, tiada halangan untuk individu itu mengeluarkan harta tersebut.
  • Cukup nisab yang telah ditetapkan, iaitu sejumlah harta yang mencapai nilai yang diwajibkan untuk berzakat iaitu bersamaaan nilaian 85 gram emas. Apabila sampai nisab ini (bersamaan 85 gram emas) atau lebih, orang itu dianggap telah layak mengeluarkan zakat. Jumlah zakat pendapatan pula adalah sebanyak 2.5% daripada baki nisab tersebut.
  • Cukup haul (setahun Qamariah) pula adalah genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya.

Infografik berikut adalah kadar nisab yang terkini bagi kadar minima yang layak dikenakan zakat, iaitu:

Cara Kira & Bayar Zakat Pendapatan Mengikut Kaedah Yang Betul 2

Kaedah Pengiraan Zakat Pendapatan

Terdapat 2 cara untuk mengira zakat pendapatan, iaitu:

MaksudContoh
Cara 1: Tanpa TolakanPendapatan Kasar Setahun X 2.5%RM 50,000 X 2.5% = RM 1,250
Cara 2: Dengan TolakanPendapatan Kasar Setahun Perbelanjaan Asasi Yang Dibenarkan X 2.5%RM 50,000 (RM 12,000 – RM 5,000 – RM 2,000) X 2.5% = RM 775

Perbelanjaan Asasi Yang Dibenarkan adalah perbelanjaan harian untuk diri sendiri, keluarga, pendidikan sendiri, pemberian kepada ibu bapa, KWSP dan sebagainya.

Untuk memudahkan anda, terdapat juga kalkulator untuk mengira zakat pendapatan seperti pada pautan berikut:

>>>Kalkulator Zakat Pendapatan<<<

Tekan pautan diatas, masukkan maklumat pendapatan terkini anda, kemudian jika anda perlu membayar zakat, jumlah bayaran yang dikenakan zakat akan dipaparkan.

Cara Kira & Bayar Zakat Pendapatan Mengikut Kaedah Yang Betul 3

Cara Membayar Zakat Pendapatan

Orang ramai boleh menunaikan zakat pendapatan melalui saluran-saluran bayaran yang disediakan seperti di kaunter, di Portal atau Aplikasi MyZakat, melalui perbankan internet dan juga ejen-ejen yang dilantik.

Untuk membayar secara dalam talian (online), anda boleh membuat pembayaran zakat pada pautan berikut:

>>>Bayar Zakat Pendapatan<<<

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua diluar sana!

Jangan lupa bayar zakat tau! Baru hidup berkat!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More