Skim Khairat Kematian STR 2025: Kriteria Kelayakan & Cara Tuntutan
Skim Khairat Kematian STR telah diperkenalkan oleh Kerajaan untuk warganegara Malaysia yang meninggal dunia.
Ramai yang masih tidak tahu, waris pemohon / pasangan yang lulus STR yang telah meninggal dunia boleh memohon bantuan di bawah Skim Khairat Kematian STR 2025.
Isi Kandungan
Skim Khairat Kematian STR 2025
Skim Khairat Kematian (SKK) adalah satu skim bantuan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) berbentuk bantuan kewangan secara tunai yang diberikan bagi pemohon / pasangan yang LULUS STR tetapi telah meninggal dunia pada tahun semasa.
Skim Khairat Kematian STR 2025 layak dituntut oleh Pemohon / Pasangan / waris sekiranya Permohonan STR 2025 berstatus LULUS bagi kategori Isi Rumah dan Warga Emas Tiada Pasangan dan terhad bagi pemohon atau pasangan warganegara meninggal dunia dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.
Tuntutan SKK berjumlah RM1,000 untuk setiap individu yang layak boleh dibuat bermula pada 3 Februari 2025.
Syarat Kelayakan Tuntutan
Bagi pelaksanaan STR 2025, kelayakan SKK adalah bergantung kepada ketetapan seperti berikut:
Kategori | Individu Meninggal Dunia | Kelulusan STR 2025 | Tarikh Kematian | Kelayakan SKK |
---|---|---|---|---|
Kahwin (bukan warga emas) | Pemohon / Pasangan (warganegara) | Lulus Permohonan STR 2025 | 01 Januari 2025 – 31 Disember 2025 | Layak |
Ibu atau Bapa Tunggal / Balu / Janda / Duda (bukan warga emas) yang mempunyai anak | Pemohon | Lulus Permohonan STR 2025 | 01 Januari 2025 – 31 Disember 2025 | Layak |
Warga Emas Isi Rumah / Bujang / Tiada Pasangan | Pemohon / Pasangan (warganegara) | Lulus Permohonan STR 2025 | 01 Januari 2025 – 31 Disember 2025 | Layak |
Keutamaan tuntutan Skim Khairat Kematian STR 2025 adalah kepada Pemohon / Pasangan.
Walau bagaimanapun, turutan keutamaan layak tuntut SKK adalah seperti berikut:
- Pemohon sekiranya pasangan warganegara meninggal dunia;
- Pasangan yang didaftarkan oleh pemohon di Bahagian B (Maklumat Pasangan) Borang Permohonan STR 2025 sekiranya pemohon meninggal dunia; atau
- Waris yang didaftarkan oleh pemohon di Bahagian D (Maklumat Waris) pada Borang BK-01 (Borang Permohonan STR 2025) dan mestilah terdiri daripada hubungan (Waris yang layak didaftarkan semasa Permohonan STR 2025) sekiranya kedua-dua pemohon dan pasangan penerima STR 2025 meninggal dunia.
Siapakah Waris Yang Layak Didaftarkan Semasa Permohonan STR 2025?
Waris yang layak didaftarkan semasa Permohonan STR 2025 adalah seperti berikut:
- Pasangan
- Ibu
- Bapa
- Anak (Kandung / Tiri / Angkat)
- Adik-beradik
- Cucu
Tiada had umur kelayakan seseorang untuk menjadi waris kepada pemohon STR 2025.
Walau bagaimanapun, bagi waris yang berusia 17 tahun ke bawah, dokumen pengenalan diri dan dokumen pertalian perlu di bawa serta hadir bagi pengesahan cap jari / tandatangan individu di kaunter BSN.
Maklumat waris diisi dalam Permohonan STR 2025 bagi memudahkan urusan tuntutan SKK / Penunaian STR dan wakil tuntutan adalah terhad sekiranya pemohon / pasangan berdaftar tidak dapat hadir atas alasan munasabah bagi urusan berkenaan.
Situasi yang membolehkan waris membuat tuntutan SKK / penunaian bayaran STR adalah seperti berikut:
- Waris bagi tuntutan SKK jika Pemohon dan Pasangan telah meninggal dunia; atau
- Waris bagi tuntutan SKK / penunaian bayaran STR terhad bagi situasi pemohon dan pasangan tidak dapat hadir terhad kepada alasan dinyatakan (Rujuk Soalan 11 & 17).
Cara Membuat Tuntutan
Tuntutan Skim Khairat Kematian STR 2025 adalah secara tunai dan boleh dituntut di mana-mana Cawangan BSN seluruh Malaysia.
Dokumen yang perlu dibawa semasa tuntutan SKK di BSN ialah:
- Sijil Kematian Pemohon / Pasangan;
- Kad Pengenalan asal Waris; dan
- Dokumen pembuktian sekiranya Pemohon / Pasangan tidak dapat hadir ke Cawangan BSN untuk penunaian.
Tempoh & Jumlah Tuntutan
Berikut merupakan tempoh membuat tuntutan Skim Khairat Kematian STR 2025, iaitu:
Tarikh Kematian | Tarikh Tuntutan SKK | Jumlah Tuntutan SKK |
---|---|---|
01 Januari 2025 – 31 Disember 2025 | 03 Februari 2025 – 31 Disember 2025 | RM 1,000.00 |
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut berkaitan Skim Khairat Kematian STR 2025 ini, sila rujuk SOALAN LAZIM (FAQ) SKIM KHAIRAT KEMATIAN STR yang berkaitan di portal rasmi SUMBANGAN TUNAI RAHMAH dari semasa ke semasa.
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!