Anggota PDRM Tolak RASUAH diberi Pengiktirafan
Pegawai PDRM Terima Pengiktirafan
KUALA LUMPUR: Seramai 26 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi pengiktirafan kerana melaporkan kes pemberian dan penerimaan rasuah sehingga kes berkenaan disabitkan di mahkamah.
Lapan daripada mereka yang bertugas di Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas, diberi penghargaan oleh Ketua Polis Negara, manakala bakinya diberi pengiktirafan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata lapan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Khas, bertindak menolak rasuah semasa menjalankan serbuan dan tangkapan ke atas sindiket pengedaran rokok dan arak seludup di Pulau Pinang, bersabit kejadian di Seberang Jaya.
“Pengiktirafan juga diberi kepada 18 pegawai dan anggota polis yang terpilih untuk menerima Sijil Penghargaan Tolak Rasuah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melaporkan pemberian dan penerimaan rasuah sehingga kes berkenaan disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah.
“Penyerahan sijil penghargaan kepada penerima dari Sabah dan Sarawak akan disampaikan oleh Pegawai Pemerintah masing-masing,” katanya pada majlis penyampaian Surat Penghargaan Tolak Rasuah, Polis Diraja Malaysia, di Bukit Aman, semalam.
Abdul Hamid berkata, tindakan dan melaporkan aktiviti terkutuk itu adalah satu ‘keberanian’ yang ada kalanya sukar dilakukan oleh segelintir pihak.
“Ini sekali gus membuktikan betapa tingginya maruah diripegawai dan anggota ini yang tidak semudah-mudahnya digadaikan dengan nilai wang ringgit,” katanya.
Penerima surat penghargaan tolak rasuah PDRM terdiri daripada seorang pegawai dan tujuh anggota manakala penerima penghargaan SPRM adalah membabitkan empat pegawai dan 14 anggota.
Mereka yang menerima pengiktirafan SPRM terdiri daripada pegawai dan anggota dari peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Balai Polis dan Briged Tengah dari seluruh negara.
Sumber Berita Harian
Artikel lain: Kanak-kanak bawah 12 tahun dibenar ke bazar Aidilfitri