Larangan Menyerupai Jantina Lain (Kenyataan Rasmi Daripada JAKIM)

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut tentang larangan menyerupai jantina lain yang telah dikeluarkan oleh JAKIM berikutan isu lelaki berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara pertandingan hiburan yang telah berlangsung di Malaysia pada baru-baru ini.
Isi Kandungan
Larangan Menyerupai Jantina Lain
Daripada Abu Qatadah R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”
Riwayat Abu Daud
Islam melarang lelaki untuk menyerupai wanita melalui pemakaian barang perhiasan yang hanya dikhususkan untuk wanita.
Wanita juga dilarang memakai pakaian yang dipakai oleh lelaki dan berlagak seperti seorang lelaki.
Islam telah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga perempuan hendaklah menjadi perempuan mengikut sunnatullah yang telah ditetapkan.
Hikmah Allah SWT dalam penciptaan sudah pasti membawa pelbagai rahmat dan rahsia-Nya kepada makhluk seperti manusia.

Kenyataan Media Berkenaan Isu Lelaki Berpakaian Menyerupai Wanita Semasa Sebuah Acara Pertandingan Hiburan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian serius terhadap isu yang tular mengenai lelaki Muslim yang berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara program hiburan yang berlangsung pada 16 Februari 2025 sehingga menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.
Oleh itu, JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Pihak JAKIM turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.
Sehubungan itu, JAKIM menyeru dan menasihati semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan berharap agar perlakuan seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
Sesungguhnya, Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan.
Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni.
Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam.
Pakaian Orang Beriman
Sebagai umat Islam, kita seharusnya memilih dan memakai pakaian yang mendapat redha Allah SWT.
Berikut adalah ciri-ciri pakaian yang sesuai dengan ajaran dan tuntutan Islam, iaitu:
Tidak Terlalu Sempit / Nipis | Pakaian yang tidak melekat pada badan dan tidak menampakkan susuk tubuh. |
Tidak Menyerupai Jantina Lain | Bagi wanita, hindari pakaian yang dikhususkan untuk kaum lelaki seperti seluar ketat atau pakaian maskulin. Begitu juga sebaliknya untuk lelaki. |
Tidak Meniru Orang Kafir | Berpakaianlah mengikut adab Islam dan elakkan meniru pakaian yang melambangkan budaya atau kepercayaan yang bertentangan. |

Justeru, marilah sama-sama menjaga penampilan kita sesuai dengan tuntutan agama.
Pakaian bukan hanya soal gaya, tetapi ia juga lambang ketaatan dan kehormatan kita sebagai seorang umat Islam.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Artikel Berkaitan: Isu Viral Menggunakan Telekung 2 Pieces Ketika Solat.