‘Skipping’ Bantu Kekal Awet Muda?
Isi Kandungan
Apa itu skipping?
Skipping atau jumping rope (melompat tali) merupakan satu senaman ringkas yang melibatkan pergerakan lompatan yang menggunakan tali khas. Ia sangat bagus untuk kardio dan berkesan membakar kalori dalam badan anda.
Jom ketahui lebih lanjut tentang kebaikan skipping untuk anda.
Kebaikan skipping
- Membakar kalori
Berbanding berjoging selama 30 minit, melompat dapat membakar lebih banyak kalori. Menurut Science Daily, senaman ini dapat membakar sehingga 1,300 kalori bagi setiap jam aktiviti melompat pada intensiti yang tinggi.
- Menguatkan otot kaki
Senaman ini dapat menguatkan otot di sekeliling pergelangan kaki dan kaki secara keseluruhan.
- Meningkatkan koordinasi
Senaman ini dapat membantu meningkatkan koordinasi dengan menjadikan anda lebih fokus kepada bahagian kaki. Ia melibatkan bahagian otak yang sedar tentang apa yang sedang dilakukan oleh kaki anda dan membuatkan anda lebih fokus agar tidak tersandung.
- Meningkatkan daya fokus
Melompat dapat membantu perkembangan otak kiri dan kanan anda. Sekaligus keadaan ini dapat membuat anda lebih fokus, tingkatkan kemahiran membaca dan membantu meningkatkan memori serta lebih peka terhadap mental.
- Meningkatkan ketumpatan tulang
Kajian mendapati skipping adalah satu senaman terbaik untuk meningkatkan ketumpatan tulang dengan hanya melompat walaupun ia dilakukan dalam tempoh yang sekejap.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai sejarah berkaitan masalah patah tulang atau keluarga yang mempunyai osteoporosis, pastikan anda mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu.
- Kesihatan kardiovaskular
Untuk membantu meningkatkan kesihatan jantung dan paru-paru, lakukanlah senaman ini sekurang-kurangnya tiga atau lima kali seminggu untuk 12 hingga 20 minit setiap sesi.
- Memperbaiki pernafasan
Selain baik untuk jantung dan stamina, skipping juga dapat memperbaiki pernafasan anda menjadi lebih baik dan efisien. Ia sudah tentu dapat membantu mengelakkan masalah semput dan menjadi tercungap-cungap selepas berlari.
- Mudah dilakukan
Anda boleh melakukan senaman ini di mana sahaja yang anda inginkan. Malahan anda juga boleh belajar membuat pergerakan lebih rumit untuk menjadikan senaman lompatan tali ini lebih menarik.
Kebaikan menyeluruh
Skipping ini memberikan manfaat dan kebaikan kepada kesihatan secara menyeluruh. Dalam masa yang sama, hasilnya ia boleh membantu membuatkan anda kekal awet muda, sihat dan cantik.
SUMBER : goubat.com
Menarik untuk anda baca: 10 tips Kekal Sihat Orang Dewasa