Border Pass Thailand: Pas Sempadan Malaysia – Thailand
Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut mengenai cara atau prosedur untuk memohon Border Pass Thailand (Pas Sempadan Thailand).
Isi Kandungan
Sempadan Malaysia – Thailand
Sempadan Malaysia – Thailand adalah sempadan antarabangsa yang memisahkan Malaysia dan Thailand.
Sempadan ini ditubuhkan pada 1909, berikutan Perjanjian Inggeris – Siam 1909.
Jarak sempadan antarabangsa Malaysia – Thailand dianggarkan sejauh 646 km. Dari jumlah tersebut, sejauh 551 km adalah sempadan darat manakala 95 km adalah sempadan mengikut thalweg (bahagian terdalam) aliran utama Sungai Golok, Kelantan.
Terdapat empat (4) Negeri yang bersempadan dengan Thailand. Daripada barat ke timur, mereka adalah Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.
Di sebelah Thailand pula terdapat empat (4) Wilayah iaitu daripada barat ke timur, mereka adalah Satun, Songkhla, Yala dan Narathiwat.
Border Pass Thailand
Border Pass Thailand atau Pas Sempadan Thailand adalah sebuah dokumen yang dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang lahir atau bermastautin melebihi satu (1) tahun di Negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Daerah Hulu Perak (Pengkalan Hulu, Grik dan Lenggong) sahaja.
Tempoh sah laku dokumen tersebut adalah selama dua belas (12) bulan dari tarikh ia dikeluarkan dan boleh digunakan bagi beberapa kali perjalanan.
Pas ini tidak boleh dilanjutkan tempoh sah lakunya.
Tempoh sah pas ini mestilah tidak kurang daripada 30 hari sebelum perjalanan keluar ke Thailand.
Pas ini adalah penting untuk pergerakan dari Negeri sempadan ke selatan Thailand khususnya Wilayah Satun, Songkhla, Yala, Narathiwat dan Pattani.
Syarat Kelayakan
Syarat-syarat am untuk memohon Border Pass Thailand adalah seperti berikut:
- Warganegara Malaysia yang tinggal di Negeri sempadan seperti Kedah, Perlis, Kelantan atau Hulu Perak.
- Warganegara Malaysia yang telah tinggal di Negeri sempadan lebih daripada satu (1) tahun (disahkan melalui alamat pada Kad Pengenalan).
Syarat-syarat tambahan yang lebih khusus mengikut umur pemohon adalah seperti berikut:
Pemohon | Keperluan |
---|---|
Berumur 12 Tahun Ke Bawah | 1. Satu (1) Salinan Gambar Terkini Pemohon dengan mengikuti kriteria berikut: – Latar belakang putih; – Rambut tidak menutupi dahi; dan – Tudung berwarna gelap (wanita Islam). 2. Borang permohonan 3. Surat Beranak 4. Borang A1/B1 – Borang Kebenaran Ibu Bapa *Perlu hadir ditemani ibu atau bapa. |
Berumur 12 – 18 Tahun Ke Bawah | 1. Satu (1) Salinan Gambar Terkini Pemohon dengan mengikuti kriteria berikut: – Latar belakang putih; – Rambut tidak menutupi dahi; dan – Tudung berwarna gelap (wanita Islam). 2. Borang permohonan 3. Kad Pengenalan 4. Borang A1/B1 – Borang Kebenaran Ibu Bapa 5. Pas Sempadan Sebelumnya (jika ada). |
Berumur 18 Tahun Ke Atas | 1. Satu (1) Salinan Gambar Terkini Pemohon dengan mengikuti kriteria berikut: – Latar belakang putih; – Rambut tidak menutupi dahi; dan – Tudung berwarna gelap (wanita Islam). 2. Borang permohonan 3. Kad Pengenalan 4. Pas Sempadan Sebelumnya (jika ada). *Suami isteri perlu memohon Pas Sempadan secara berasingan. |
Yuran sebanyak RM10.00 akan dikenakan untuk proses memohon Pas Sempadan Thailand ini.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Artikel Berkaitan: Prosedur Permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa.