Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Ar Rahnu: Perbezaan Dengan Pajak Gadai Konvensional

Ar rahnu adalah institusi gadaian Islam yang sangat berbeza dengan pajak gadai konvensional. Namun, sebagai orang Islam, kita diharamkan untuk menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional dan alternatif lain disediakan agama kita adalah sistem pajak gadai Islam atau ar rahnu.

Isi Kandungan

Maksud Ar Rahnu Dan Pajak Gadai Konvensional

Gadai menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat merujuk kepada pinjaman wang dengan menyerahkan barang sebagai cagaran untuk tempoh tertentu (kalau tidak ditebus dalam tempoh tersebut barang itu akan menjadi milik orang yg memberi pinjaman). Sistem gadaian ini dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk mendapatkan tunai segera dengan mencagarkan barang berharga kepada hutang yang diperoleh. Barang yang dicagar tersebut akan dipegang oleh pemberi hutang sehingga waktu yang ditentukan, sekiranya penghutang tidak dapat menjelaskan hutang tersebut maka pemiutang boleh menjual barang tersebut bagi mendapatkan semula wang yang dipinjamkan kepada penghutang tersebut. 

AR RAHNU

Pajak Gadai Konvensional

Sepertimana perkongsi di laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, amalan pajak gadai biasa, seorang penghutang mencagarkan barang kemas seperti emas kepada syarikat pajak gadai sebagai jaminan ke atas hutang yang diberikan syarikat tersebut. Syarikat pajak gadai mengenakan syarat kepada penghutang untuk menjelaskan hutangnya dalam tempoh tertentu seperti 3 bulan, 6 bulan atau 9 bulan dan cas faedah (interest) tertentu dikenakan pada setiap bulan bagi hutang yang diberikan.

Contoh:

Ali berhutang dengan Syarikat Pajak Gadai ABC sebanyak RM10,000 dan mencagarkan barang kemas seperti gelang dan cincin. Ali telah bersetuju dengan Syarikat Pajak Gadai ABC untuk menjelaskan hutang tersebut dalam tempoh 6 bulan dan Syarikat Pajak Gadai ABC mengenakan cas faedah sebanyak 1.5% setiap bulan sehinggalah hutang dijelaskan dan syarikat tersebut mengenakan cas 1.5% sekiranya Ali lewat membayar hutangnya. Maka inilah yang dikatakan riba atas pinjaman yang diharamkan.

Ar Rahnu

Institusi ar-Rahnu juga mempunyai konsep gadaian yang sama cuma pelaksanaannya berbeza dengan pajak gadai konvensional. Peminjam disyaratkan agar mencagar barang gadaian yang terdiri daripada barang kemas yang diperbuat daripada emas dan berlian sebagai jaminan kepada hutang tersebut. Tambahan lagi, pinjaman yang diberikan tidak dikenakan sebarang caj yang menjadikannya sebagai Qard al-Hasan (pinjaman tanpa faedah).

Peranan sistem Ar Rahnu adalah untuk menjadi alternatif bagi umat Islam yang memerlukan serta menghapuskan sistem riba yang diamalkan sistem pajak gadai konvensional iaitu pinjaman yang diberikan akan dikenakan faedah yang perlu ditanggung oleh peminjam.

Contoh:

Ali berhutang dengan Syarikat ar-Rahnu ABC sebanyak RM10,000 dan mencagarkan barang kemas seperti gelang dan cincin sebagai jaminan. Ali dan Syarikat ar-Rahnu ABC telah sepakat bahawa Ali perlu menjelaskan hutangnya itu dalam tempoh tertentu tanpa ada sebarang cas faedah pada hutang yang diberikan. Ali hanya perlu membayar cas simpanan kepada Syarikat ar-Rahnu ABC kerana syarikat tersebut telah menjaga keselamatan barang yang digadainya itu.

Ar-Rahnu adalah sebuah kontrak yang mana sesuatu barang berharga dijadikan sebagai cagaran kepada hutang yang diberikan dan sekiranya peminjam sukar untuk menjelaskan hutang tersebut maka pemiutang boleh menjual barang tersebut bagi mendapatkan semula wang yang dipinjamkan. Perkara ini dinyatakan oleh Abi Syuja’, Khatib Syarbini dan Imam Qalyubi dalam kitab karangan mereka.

Maksudnya:Menjadikan sesuatu bentuk harta yang mempunyai nilai sebagai sandaran hutang yang boleh dicagar dengannya sekiranya terdapat kesukaran untuk menjelaskan hutang tersebut.

AR RAHNU

Perbezaan

Melalui maksud di atas, kita dapat lihat perbezaan yang jelas sebenarnya iaitu dari segi yang mengamalkan riba. Jadi berikut adalah antara perbezaan atau kelebihan ar rahnu dengan pajak gadai konvensional.

  1. Tidak Mengenakan Kadar Faedah (Unsur Riba)
  2. Ar Rahnu Nilai Gadaian Tidak Merosot
  3. Wang Lebih Gadaian Dipulangkan
  4. Caj perkhidmatan Yang Rendah
  5. Tiada Unsur Penipuan Semasa Membuat Timbangan
  6. Tempoh Membayar Balik Yang Munasabah
  7. Pemberian Notis Kepada Penggadai Tentang Upacara Lelongan
  8. Memberi Nilai Gadaian Yang Sepatutnya

Kesimpulan

Perbezaan antara pajak gadai konvensional dan ar Rahnu adalah pada kontrak perjanjian pinjaman tersebut. Sistem pajak gadai konvensional mengenakan bayaran faedah atas pinjaman yang diberikan dan ianya menjadi sumber hasil kepada pemberi pinjam dan ini adalah riba. Manakala dalam sistem ar-Rahnu pula, pinjaman yang diberikan tidak dikenakan sebarang faedah tetapi caj perkhidmatan atau upah simpan (ujrah) dikenakan bagi menampung kos pengurusan oleh pihak yang menjalankan ar Rahnu.

Upah-upah (ujrah) lain yang dikenakan dalam ar-Rahnu ini adalah perkara yang berbeza dengan kaedah pajak gadai konvensional yang mengenakan faedah pada pinjaman itu sendiri. Oleh itu, sistem ar-Rahnu mempunyai perbezaan yang ketara dengan pajak gadai konvensional dan tidak mempunyai unsur riba.

selain mengetahui hukum ar rahnu, pembaca juga boleh menyemak hukum sekiranya bekerja dengan syarikat yang mengamalkan riba. oleh baca DI SINI.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More