Cadangan 8 Amalan Pemakanan Sihat Sepanjang Ramadan

Kali ini admin ingin kongsikan sedikit amalan pemakanan sihat sepanjang Ramadan yang kita perlu tahu dan boleh amalkan untuk kekal sihat dan cergas sepanjang bulan puasa ini.
Isi Kandungan
Kepentingan Berpuasa Untuk Kesihatan
Puasa adalah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
Dari segi kesihatan, berpuasa adalah penting untuk merehatkan sistem penghadaman setelah 11 bulan bekerja.
Berpuasa juga boleh mengurangkan berat badan, merendahkan paras kolesterol darah, merendahkan kandungan gula dan trigliserida dalam darah serta boleh merendahkan tekanan darah.
Nabi Muhammad SAW juga ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit dan amalan pemakanan yang betul adalah sumber ubat’.

Amalan Pemakanan Sihat Sepanjang Ramadan
Berikut adalah amalan-amalan pemakanan sihat sepanjang Ramadan yang boleh diamalkan oleh anda dan seluruh keluarga tersayang, iaitu:
- Makan secara perlahan-lahan dan tidak gopoh semasa berbuka puasa.
- Elakkan minuman berkafein kerana ianya boleh menyebabkan kehilangan air dalam badan.
- Ambil makanan berkhasiat yang membekalkan tenaga dan nutrien ketika bersahur.
- Kurangkan makanan berlemak, berminyak, dan masin.
- Kawal kalori dengan mengamalkan pemakanan sederhana dan seimbang mengikut konsep Suku-Suku Separuh.
- Hadkan makanan tinggi gula.
- Minum 8 gelas atau 2 liter air sehari antara waktu berbuka hingga sahur.
- Ambil makanan tinggi serat untuk mengoptimumkan sistem imuniti badan dan melancarkan penghadaman.
Berikut adalah panduan semasa bersahur dan berbuka puasa yang kita boleh sama-sama amalkan, iaitu:
Panduan Pemakanan Semasa Bersahur | Panduan Pemakanan Semasa Berbuka Puasa |
---|---|
1. Ambil makanan yang mengenyangkan seperti nasi, roti atau oat. 2. Ambil buah dan sayur. 3. Minum air secukupnya. 4. Lewatkan waktu bersahur. | 1. Jangan gelojoh semasa berbuka puasa. Seelok eloknya berbuka mengikut sunnah. 2. Mulakan dengan 3 biji kurma dan segelas air kosong. 3. Jika perlu, ambil hanya 1 gelas minuman manis semasa berbuka puasa. 4. Bersederhana dalam pengambilan makanan. 5. Jangan makan berlebihan atau mengikut nafsu. 6. Kurangkan pengambilan makanan yang boleh memudaratkan seperti makanan yang berlemak, berminyak, tinggi garam dan tinggi gula. |
Amalan Pemakanan Tidak Sihat Sepanjang Ramadan
Makan berlebihan semasa berbuka puasa boleh meningkatkan berat badan walaupun di bulan puasa dan ia akan menjadikan anda malas untuk melakukan ibadat.
Antara cara pemakanan yang tidak sihat yang berlaku pada bulan Ramadan adalah makan makanan berat semasa moreh dan tidur sejurus selepas.
Perkara ini boleh mengakibatkan ketidakhadaman dan ditambah pula dengan kita kurang mengambil buah dan sayur, maka boleh mengakibatkan sembelit pula.
Seterusnya, minum banyak air manis semasa berbuka dan bersahur juga boleh meningkatkan paras gula dalam darah dan boleh memudaratkan terutamanya bagi pesakit diabetis. Ini merupakan amalan yang tidak sihat.
Memandangkan kita membeli dalam keadaan yang lapar, nafsu membeli perlu dikawal dan elakkan pembaziran dengan mengikut langkah-langkah berikut:
- Membuat catatan senarai makanan yang perlu sahaja untuk dibeli.
- Mengutamakan makanan yang dimasak tanpa menggunakan santan ataupun menggunakan minyak secara minima.
- Mengurangkan membeli kuih-muih yang manis serta bubur manis.
- Mengelakkan membeli air minuman yang dijual. Sebaik-baiknya, sediakan sendiri air minuman di rumah.
- Masak sendiri makanan untuk berbuka puasa dan elakkan makan atau berbuka di luar seperti di hotel dan restoran. Dengan cara ini, kita dapat mengawal pemakanan di samping menghadkan penggunaan minyak dan garam di dalam masakan.
- Jika membeli di luar, pilih gerai yang bersih dan makanan yang bertutup.
Tips Minum 8 Gelas Air Di Bulan Ramadan
Untuk kekal hidrat sepanjang bulan Ramadan, kita boleh ikut tips minum air sebanyak 8 gelas sehari di bulan Ramadan yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Antara saranan waktu pengambilan 8 gelas air sehari yang disyorkan adalah seperti berikut:
1 Gelas Selepas Bangun Sahur |
1 Gelas Selepas Sahur |
1 Gelas Selepas Azan Maghrib |
1 Gelas Selepas Solat Maghrib |
1 Gelas Selepas Makan |
1 Gelas Selepas Solat Isyak |
1 Gelas Selepas Solat Tarawih |
1 Gelas Sebelum Tidur |
Jika anda boleh ikut tips ini, tahniah! anda telah berjaya mendapatkan 8 gelas air sehari dan pasti tidak dehidrasi sepanjang anda berpuasa.

Anda boleh mencuba amalan pemakanan sihat sepanjang Ramadan yang disarankan ini untuk kekal cergas dan sihat sepanjang berpuasa.
Selamat menjalani ibadah puasa dan semoga kita sama-sama memperoleh keberkatan di bulan yang mulia ini. Amalkan makan secara sihat untuk sihat sepanjang hayat.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
Artikel Berkaitan: Panduan Betul Mengamalkan Diet IF (Intermittent Fasting)