Ayam Dan Telur, Mana Satu Wujud Dahulu? Jawapan Sains Abad ke-21
Sering menjadi isu perdebatan mengenai “Ayam Dan Telur”, masih ramai yang keliru mana satu yang wujud dahulu di muka bumi ini. Tidak perlu membuang masa memperdebatkan isu remeh ini, mari kita baca jawapan antara kedua ini mana satu yang wujud terlebih dahulu.
Isi Kandungan
Ayam Dan Telur? Mana Satu Wujud Dahulu?
Stephen Hawking, seorang ahli fizik berpendapat bahawa telur wujud terlebih dahulu daripada ayam. Dan pendapat ini telah dibuktikan salah. Nak tahu kenapa?
1. Pada musim panas 2010, pengkaji Inggeris dari Universiti Sheffield dan Warwick telah meretakkan telur ayam dan menemukan protein ovocledidin-17 (OC-17) yang diperlukan bagi membentuk cengkerang ada pada ovari ayam. Tanpa protein tersebut, cengkerang ayam tidak boleh dihasilkan.
Telur hanya boleh diproses dalam tubuh ayam di kawasan ovarinya. Protein OC-17 ini berfungsi sebagai enzim yang mempercepatkan lagi pembentukan cengkerang. Dalam tempoh masa 24 jam, sebiji telur boleh siap untuk dikeluarkan dari ovari mereka.
Dengan penggunaan komputer canggih HECToR di Edinburg, Scotland kumpulan pengkaji ini mendapati protein tersebut boleh mengubah kandungan kalsium karbonat menjadi kristal keras sebagai bahan pembuat cengkerang.
2. Jika menurut Islam, setiap haiwan diciptakan secara berpasangan. Ini boleh dilihat dalam makna surah Yasin (36: 36);
“Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, atau pun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.”
dan diperkuatkan lagi hujah dalam surah Al-An’aam (6: 143);
“(Binatang ternak itu) delapan ekor – (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar.”
Dengan adanya dua hujah di atas ini jelaslah antara ayam dan telur, ayamlah yang wujud terlebih dahulu. Selepas ini, tidak perlulah buang masa berdebat isu-isu ini. Kita cari isu lain pula untuk diperdebatkan.
Sumber tafsir Al-Quran: Surah.My
Jawapan Abu Nawas tentang soalan ayam atau telur yang wujud dulu
Kalau korang pernah ada soalan tentang ayam atau telur wujud dulu, korang kena baca cerita ni sampai habis. Kisahnya raja dalam negeri Abu Nawas tinggal tu ada pelihara ayam, bila dia tengok ayam betina dia betelur, dia nak buat satu pertandingan. Hadiah untuk pertandingan tu satu guni kecil wang emas.
Satu guni emas ni rasanya dalam 20-30 kali jugaklah nilai BSH, jadi dah tentu-tentu ramai orang akan berminat nak ikut. Tapi diorang tahu raja diorang ni pelik sikit, kalau ada pertandingan macam ni, mesti orang yang kalah akan dihukum. Raja tu beritahu orang ramai – pertandingan ni ada dua syarat, pertama kena bagi jawapan yang logik dan kedua kena boleh jawab soalan raja.
Soalan raja untuk pertandingan ni simple je, telur atau ayam, yang mana mula-mula wujud?
Pertandingan tu pun bermula, orang pertama datang jumpa raja. Dia pun dengan gaya selamber jawab dah sah-sah lah telur yang ada dulu, macam mana ayam ada kalau telur takde? Raja pun kata – habis tu siapa yang keluarkan telur kalau bukan ayam? Kepala mamat tu jem, dia tak boleh jawab. Apa lagi, terus raja bagi dia masuk dalam penjara.
Satu demi satu orang datang nak dapatkan wang emas yang dijanjikan tu, tapi semua tak dapat puaskan hati raja. Tibalah giliran Abu Nawas, dia pun dengan muka tenang tapi confident kata telur yang wujud dulu. Raja tu tanya, apasal pulak? Dia kata senang je, cuba lepaskan ayam tu dulu. Lepas ni kita tengok siapa yang kenal siapa – ayam kenal telur atau telur kenal ayam.
Dah tentu-tentulah ayam akan pergi kat telur sebab telur mana boleh bergerak lagi. Abu Nawas kata itulah bukti yang telur ada dulu sebab ayam pergi ke telur untuk mengeram telur. Telur tak pulak pergi kat ayam. Paling tak boleh bla raja terima logik ni. Abu Nawas pun diumumkan sebagai pemenang pertandingan tu.
(kredit : kisah 1001 malam Abu Nawas)
Yang mana wujud dulu? Ayam atau telur ayam? Soalan ini telah membelenggu manusia sejak zaman Tamadun Yunani sehinggalah sekarang.
Jawapan kepada soalan ini sebenarnya ringkas jika kita melihat secara harfiah (literal). Haiwan yang bertelur seperti buaya dan penyu telah wujud jauh lebih lama berbanding ayam. Jadi secara teknikalnya, telur yang wujud dahulu sebelum ayam.
Tapi soalan di atas sebenarnya perlu difrasakan semula kepada: ayam atau telur ayam yang wujud dahulu? Ini kerana ia lebih fokus kepada tujuan kitaran dan kesannya.
Contohnya, jika telur ayam yang wujud dahulu sebelum ayam, dari mana telur ayam tersebut berasal?
Dan jika ayam yang wujud dahulu sebelum telurnya, dari mana ayam tersebut berasal?
Jadi yang mana wujud dahulu?
Ayam wujud dahulu
Pendapat pertama mengatakan ayam wujud dahulu. Pendapat ini mendapat asasnya daripada kajian yang menemui protein OV-17 yang bertanggungjawab menghasilkan telur ayam hanya dijumpai di ovari ayam betina.
Tanpa protein OV-17, kulit telur ayam tidak boleh dihasilkan oleh ayam betina.
Jadi tanpa ayam betina, telur ayam tak mungkin wujud dahulu.
Tapi teori ini membangkitkan satu lagi soalan: jika ayam wujud dahulu, dari mana asal ayam yang mempunyai protein OV-17 di ovarinya?
Ahli falsafah Yunani mencabar definisi telur ayam dengan berkata: jika ada seekor binatang XYZ mengeluarkan telur, kemudian telur tersebut mengeluarkan ayam – adakah telur tersebut telur ayam atau telur binatang XYZ?
Persoalan inilah yang membawa kepada pendapat kedua iaitu telur yang wujud dahulu.
Telur wujud dahulu
Dalam proses pembiakan haiwan bertelur, si betina dan si jantan masing-masing menyumbang maklumat genetik yang dinamakan DNA. Tetapi proses replikasi DNA ini tidak akan sempurna 100% dan selalunya akan menghasilkan perubahan kecil kepada genetik si anak.
Mutasi kecil DNA ini akan menghasilkan spesis baru selepas beratus-ratus, beribu-ribu generasi membiak. Mutasi genetik ini pula mesti berlaku di zigot, atau sel induk.
Jadi pendapat kedua ini mencadangkan ayam zaman sekarang adalah hasil pembiakan dua jenis ‘ayam proto’ (haiwan bertelur yang nampak serupa tetapi tidak sama dengan ayam sekarang).
Disebabkan mutasi genetik berlaku dalam pembiakan dua ‘ayam proto’ ini, spesis ayam yang mempunyai protein OV-17 di ovarinya pun lahir.
Maka telur ayam yang wujud dahulu sebelum ayam.
Yang mana satu betul?
Dalam pendapat pertama iaitu ayam wujud dulu, ia bermula apabila haiwan bertelur membiak dan menghasilkan ayam proto. Ayam proto ini kemudiannya bertelur dan menghasilkan telur ayam proto.
Telur ayam proto ini kemudiannya melahirkan beratus, beribu generasi ayam proto sebelum akhirnya menghasilkan ayam yang kita kenali sekarang.
Dari mana ayam yang kita kenali sekarang itu berasal? Betul, dari telur.
Jadi dalam kes ini, tak kira apa pun pendapat yang anda pilih, telur sentiasa datang dahulu sebelum ayam.