Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Fiqh Banjir: Panduan Melaksana Ibadah Ketika Musim Banjir

Berikut adalah perkongsian mengenai Fiqh Banjir sebagai panduan asas kepada umat Islam bagi menjalankan ibadah ketika berdepan musibah.

Isi Kandungan

Panduan Ringkas Mengenai Fiqh Banjir

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM, dalam menghadapi musim banjir yang kini melanda, berikut adalah panduan ringkas untuk kekal beribadah dengan cara yang betul.

Fiqh Banjir: Panduan Melaksana Ibadah Ketika Musim Banjir 1
Fiqh Banjir

Hukum Solat Ketika Banjir

Mangsa banjir pada kebiasaannya akan ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) seperti dewan orang ramai, sekolah dan sebagainya.

Berkumpulnya mereka di situ sahaja sudah membolehkan untuk mereka solat berjemaah pada setiap solat fardhu. 

Adapun solat jamak ketika hujan, ianya memang benar warid dari Nabi Muhammad SAW dan dibolehkan disisi mazhab Syafie akan tetapi ianya hendaklah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh para fuqaha’, iaitu:

  • Jamak yang dilakukan mestilah jamak taqdim, dan tidak jamak ta’khir. Ia mesti dilakukan mengikut syarat jamak taqdim iaitu dimulakan dengan solat yang awal (Zohor atau Maghrib) dan mesti berniat untuk jamak di dalam solat yang pertama, selewat-lewatnya sebelum memberi salam bagi solat pertama.
  • Solat yang kedua (Asar atau Isya’) mestilah dilakukan secara berjemaah di masjid. Tidak disyaratkan untuk solat berjemaah pada solat yang pertama dan dibolehkan untuk solat bersendirian pada solat pertama. Apabila imam mengisytiharkan dijamakkan solat, maka harus seluruh ahli jemaah menjamakkan solat, walaupun ada yang tinggal berdekatan dengan masjid kerana dalam peristiwa solat jamak disebabkan hujan pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda sendiri mengimamkan solat sedangkan rumah baginda bersebelahan dengan masjid.
  • Ia mestilah dilakukan di masjid, bukannya di rumah. Masjid atau surau itu mestilah jauh jaraknya sehingga hujan itu memberi kesan kepada orang yang hendak menunaikan solat. Sekiranya rumah berdekatan masjid, tidak dibolehkan jamak.
  • Tidak boleh jamak melainkan hujan yang membasahi pakaian. Hujan yang tidak membasahkan pakaian, tidak boleh jamak kerana ia tidak memberi kesan mudarat pada pakaian. Begitu juga salji, hukumnya adalah sama seperti hujan.

Walau bagaimanapun, solat jamak boleh dilaksanakan jika dalam keadaan mendesak seperti ketika misi menyelamatkan diri atau orang lain.

Selain itu, hukum solat ketika banjir di dalam air adalah SAH sekiranya sudah dipastikan tiada tempat kering untuk mendirikan solat dan kesemua rukun dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Mangsa banjir turut diberikan kelonggaran untuk solat berdiri dan tidak perlu melakukan perbuatan rukuk, sujud dan duduk antara dua sujud sekiranya bimbang masuk air. Bagi perbuatan ini, cukup sekadar menundukkan badan mengikut kemampuan.

Seterusnya, berdasarkan pandangan dari Mufti Negeri Terengganu, hukum solat jumaat ketika banjir adalah TIDAK WAJIB.

Ini selaras dengan Fatwa daripada Darul Ifta’ Mesir yang menyatakan seperti berikut:

إن الشرع الشريف قد أجاز الصلاة فى البيوت فى حالة الكوارث الطبيعية كالسيول والعواصف

Maksudnya: Sesungguhnya syarak yang mulia telah mengharuskan solat (Jumaat) di rumah (ertinya solat zohor di rumah) ketika musibah semulajadi seperti banjir dan ribut.

Fiqh Banjir: Panduan Melaksana Ibadah Ketika Musim Banjir 2
Fiqh Banjir

Berwudhuk Dengan Air Banjir

Sekiranya ketiadaan air bersih, mangsa banjir dibolehkan untuk menggunakan air banjir sebagai alat untuk bersuci.

“Sekiranya air berubah pada warna, bau dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur) dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan.”

Al-Syeikh Dr. Muhammad Al-Zuhaili

Adapun jika air tersebut telah digunakan untuk berwudhuk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.

Fiqh Banjir: Panduan Melaksana Ibadah Ketika Musim Banjir 3
Fiqh Banjir

Kaedah Pelupusan Al-Quran Yang Rosak Akibat Banjir

Firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Surah Al-Hijr, Ayat 9

Para ulama’ telah khilaf bagaimana cara untuk melupuskan Al-Quran kepada dua pendapat, iaitu

Pendapat PertamaMazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali berpendapat, hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya.
Pendapat KeduaMazhab Maliki dan Mazhab Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.

Kedua-dua pendapat di atas samada menanamnya atau membakarnya adalah diharuskan kerana kedua-duanya bermatlamat untuk memuliakan Al-Quran.

Justeru, jika Al-Quran telah rosak atau yang tidak mungkin dapat dibaca lagi dengan sebab ditenggelami air atau akibat banjir, anda boleh melupuskannya dengan cara yang telah disyorkan diatas.

Fiqh Banjir: Panduan Melaksana Ibadah Ketika Musim Banjir 4
Fiqh Banjir

Hukum Memberi Zakat Kepada Mangsa Banjir

Berdasarkan Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memberi zakat kepada kepada golongan yang terkena mudarat atau bencana samada banjir besar, puting beliung, tanah runtuh, gempa bumi dan lain-lain yang menyebabkan rumah mereka musnah, tanaman mereka binasa, dan tidak ada lagi apa-apa yang mereka miliki adalah HARUS.

Mereka ini juga akan dikategorikan sebagai golongan Al-Gharimin.

Golongan Al-Gharimin adalah golongan yang berhak mendapatkan zakat beserta syarat-syarat yang ditetapkan kepada 3 kategori.

Fiqh Banjir: Panduan Melaksana Ibadah Ketika Musim Banjir 5
Fiqh Banjir

Diharapkan perkongsian Fiqh Banjir ini sedikit sebanyak dapat membantu dan bermanfaat untuk anda semua di luar sana.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More