Ibadah Aqiqah: Maksud, Hukum, Kadar & Syarat Melakukan Aqiqah

Berikut dikongsikan sedikit pengetahuan asas mengenai aqiqah dalam Islam yang perlu diketahui terutamanya untuk mereka yang bergelar ibu bapa.
Isi Kandungan
Apa Itu Aqiqah?
Aqiqah ialah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.
Perkataan aqiqah dari kata Al-Iqqah bererti rambut makhluk yang baru dilahirkan, baik manusia atau binatang.
Aqiqah afdhal dilakukan dalam tempoh seminggu selepas kelahiran dan ia adalah tradisi Islam menyembelih haiwan sempena kelahiran anak.
Tradisi Islam ini merupakan sejenis sedekah dan ia juga sunnah, walaupun tidak wajib.
Menurut hadis dan jumhur ulama Islam, dua ekor kambing dikorbankan untuk anak lelaki dan seekor untuk anak perempuan.
Jika seseorang tidak dapat menyembelih pada hari ketujuh kelahiran, seseorang boleh menyembelih pada hari keempat belas atau pada hari kedua puluh satu.
Jika seseorang itu tidak mampu berbuat demikian, maka seseorang itu boleh menyembelih pada bila-bila masa sebelum kanak-kanak itu baligh.
Hukumnya itu sunnah dan mustahabb, iaitu tidak wajib sama sekali, maka tidak ada dosa bagi orang yang tidak melakukannya.
Menurut sebuah hadis dalam Muwatta Imam Malik, Fatimah mendermakan dalam bentuk perak, berat rambut yang dicukur anak-anaknya Hasan, Husayn, Ummu Kulthum dan Zainab.

Hukum
Walaupun tidak wajib, hukum menunaikannya adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut dan digalakkan.
Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW kepada Fatimah ketika mengaqiqahkan Hasan, iaitu:
“Hai Fatimah!, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah dengan perak kepada orang-orang miskin seberat timbangan (rambutnya). Mereka berdua lalu menimbangnya, adalah timbangannya waktu itu seberat satu dirham atau sebahagian dirham.”
Hal ini berdasarkan dari hadis daripada Salman bin Amir al-Dhabbi R.A: Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”
Riwayat Al-Bukhari
Justeru, hukum melaksanakannya adalah sunat muakkad (sangat digalakkan) dan bukannya wajib. Maka meninggalkannya tanpa keuzuran adalah makruh dan bukannya maksiat.
Begitu juga jika ditinggalkannya kerana tidak mampu, maka tidak haram mahupun makruh.
Sebahagian ulama Syafieyyah yang terkemudian (mutaakhkhirin) berpendapat bahawa seseorang yang tidak mampu melakukan ibadah ini kemudian menjadi senang selepas tujuh hari kelahiran maka tidak sunat lagi untuk melakukan aqiqah.
Manakala sebahagian Syafieyyah pula berkata sebelum tamat tempoh nifas. Pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie bahawa hukum sunatnya kekal sehingga anak itu baligh.
Kadar & Syarat
Kadar aqiqah bagi anak adalah berbeza mengikut jantina.
Jika anak itu dilahirkan sebagai lelaki, disunatkan menyembelih dua ekor kambing manakala bagi anak perempuan pula, seekor kambing.
Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing.”
Riwayat Abu Daud
Selain kambing, boleh juga memilih untuk mengorbankan haiwan lain seperti lembu, kerbau, unta, kibas, biri-biri atau lain lain.
Lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sebanyak 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Haiwan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban, iaitu seperti berikut:
Jenis Haiwan | Umur Minima |
---|---|
Kibas | Satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan. |
Biri-biri, Domba & Kambing | Satu tahun atau telah gugur gigi hadapannya sesudah ia berumur enam bulan. |
Lembu & Kerbau | Melebihi satu tahun apabila gugur gigi susuan atau gigi hadapannya. |
Unta | Melebihi lima tahun. |
Haiwan-haiwan tersebut hendaklah terdiri daripada haiwan ternak dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Pastikan mengikuti syarat yang telah ditetapkan oleh Islam ini supaya majlis aqiqah tersebut diterima sebagai sebuah ibadat.
Aqiqah juga boleh dilakukan serentak di atas bahagian yang sama dengan korban.
Pada hari aqiqah disunatkan anak yang baru lahir diberi nama yang bagus dan dicukur rambutnya serta bersedekah seberat timbangan rambutnya (bagi yang mampu) dengan perak.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua umat Islam diluar sana!