Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Petua Memburu Pahala Pada Malam Lailatulqadar & Amalan Doa Khusus

Berikut adalah sedikit perkongsian mengenai lailatulqadar sebagai panduan asas kepada umat Islam untuk mengejar malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini.

Isi Kandungan

Lailatulqadar & Kelebihannya

Lailah memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari. Sedangkan Al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Salah satu keistimewaan bulan Ramadan ialah mempunyai malam lailatulqadar yang merupakan malam yang paling diberkati (malam kemuliaan) dalam setahun.

Ini adalah malam di mana Allah SWT memilih untuk menurunkan Al-Quran kepada kekasih kita, Rasulullah SAW.

Ini juga adalah malam di mana Allah SWT menentukan takdir, rezeki, kelahiran dan kematian serta lain-lain untuk ciptaan-Nya.

Disebutkan dalam Al-Quran bahawa malam ini lebih baik daripada seribu bulan (83 tahun & empat bulan) sebagaimana firman Allah sendiri yang bermaksud “Malam Al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Ini bermaksud, ibadah yang dilakukan pada malam tersebut lebih banyak pahala daripada ibadah yang dilakukan selama seribu bulan.

Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan kerana malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik.

Pada malam ini, umat Islam dapat memperbaharui janji di hadapan Allah SWT. Malam ini juga adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.

Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi Muhammad SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi Muhammad SAW bertujuan untuk menyampaikan wahyu.

Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.

Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya Al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan.

Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.

Petua Memburu Pahala Pada Malam Lailatulqadar & Amalan Doa Khusus 1

Surah Al-Qadr

Kelebihan malam lailatulqadar diceritakan dalam Al-Quran pada Surah Al-Qadr.

Berikut adalah ayat 1 – 5, Surah Al-Qadr.

إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ ١Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Al-Qadar.
وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَا لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ ٢Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Al-Qadar itu?
لَيْلَةُ ٱلْقَدْرِ خَيْرٌۭ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍۢ ٣Malam Al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
تَنَزَّلُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍۢ ٤Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).
سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ ٱلْفَجْرِ ٥Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

Petua & Cara Memburu Malam Lailatulqadar

Dalam melakukan ibadat dalam bulan Ramadan Al-Mubarak ini, sudah pastinya kita sentiasa ternanti-nanti malam lailatulqadar pada 10 malam yang terakhir.

Itulah malam yang mana ia berlaku pada satu malam ganjil daripada 10 malam terakhir Ramadan.

Malam-malam ganjil 10 terakhir Ramadan adalah pada malam ke-21, ke-23, ke-25, ke-27 dan ke-29.

Hanya orang yang berusaha mengimarahkannya sahaja yang akan merasai nikmat beribadat di malam lailatulqadar tersebut.

Terdapat petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama untuk mencari malam lailatulqadar.

Imam Gazali dan lain-lainnya ada menyebut bahawa malam lailatulqadar boleh ditemui berpandukan kepada tarikh permulaan puasa atau awal Ramadan, seperti kaedah berikut:

  • Jika awal Ramadannya jatuh pada hari Ahad / Rabu: Lailatul Qadarnya pada malam yang ke-29.
  • Jika awal Ramadannya jatuh pada hari Isnin: Lailatul Qadarnya pada malam yang ke-21.
  • Jika awal Ramadannya jatuh pada hari Selasa / Jumaat: Lailatul Qadarnya pada malam yang ke-27.
  • Jika awal Ramadannya jatuh pada hari Khamis: Lailatul Qadarnya pada malam yang ke-25.
  • Jika awal Ramadannya jatuh pada hari Sabtu: Lailatul Qadarnya pada malam yang ke-23.
Petua Memburu Pahala Pada Malam Lailatulqadar & Amalan Doa Khusus 2

Doa Khusus Lailatuqadar

Amalan doa malam lailatulqadar merupakan salah satu ibadah sunnah yang dibaca oleh umat Islam untuk meraih keutamaan bulan Ramadan, khususnya pada malam lailatulqadar.

Antara doa khusus malam lailatulqadar yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah RA adalah seperti berikut:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengampun dan amat suka akan pengampunan, maka ampunilah daku.”

Hadis Riwayat Tirmizi

Tanda Malam Lailatulqadar

Di antara tanda-tanda malam lailatulqadar adalah seperti berikut:

  1. Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas.
  2. Siangnya cahaya matahari warnanya pucat.
  3. Malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan sebagai tandanya ialah kita tiba-tiba merasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.

Diharapkan dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk anda semua di luar sana terutamanya kepada semua umat Islam.

Selamat memperbanyakkan ibadat dan mengejar malam lailatulqadar!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More